suria

Merangkak sebut Allah sambil minta tolong, saksi terkilan, tak boleh tidur gagal selamatkan rider

Muhd Affendi merupakan saksi di lokasi nahas pesawat terhempas di Elmina.

“MASIH tak boleh tidur terbayangkan arwah.”

Pesawat terhempas depan mata, namun pasrah tidak dapat menyelamatkan mangsa.

Begitulah rintihan salah seorang saksi dalam insiden pesawat terhempas di Elmina dekat Shah Alam, Selangor pada Khamis.

“Kapal terhempas depan mata saya dan saya turun dari lori, terdengar mangsa minta tolong. Dan saya ambil pemadam api yang ada di dalam lori.

“Saya terus pergi dekat mangsa, masa tu dia masih bergerak. Saya nak dekati dia yang masih bergerak, tapi masih ada barang-barang yang meletup.

“Saya terus pergi tembak pemadam api, tapi tak cukup untuk padam api di badannya. Saya sudah cuba nak menyelamatkan rider motor, maafkan saya,” menurut Muhd Affendi Sobri yang merupakan pemandu lori.

Muhd Affendi meluahkan perasaan serba salahnya kerana tidak membantu penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina.

“Arwah jerit minta tolong. Saya tak sanggup tengok dia merangkak sebut nama Allah minta tolong.

“Pemadam api saya dah habis pakai untuk (padamkan) mangsa. Saya rasa bersalah sebab tak dapat bantu dia dari terbakar.

“Maafkan saya tak dapat selamatkan arwah, saya dah cuba,” katanya pada Jumaat.

Rakan membuat panggilan kecemasan.

Menurut Muhd Affendi lagi, ketika kejadian, sahabatnya yang merupakan kelindan lori menghubungi panggilan kecemasan, manakala dia keluar untuk menyelamatkan mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti rider terbakar dikenal pasti, rupanya orang Sidam di Kedah... Polis datang rumah ibu bawa khabar duka lepas Maghrib

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa nahas cuba tenangkan diri, sangka baik bukan pesawat dinaiki suami terhempas - “Anak sakit, dia 50-50 nak pergi”

Malah video yang dirakam Muhd Affendi mengundang sebaknya dan insiden yang berlaku disaksikan di depan mata membuatkannya tidak tenang.

“Saya mula-mula sebak sebab arwah minta tolong, badan dia terbakar. Tapi tak mampu nak tolong sebab masa tu ada benda yang meletup. Selepas itu, baru saya tolong.

“Mungkin Allah nak uji saya dengan cara ni. Saya kuat kerana arwah... saya masih terbayangkan kejadian,” katanya lagi.

Maafkan saya tak dapat selamatkan arwah, saya dah cuba.

MUHD AFFENDI SOBRI

Terdahulu mStar melaporkan sebuah pesawat kecil terhempas di Elmina, dekat Denai Alam, Shah Alam pada Khamis petang.

Penunggang motosikal yang maut dalam nahas pesawat terhempas dekat Elmina.

Pesawat yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas tersebut.

Allahyarham adalah antara lapan individu yang menaiki pesawat ringan berkenaan.

Dua mangsa lain yang terlibat adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta.

Dilaporkan hanya satu daripada 10 mayat mangsa nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, ditemukan dalam keadaan sempurna, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua kru pesawat, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain