suria

Pulanglah kakak... Keluarga ‘hilang jejak’ remaja perempuan lari rumah, ‘burnout’ pikul tugas jaga ibu terlantar sakit

Mohd Fadli merayu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun agar pulang ke pangkuan keluarganya.

SEBUT sahaja Cikgu Fadli, pasti ramai yang mengenali figura ini lebih-lebih lagi bagi komuniti Facebook.

Cikgu Fadli atau nama sebenarnya, Mohd Fadli Salleh sememangnya dikenali kerana aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita).

Tidak hanya menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan kepada golongan kurang berkemampuan, Mohd Fadli turut membantu daripada segi pendidikan dan sokongan kepada keluarga yang ditimpa kesulitan.

Baru-baru ini, guru berkenaan berkongsi kisah meruntun hati mengenai sebuah keluarga yang dibantunya dalam satu hantaran di Facebook.

"Keluarga ni anak yatim, ayah lama meninggal dunia. Tinggal ibu yang tidak boleh bergerak kerana sakit strok. Anak bongsu baru usia 12 tahun.

"Kehadiran ke sekolah sangat teruk sehingga akhirnya guru siasat, ziarah mereka. Kemudian baru pihak sekolah dan PIBG tahu, anak itu kena jaga ibu yang perlu disuap makan, perlu dimandikan, perlu ditukar lampin, perlu dibawa ke hospital setiap kali ada appointment.

kakak 3

Mohd Fadli (kiri) menziarahi keluarga tersebut dan bertemu dengan adik kepada remaja berkenaan (kiri).

"Kakak yang berusia 17 tahun dah berhenti sekolah sejak beberapa tahun lepas. Awalnya dia bekerja untuk mencari duit saku buat keluarga. Namun akhirnya berhenti, dan banyak masa diluangkan untuk jaga ibu terlantar.

"Anak remaja perlu galas tanggungjawab besar. Hari demi hari, dia makin rasa terbeban. Terlalu besar tanggungjawab yang dia perlu galas hingga anak remaja ini give up.

"Beberapa bulan lepas, kakak yang usia 17 tahun lari dari rumah. Meninggalkan adik perempuan usia 12 tahun, abangnya dan si ibu yang terlantar," kongsi Mohd Fadli.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu siasat murid tahun 6 kerap ponteng, terkejut tengok kena jaga ibu strok di rumah! Kakak, abang dah lama berhenti sekolah kerja di mall

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima bantuan tak lupa jasa cikgu, mesej ‘update’ kejayaan anak selepas 5 tahun... Seronok dapat surat tawaran UiTM

Ujarnya, disebabkan situasi tersebut, si adik yang berusia 12 tahun terpaksa ponteng sekolah kerana mengambil alih tugas kakaknya.

Sebaik sahaja mengetahui kisah pelajar tersebut, Mohd Fadli berkata, dia bertindak mencari seorang pembantu yang boleh menjaga ibu kepada pelajar berkenaan.

"Setiap hari, ada pembantu akan ke rumah mereka, mandikan, masak, suap makan si ibu, tukar lampin dan apa-apa keperluan ibu.

"Dengan ada bantuan itu, anak bongsu itu kembali dapat bersekolah. Setiap hari datang dah sekarang, Alhamdulillah. Selesai satu masalah. Tapi si kakak masih belum pulang. Ini yang menjadi kerisauan juga," kongsinya.

Kali ni kena tulis. Agar si kakak terbaca tulisan aku ni, agar dia tahu tugas dia jaga ibunya, aku dah bantu ringankan dah.

MOHD FADLI SALLEH

Tambah guru berkenaan, apa yang menjadi kerisauannya adalah memikirkan kemungkinan yang remaja berkenaan lari mengikut rakan lelaki.

Lebih merunsingkan apabila remaja berkenaan 'hilang jejak' lantaran nombor telefonnya sudah tidak dapat dihubungi.

"Pulanglah kakak. Cikgu tahu kakak penat selama ini jaga ibu. Cikgu tahu kakak exhausted dah sebenarnya. Dah betul-betul burnout dah pun.

"Cikgu dah aturkan pembantu datang ke rumah setiap hari jaga mak, jaga makan minum kalian. Beras habis, cikgu belikan. Lauk pauk tiada, cikgu usaha carikan. Yang pasti, kalian tidak sesekali akan kelaparan.

"Pulanglah ke pangkuan keluarga. Duduk dengan adik, abang dan ibu. Kali ni kena tulis. Agar si kakak terbaca tulisan aku ni, agar dia tahu tugas dia jaga ibunya, aku dah bantu ringankan dah.

kakak 2

Ibu remaja berkenaan terlantar sakit kerana strok.

"Paling penting, agar kesucian dan maruah diri anak remaja ini dapat terjaga," akhirinya.

Sehingga kini perkongsian berkenaan meraih lebih 2,000 shares di Facebook.

Rata-rata warga maya turut mendoakan agar usaha Mohd Fadli dipermudahkan dan remaja berkenaan akan segera kembali ke pangkuan keluarga.

Untuk rekod, kisah keluarga ini yang dikongsikan oleh Mohd Fadli turut disiarkan oleh mStar, pada Jun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain