KISAH personaliti media sosial yang dikenali sebagai Abang Tesla secara terang-terangan mengumumkan dirinya sudah bernikah untuk kali kedua menjadi topik hangat. Apatah lagi tular video yang dimuat naiknya di laman sosial, memaklumkan perkahwinan keduanya itu mendapat restu isteri pertama. Ramai mempersoalkan tindakannya itu, namun bagi pempengaruh, Dr Samhan, 37, dia memilih untuk membuat perkongsian mengenai kesetiaannya terhadap isteri. Tangkap layar video Dr Samhan di TikTok. Mempunyai pengikut seramai 1.5 juta di TikTok, Dr Samhan atau nama sebenarnya Dr Ahmad Samhan Awang pernah diuji menghidap penyakit Ameloblastoma atau ketumbuhan rahang pipi pada 2016. Ketika itu usia perkahwinan memasuki tahun keempat dan Dr Samhan memberitahu bahawa isterinya, Dr Rushaida Zabidi tetap setia berada di sisinya. Malah pada masa itu, mereka yang telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun turut diuji dengan kekangan kewangan. “Kami baru habis belajar, belum kerja tak ada duit simpanan. Dalam akaun bank memang kosong. Kos pembedahan sampai RM20,000. Memang kami diuji dengan kewangan. “Isteri teman saya di wad dan tidur berlapikkan alas nipis tapi tak pernah merungut sakit badan. Dia tetap tersenyum dan buat saya gembira untuk menempuh dugaan bersama,” katanya kepada mStar. Ketika dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit Ameloblastoma. Sudah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun, Dr Samhan turut berkongsi pengalamannya selepas menjalani pembedahan yang mengambil masa selama 12 jam. “Masa tu saya memang ‘down’ teruk. Tak mampu makan hanya boleh minum susu, tak boleh bercakap sebab leher ditebuk, kencing melalui tiub, tak boleh berjalan sebab tulang betis diambil untuk ganti tulang rahang. “Tambah lagi masalah kewangan. Pada masa tu juga saya memang tak ada apa-apa. Ya, masa ni saya diuji hampir putus nyawa. Tapi isteri tetap ada setia bersama saya,” ujarnya. Keadaan Dr Samhan selepas menjalani pembedahan. Mengenai isterinya yang berusia 33 tahun dan juga bertugas sebagai doktor, pengasas Forhimclinic.com itu menyifatkan wanita yang tabah dan sentiasa menjadi penyokong tegarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Popular di TikTok... 5 ‘wanita’ ambil kesempatan, mengaku bini Dr Ahmad Samhan - “Eh, abang ada isteri lain ke?” ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kongsi sebiji telur sehari, kini ada 5 klinik! Doktor tak teragak tunai hasrat isteri sambut anniversary di Makkah “Dia sangat supportive dan selalu memberi kata-kata semangat untuk saya terus survive,” kata Dr Samhan yang kini mempunyai tiga cahaya mata, seorang anak lelaki berusia 10 tahun serta dua anak perempuan masing-masing berumur empat dan dua tahun. Dr Samhan (dua, kiri) bersama isteri (kanan) dan anak-anak. Malah, penerima TikTok Malaysia Popular Creator Award 2021 itu juga mendapat sokongan penuh daripada isterinya untuk bergiat aktif dalam menyampaikan pelbagai kandungan bermanfaat kepada masyarakat terutama berkaitan kesihatan dan ilmu perubatan. “Isteri juga menyokong penuh dan sangat gembira apabila saya tercalon. Sebelum ini dia yang bantu saya buat content di TikTok,” katanya yang merupakan calon bagi kategori Best of Education dalam Anugerah TikTok 2023 yang berlangsung pada Ahad ini. Dr Samhan mempunyai jutaan pengikut di TikTok. Mengimbas kembali peristiwa ketika terlantar di hospital, Dr Samhan pernah mengalami sesak nafas pada suatu malam tapi tak mampu untuk bersuara. “Saya goncang katil kuat-kuat dan tak ada orang dengar suara saya. Masa tu saya berdoa dalam hati Ya Allah kalau kau nak matikan aku, matikan aku dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Apabila kita sudah ada segalanya, kita anggap semua itu hasil usaha kita sendiri. Kita tak sedar ada sosok tubuh yang sentiasa menyokong dari belakang supaya kita terus gagah untuk berjaya. DR AHMAD SAMHAN AWANG “Kalau kau nak panjangkan umur aku, kau panjangkan dan jadikan aku orang yang boleh bagi manfaat dan bagi ilmu kepada lebih ramai orang. Alhamdulillah, saya dipanjangkan umur,” katanya. Setakat ini, Dr Samhan mengusahakan enam klinik bersama rakan kongsi, manakala satu lagi klinik miliknya sendiri iaitu HIMClinic, khusus untuk kesihatan lelaki. Isteri Dr Samhan (kanan) disifatkan sebagai tabah dan sentiasa memberi sokongan. Menurutnya, di sebalik kehebatan lelaki, ada wanita yang banyak berkorban dan dia tetap berpendirian bahawa seorang isteri itu untuk dihargai dan dicintai. “Bagi saya, kesetiaan itu lebih mahal daripada sebuah Tesla. Benarlah, kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya dan kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa. “Apabila kita sudah ada segalanya, kita anggap semua itu hasil usaha kita sendiri. Kita tak sedar ada sosok tubuh yang sentiasa menyokong dari belakang supaya kita terus gagah untuk berjaya. “Oleh itu, bila dah senang dan kaya jangan lupa pasangan yang sama-sama susah dengan kita dulu. Hargai dia hingga hujung nyawa,” kata Dr Samhan lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube