suria

Pandai ‘abe’ Kelantan buat duit, masuk Thailand cari stok petai murah-murah... Bawa balik Malaysia boleh untung RM60,000!

Mohd Zaini berkongsikan tip dan cara yang dilakukannya untuk mendapatkan keuntungan daripada jualan petai.

“JUAL petai untung RM60,000.”

Demikian kapsyen seorang pengguna TikTok berhubung bisnes yang dilakukannya.

Malah lelaki bernama Mohd Zaini Zawawi itu berkata dia mendapat keuntungan sehingga RM60 bagi setiap pek berisi dua kilogram petai.

Perkongsiannya itu ternyata mengejutkan warga maya kerana tidak menyangka makanan yang dijadikan ulam itu mampu memberi pulangan lumayan.

Stok petai yang dimiliki Mohd Zaini.

Stok petai yang dimiliki Mohd Zaini.

Malah dia turut berkongsi cara untuk mendapatkan keuntungan sebanyak itu hanya dengan menjual petai.

“Ni saya share rahsia, sekarang memang harga (petai) jatuh... murah. Ada orang jual RM50 hingga RM60 tapi saya jual RM30 sahaja.

“Bila masanya saya boleh untung sehingga RM60? Apabila stok petai terputus, satu Malaysia tidak ada petai tapi saya ada,” ujarnya menerusi akaun Restoran Kak Sal Kelate.

Menerusi perkongsian video itu juga, dia mengakui menyimpan stok dalam kuantiti yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup susah sebelum untung bisnes RM3 juta! Suami buka cerita, isteri hamil terpaksa jual telefon sebab mengidam makan buah

Jelasnya jualan akan mencecah RM60 sekilogram apabila harga petai melambung naik sehingga RM100 per kilogram.

“Kalau simpan 100 kilogram dah RM6,000. Kalau satu tan dah RM60,000.

“Memang senang dapat duit tetapi kita perlukan modal dan kena pandai jual. Alhamdulillah, saya ada permintaan daripada restoran dan pengusaha yang buat sambal hijau serta sambal tempoyak,” katanya lagi.

Tambahnya, dia akan membuat banyak stok untuk sambal petai dan tempoyak.

Lagipun sekarang harga tengah murah, jadi saya beli banyak dan simpan buat stok.

MOHD ZAINI ZAWAWI

“Sekarang orang tak cari (tempoyak) tapi tunggu durian habis, dia keluar dengan harga yang berbaloi-baloi.

“Alhamdulillah buat masa sekarang saya ada lima buah freezer untuk simpan stok,” ujarnya.

Ketika dihubungi mStar, Mohd Zaini Zawawi berkata, kesemua petai tersebut dibelinya di Betong, Thailand.

Menurutnya, harga yang dibeli hanyalah sekitar belasan ringgit sahaja terutama sekali semasa terdapat lambakan stok seperti sekarang.

Tempoyak turut dijadikan stok dan dijual apabila permintaan tinggi.

Tempoyak turut dijadikan stok dan dijual apabila permintaan tinggi.

“Saya beli yang dah siap kupas kulit... selalunya beli 300 kilogram setiap kali masuk ke Thailand.

“Lagipun sekarang harga tengah murah, jadi saya beli banyak dan simpan buat stok,” ujarnya yang kemudian menjual semula kesemua stok tersebut.

Bijak ‘bermain harga’, peniaga berusia 40 tahun ini mengakui petai tempatan tidak mempunyai stok yang banyak seperti di Thailand.

Malahan kebanyakan yang dijual di pasaran pada masa ini diperoleh dari negara jiran tersebut.

Antara komentar warga maya.

Antara komentar warga maya.

Dia yang sudah berniaga petai selama lima tahun turut menyatakan stok yang disimpan kekal segar kerana tidak direndam di dalam air.

“Petai yang sudah dikopek lebih segar dan tak mudah rosak kalau dibiar sehingga tiga atau empat hari... jangan rendam dalam air.

“Kalau nak simpan lebih lama, terus masukkan ke dalam peti sejuk beku,” ujarnya yang berasal dari Jeli, Kelantan dan kini menetap di Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Menyusuri ruangan komen, kebanyakan pelayar TikTok menyatakan hasrat untuk membeli petai yang dijual kerana dikatakan lebih murah berbanding pasaran.

Pun begitu, tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman berniaga sepertinya.

“Betul bos. Sekarang petai murah sebab banyak... masa mula-mula hari tu saya pun jual sepapan RM1.50, dapat untung berganda.

“Itu kiraan kasar saja, kena kira juga kos elektrik untuk simpan freezer.

“Saya pun tengah simpan stok petai jeruk, dah ada 200 kilogram. Masa petai putus stok, permintaan tinggi,” ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain