suria

Dugaan honeymoon! Di Malaysia disabotaj ‘makcik puaka’, tiba di London suami isteri berdepan penyeluk saku... Menggigil tengok beg

Zaid dan isteri berkongsi pengalaman didekati dua penyeluk saku ketika berbulan madu di luar negara.

SELEPAS satu dugaan, datang pula dugaan yang lain.

Tidak cukup bilik hotel bajet yang dihuni pasangan suami isteri ini diserbu jabatan agama angkara ‘makcik puaka’ pada tengah malam, percutian bulan madu mereka nampaknya terus diganggu.

“Isteri periksa beg tengok dah separuh terbuka. Gigil tangan weh,” kata si suami menerusi kapsyen video yang dimuat naik di TikTok.

Kisah Zaid dan isteri pernah tular mengenai pintu bilik hotel yang dihuni mereka diketuk anggota pejabat agama.

Berkongsi cerita, Muhammad Zaid Rodzuan berkata, kejadian berlaku ketika mereka berbulan madu selama 14 hari di London, Paris, Istanbul serta Itali.

“Kejadian berlaku masa sampai hari pertama di London ketika bersiar-siar kira-kira pukul 2 petang. Kami sedar ada dua orang (mencurigakan) apabila tengok beg saya dah terbuka separuh.

“Grup yang melepasi kami dari arah hadapan seramai antara lapan ke 10 orang, manakala dua orang mengekori kami di belakang.

“Zip beg saya ditarik kuat, saya ingatkan isteri yang buka beg backpack tu. Saya kemudian minta bantuan isteri untuk periksa, dah terbuka separuh,” katanya kepada mStar.

Menurut Zaid, insiden diserbu sekumpulan penyeluk saku berlaku di London.

Pemuda berusia 35 tahun itu berkata, dua wanita warga asing yang disyaki membuka beg miliknya bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi sebelum beredar.

“Apabila tersedar, saya terus toleh kepada orang tu dan tengok lama-lama, tapi mereka buat tak tahu.

“Dalam beg tu saya simpan kamera serta lensa kamera, dompet dan pasport. Kamera tu satu set berharga RM15,000. Dalam dompet memang banyak duit matawang Euro dan Pound,” ujarnya yang mesra disapa Zaid.

Zaid (kanan) dan isteri ketika berkunjung ke Istanbul.

Mengenai rakaman mereka mengekori dua wanita berkenaan, Zaid yang berkahwin pada 7 Julai lalu mengakui rancangan asalnya mahu bersemuka dengan kedua-dua suspek.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri dicekup khalwat di hotel bajet! Rancangan ‘honeymoon’ ke Paris disabotaj ‘makcik puaka’ tauke kedai makan

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu stres fikir zuriat, pasangan ini ‘layan’ honeymoon 5 tahun! Hebat aturan Allah, pasport tamat tempoh terus buka buku pink

“Saya cuba nak sergah mereka dan nak tanya apahal buka beg? Tapi sebab ini pengalaman kali pertama, jadi saya tak tahu macam mana nak berhadapan dengan mereka.

“Tapi tak tahu kenapa, saya jadi terpaku dan hanya boleh merakam saja untuk memerhati apakah tindakan mereka seterusnya,” jelasnya.

Zaid dan isteri turut berkunjung ke Itali.

Bersyukur cubaan dua penyeluk saku gagal, Zaid yang merupakan ahli perniagaan bagaimanapun menggigil ketika berdepan dengan situasi tersebut.

“Saya menggigil sebab pertama kali berlaku pada diri saya, tak pernah terbayang ada penyeluk saku tapi tiba-tiba didatangi mereka.

“Tak dapat bayangkan kalau pasport dan dompet yang mengandungi wang dan kad kredit serta barang berharga dicuri. Jika berlaku, memang kami terduduk,” katanya sambil menambah isterinya turut terkejut dengan insiden tersebut.

Apabila kita travel akan jumpa macam-macam keadaan dan pengalaman.

MUHAMMAD ZAID RODZUAN

Terdahulu, sebelum mereka terbang untuk berbulan madu, mStar melaporkan seorang makcik yang merupakan pemilik kedai makan didakwa melakukan perbuatan khianat hanya kerana tidak berpuas hati terhadap Zaid dan isteri yang meninggalkan restorannya gara-gara menunggu pesanan mereka terlalu lama.

Makcik tersebut didakwa membuat laporan kepada pejabat agama mengenai keberadaan mereka di bilik hotel sedangkan mereka merupakan pasangan suami isteri yang sah.

Zaid menganggap insiden 'makcik puaka' dan 'penyeluk saku' merupakan sebahagian daripada pengalaman ketika mengembara.

Bagi Zaid, insiden ‘makcik puaka’ dan ‘penyeluk saku’ itu dianggap sebagai sebahagian daripada pengalaman sepanjang percutian atau pengembaraannya.

“Ia sebahagian daripada perjalanan, merasai pengalaman-pengalaman tu. Apabila kita travel akan jumpa macam-macam keadaan dan pengalaman. Mujur tak berlaku apa-apa yang buruk.

“Sama ada insiden makcik puaka, bilik hotel kena ketuk anggota pejabat agama dan penyeluk saku ni tidak akan membuatkan saya serik untuk travel lagi kerana travel ni memang saya minat sangat,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain