TIDAK pernah terlintas di fikiran ibu ini bahawa rakaman rutin harian menjaga anak istimewa yang baharu berusia sebulan menjadi momen terakhirnya bersama arwah. Malah detik-detik Nurul Nadia Mohd Shuib cuba menyelamatkan si kecil itu yang kerap mengalami masalah sesak nafas turut mencemaskan sesiapa sahaja yang menontonnya di TikTok. Menurut Nadia ketika dihubungi mStar, rakaman tersebut dibuat sehari sebelum anaknya, Nur Adeena Iman meninggal dunia pada 8 Ogos lalu. Pasangan ini berulang-alik ke hospital dari rumah untuk melihat anaknya. “Masa tu saya saja rakam video rutin siapkan Iman untuk kenangan. Tapi masa baru nak buka baju, dia menangis dan tiba-tiba muka jadi biru dan nafas terhenti. “Saya cuba untuk sedarkan Iman balik dengan tepuk-tepuk dia supaya bernafas balik. Ada bahagian saya tak ada dalam video. Masa tu saya pergi buat suction (sedutan) sendiri dekat mulut dia untuk keluarkan secretion. “Lepas bersihkan saluran pernafasan baru dia kembali bernafas. Sebenarnya ni bukan kali pertama jadi macam tu. Sejak keluar dari hospital lagi. Makin lama makin kerap jadi sebelum dia meninggal,” kongsinya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu tengok muka dia, tak sanggup nak terima” - Ibu anggap anak sindrom down anugerah terindah, video keletah comel raih jutaan tontonan ARTIKEL BERKAITAN: Anak OKU ‘tiket’ ke jannah! - “Ganjaran pahala besar tapi belum tentu ke syurga jika lalai tanggungjawab” Berkongsi kisah dukanya sebagai ibu, anak ketiganya ini menderita Sindrom Patau atau Trisomi 13 yang merupakan penyakit genetik pada bayi disebabkan jumlah kromosom 13 lebih banyak (3 salinan). Perkara itu diketahui Nadia dan suaminya setelah Iman dilahirkan dalam keadaan sumbing lelangit dan bibir. Tambahnya lagi, hasil keputusan DNA (asid deoksiribonukleik) mengesahkan bahawa anaknya mengalami penyakit tersebut dan memiliki jangka hayat pendek. Iman mengalami masalah sindrom patau sejak dilahirkan. Baginya yang merupakan seorang ahli fisiologi, dia berasa terkilan apabila tidak dapat meluangkan masa lebih lama dengan anak syurganya itu. “Sembilan hari sebelum Iman meninggal, makin kerap dia sesak nafas. Saya sedut sendiri saja guna alatan disewakan untuk buang air liur yang buatkan dia tersedak dan tak bernafas. “Sehari sebelum meninggal, Iman sampai jadi biru, lembik tak bernafas. Malam tu pun dia kerap terjadi sawan sampailah pagi hari dia meninggal. Jadi pagi tu saya bawa dia ke wad kecemasan. Tak mampu nak kurangkan kesakitan ditanggung... saya harap dia tenang dan bahagia sewaktu bersama kami. NURUL NADIA IBU “Doktor beritahu saya yang tahap oksigen dia dah mula menurun dan tunggu masa saja untuk pergi. Doktor minta saya bawa Iman balik untuk luangkan masa dan ‘bersedia’. Sampai saja di rumah pukul 9 pagi tu Iman dah meninggal,” ujarnya. Sebelum ini Nadia kerap berkongsi video bersama Iman di TikTok hingga meraih simpati netizen. Namun katanya semua perkongsian itu sekadar ekspresi emosi sedih selain mahu memberi kesedaran kepada orang ramai. Iman meninggal dunia pada usia satu bulan. “Saya dan suami sedih tak dapat nak luangkan banyak masa dengan dia. Tempoh 21 hari lepas dilahirkan memang dia duduk hospital... kami boleh melawat saja. “Apabila boleh bawa dia pulang, kami tak sempat nak bawa dia luangkan masa di luar sebab Iman sakit. Tak mampu nak kurangkan kesakitan ditanggung. Saya harap dia tenang dan bahagia sewaktu bersama kami. “Apa yang boleh saya nasihatkan untuk ibu-ibu mengandung, jika ada rezeki lebih buatlah ujian saringan genetik untuk mengesan masalah genetik... jika ada kita lebih bersedia,” ujarnya menutupi kisah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube