suria

Bekas pelajar bongkar punca masalah sekolah tahfiz, tak setuju anak hingusan disuruh berdikari - “Ramai trauma, rasa tak selamat”

Ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke pusat tahfiz pada usia muda. - Gambar hiasan The Star

SEBUT sahaja pusat tahfiz, pelbagai kisah dan insiden akan berlegar-legar di ruang fikiran.

Tidak kurang juga kejadian-kejadian yang mengaibkan seperti salah laku penghuni dan tenaga pengajar yang sering mendapat perhatian masyarakat.

Situasi yang sering berlaku itu membuatkan seorang pelayar Twitter dikenali sebagai Aiman Roslan tampil berkongsi pandangannya.

Mengakui turut mempunyai latar belakang sebagai pelajar tahfiz, dia menyatakan rasa hairan kenapa ibu bapa sanggup menghantar anak-anak seawal usia tujuh tahun ke pusat pengajian berasrama tersebut.

Sebahagian ciapan asal yang dibuatnya.

Sebahagian ciapan asal yang dibuatnya.

“Walaupun aku ada background tahfiz, tapi sampai sekarang aku tak faham kenapa ibu bapa sanggup hantar anak umur tujuh hingga 10 tahun masuk tahfiz asrama.

“Umur macam tu patutnya masih membesar dengan kasih sayang mak ayah, bukan dengan ustaz atau ustazah dan senior,” ciapnya.

Malah dia berpandangan masih terlalu awal untuk membiarkan kanak-kanak semuda itu untuk diajar berdikari dan hidup sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sarat mengandung anak pertama... Guru tahfiz didakwa liwat pelajar lelaki

ARTIKEL BERKAITAN: Guna modal ‘sedekah’, akhirnya susahkan pelajar tahfiz! Mudir ada peringatan untuk tuan rumah kenduri, tolak lebihan lauk bukan sebab sombong

“Disebabkan itulah banyak kes buli, gangguan seksual dan masalah sosial dalam kalangan pelajar dan guru tahfiz.

“Ramai lepasan tahfiz yang ada trauma dan insecurity (rasa tidak selamat) yang tinggi. Siapa yang pernah merasai akan faham,” tambahnya lagi.

Perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna Twitter sehingga ada yang bertanyakan lebih lanjut tentang usia ideal untuk memasuki sekolah tahfiz.

Susulan itu, dia menyatakan kemasukannya ke tahfiz adalah pilihan sendiri selepas tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Saya masuk asrama sejak darjah empat... sampai sekarang rasa macam inner child tersakiti.

WARGA MAYA

Malah katanya, sebelum diterima masuk, dia perlu melalui beberapa ujian.

“Bagi yang bertanya, saya pilih untuk masuk tahfiz selepas PMR. Ada ujian kemasukan tahfiz dan saya berjaya dapat tempat... saya dalam sistem tahfiz daripada umur 16 hingga 17 tahun.

“Alhamdulillah saya dapat habiskan 30 juzuk dalam masa setahun dan enam bulan dan ramai lagi kawan-kawan saya yang habis lebih awal,” coretnya lagi.

Selepas itu, dia meneruskan pengajian akademik dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

tahfiz

Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz seawal usia 7 tahun. -Gambar hiasan AZHAR MAHFOF/The Star

“Alhamdulillah saya dapat keputusan 11A dan menyambung pelajaran dalam jurusan ekonomi di universiti awam tempatan. Sekarang bekerja sebagai pengurus di sektor swasta.

“Doakan saya dapat terus jaga dan amalkan al-Quran yang Tuhan berikan. Ini adalah hadiah dalam masa yang sama tanggungjawab berat untuk kami pikul,” tambahnya lagi.

Ciapan yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi warga maya dan kebanyakannya mengakui melalui episod sukar seperti yang diperkatakannya.

Tidak kurang juga yang menyatakan mengalami trauma sehingga tidak dapat berkomunikasi baik dengan ibu bapa.

Selain ramai yang berasa kesunyian dan beranggapan seolah-olah tidak disayangi oleh keluarga.

Sebahagian pandangan warga maya yang dikongsikan di ruangan komentarnya.

Sebahagian pandangan warga maya yang dikongsikan di ruangan komentarnya.

“Saya masuk asrama sejak darjah empat... selama 10 tahun. Sangat boleh relate... sampai sekarang rasa macam inner child tersakiti, sudahlah anak sulung.

“Betul. Setuju 100 peratus... dipaksa masuk tahfiz pada umur lapan tahun. Masih beri kesan sehingga hari ini. Saya fikir umur terbaik untuk masuk ke pusat tahfiz adalah bermula 13 tahun dan tidak seharusnya dipaksa.

“Mak saya dulu berniaga depan tahfiz dan dia selalu tanya budak-budak ni memang minat nak masuk tahfiz ke? Kebanyakan jawapan adalah ‘tak nak masuk tapi mak paksa sebab nakal'.

“Kalau parents nak masukkan anak belajar tahfiz, sekurang-kurangnya umur 12 tahun sebab masa tu baru matang. Apabila dah masuk, tengok proses dalam setengah tahun... jika anak tak minat belajar, berhentikan,” ujar beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain