suria

Dapat bapa mentua garang, menantu beranikan diri sarungkan helmet Power Rangers - “Isteri kata ayah penyayang”

Mat Esan berkongsi kisah menyarungkan 'helmet' Power Rangers di kepala bapa mentuanya.

PENGANTIN yang mengabadikan foto perkahwinan dengan memakai kostum adiwira popular Jepun seperti Kamen Rider dan Power Rangers sudah pasti menjadi perhatian.

Bukan sahaja fesyen berbeza dengan pasangan lain, pengantin dengan kostum ini turut melakukan aksi di depan lensa kamera seperti dalam penggambaran cerita sebenar.

Terbaharu, seorang pengantin mencuri tumpuan apabila berani menyarungkan topi keledar atau helmet Power Rangers di kepala bapa mentuanya ketika majlis perkahwinan berlangsung.

“Bila bapa mentua dapat menantu Power Rangers, dengan ini saya serahkan kuasa Power Rangers merah kepada bapa mentua saya,” tulis pengantin lelaki itu di ruangan kapsyen video di laman sosial.

Berkongsi cerita, Muhammad Ikhsan Faudzi berkata, dia dan isteri, Nur Ashikin Ahmad selamat bernikah di Kuala Nerang, Kedah, pada Ahad lalu.

Pemuda berusia 38 tahun itu memberitahu, dia semenangnya meminati adiwira dari Jepun, malah mempunyai koleksi enam kostum sejak setahun lalu.

“Saya selalu buat content berkaitan Kamen Rider, Power Rangers dan Spider-Man. Bagi menampakkan kelainan pada majlis perkahwinan saya, ada hantaran ‘kepala’ Power Rangers merah dan merah jambu.

“Sebelum saya sarungkan helmet tu, isteri dah tanya kat ayah dia terlebih dahulu minta izin. Ayah mulanya malu-malu, siap tanya boleh ke? Saya kata OK sangat!” katanya kepada mStar.

Hantaran buat kedua-dua pengantin yang disertakan dengan 'helmet' Power Rangers.

Lebih mesra disapa Mat Esan, katanya, bapanya yang memakai baju Melayu sememangnya cukup sporting bergaya dengan helmet adiwira itu meskipun usianya 61 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin terima hantaran ‘Kamen Rider’, tambahan kepada koleksi bernilai RM500,000... cuma sikit kecewa ada plan tak menjadi!

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Power Rangers masuk ofis! Pemuda tabah hiburkan orang ramai... sering simpan duka, masalah sendiri di sebalik kostum

“Sebelum kenal rapat bapa mentua terutama di awal pertemuan, dia memang nampak serius orangnya.

“Garangnya tu bertempat, sebenarnya bapa mentua saya boleh diajak bergurau dan sporting. Isteri kata ayah dia sangat penyayang dan suka bergurau dengan anak-anak dan cucu-cucu,” ujarnya yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Mat Esan (kiri) memakai kostum Kamen Rider untuk sesi fotografi perkahwinan.

Malah kata Mat Esan, bapa mentuanya juga tahu tentang minatnya terhadap adiwira sebelum berkahwin dengan anak perempuannya yang dikenali selama empat tahun.

“Setiap kali ada perjumpaan keluarga isteri yang ketika itu tunang saya, anak-anak buah dia pasti teruja dan terjerit-jerit segala nama Power Rangers apabila nampak saya ada sekali,” katanya yang memakai kostum Kamen Rider untuk sesi fotografi selepas majlis persandingan.

Mat Esan berpenampilan sebagai Kamen Rider, manakala isteri menjadi Power Rangers.

Di sebalik keterujaannya, pembantu tukang masak itu berkongsi kisah sedih mengenai dirinya terlibat dalam kemalangan motosikal kira-kira sebulan sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari rumah keluarga isterinya selepas perbincangan lanjut mengenai majlis perkahwinan.

Peluang ni datang sekali seumur hidup.

MUHAMMAD IKHSAN FAUDZI

Akibat kemalangan itu, dia mengalami kecederaan di bahagian muka terutama gusi serta kaki dan bibir turut menerima jahitan.

“Memang agak susah nak berjalan sebab kaki tak stabil macam tempang sampaikan mak tanya boleh ke nak pakai kostum tu?

Mat Esan (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga selepas perkenalan selama empat tahun.

“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik dan beritahu mak boleh je nak pakai. Lagipun peluang ni datang sekali seumur hidup. Rancang pun dah lama sebelum kemalangan.

“Syukur dapat merealisasikan impian perkahwinan ini. Paling tak sangka bapa mentua begitu yakin menyarungkan helmet Power Rangers di depan orang ramai di majlis kahwin.... ayah memang sporting!” katanya dengan nada teruja.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain