suria

Pramugara dapat ‘arahan’ luar skop kerja! Nyanyi dalam flight dinaiki Michael Bolton, David Foster - “Otak saya jadi jam”

Arill menyanyikan lagu Michael Bolton di hadapan penyanyinya sendiri.

VIDEO memaparkan seorang pramugara menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Michael Bolton, pada era 80an ternyata menarik perhatian ramai.

Pramugara berkenaan, Muhammad Fhazrill Fesol menyanyikan lagu How Am I Supposed To Live Without You ketika penyanyinya yang berusia 70 tahun itu menaiki penerbangan AirAsia baru-baru ini.

Nyanyiannya turut didengari oleh juga maestro muzik terkenal, David Foster, 73, bersama 180 penumpang lain dalam penerbangan tersebut.

Ketika dihubungi mStar, dia yang lebih dikenali sebagai Arill Fesol, 25, menceritakan semula kisah di sebalik rakaman video itu yang dirakam dalam penerbangan dari Malaysia ke Singapura, membawa beberapa artis ternama tanah air termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Masa tu sebenarnya penerbangan istimewa khas untuk penumpang pergi Konsert Hitman David Foster & Friends Asia Tour 2023. Salah seorang daripada Air Asia Fun Team yang mengendalikan flight pada 8 Ogos tu adalah saya sendiri.

“Saya diarahkan untuk menyanyi secara spontan waktu tu oleh senior (crew) sebab mereka kenal saya sebelum ni sebagai penyanyi.

“Mengenangkan saya kena menyanyi depan Michael Bolton dan David Foster, otak saya jadi ‘jam’. Memang gementar sangat tapi saya anggap inilah peluang nak menyerlahkan semula bakat yang ada dalam diri,” imbasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara akak pizza merdu sangat, pelanggan datang kedai suruh nyanyi! Gadis Sabah nak kembang bakat, tak mahu jadi katak bawah tempurung

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘rindu ex’ nyanyi di tangga, kawan rakam pun tak sedar... tahu-tahu ramai offer jadi pengganti!- “Saya masih tak boleh move on”

Pernah menyertai program realiti televisyen, Idola Kecil ketika berusia 11 tahun, dia secara jujurnya berkata sangat berpuas hati kerana akhirnya mampu menyanyi seperti diminta.

Walaupun sejak Januari 2020 Arill mula memberi fokus kepada kerjaya sebagai pramugara AirAsia, dia tidak menyangka nyanyiannya pada hari itu mampu memberi impak kepada orang ramai.

“Selama saya bekerja sebagai kru sejak tiga tahun lalu, memang tak pernah lagi menyanyi depan penumpang atau menggunakan interphone. Waktu bekerja memang saya fokus jalankan tugas sahaja selama ni.

Arill kini lebih memberi fokus bidang kerjaya sebagai pramugara berbanding nyanyian.

“Saya menyanyi tu waktu mereka dah sampai ke Singapura. Pintu pesawat pun dah dibuka untuk penumpang keluar. Tapi saya memang berpuas hati dengan nyanyian sendiri walaupun gunakan interphone sahaja.

“Bila tengok video tu semula baru tahu yang semua penumpang tunjuk reaksi terhibur dan best dengar nyanyian saya. Penumpang pun bagi pujian kepada saya dan team. David cakap it was an entertaining flight dan berterima kasih dengan layanan kami berikan,” imbas Arill lagi.

Saya diarahkan untuk menyanyi secara spontan waktu tu oleh senior (crew) sebab mereka kenal saya sebelum ni sebagai penyanyi.

ARILL FESOL

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini berkata, dia terbuka untuk mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana syarikat.sekiranya diberi peluang untuk meneruskan minat dalam bidang seni.

Bergiat aktif di platform media sosial, dia berharap video tular yang berjaya meraih 500,000 jumlah tontonan di TikTok itu bakal membuka semula peluangnya dalam bidang nyanyian.

Arill pernah menyertai Idola Kecil.

“Menyanyi ni memang passion saya dari dulu lagi. Tapi saya terpaksa mencari kerjaya lain sejak dah ‘slow down’ sikit. Tapi saya masih aktif menyanyi dan berkolaborasi dengan beberapa penyanyi tempatan lain.

“Bagi saya, peluang nak naikkan semula nama tu bukan senang. Tapi saya terharu sangat apabila video tu viral, rupanya ramai yang ingat dan rindukan saya sebagai penyanyi.

“Jika diizinkan Allah, saya diberi rezeki melimpah ruah dalam bidang nyanyian... saya tak menolak untuk teruskan karier sebagai penyanyi. Tapi buat masa sekarang saya beri fokus pada kerjaya tetap sebagai pramugara,” ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain