suria

“Balik sekolah je mesti beli” - Pemuda ketagih minuman berkarbonat, kena kencing manis terus kaki dipotong

Kaki kiri Mahathir dipotong pada awal tahun ini.

MENGINJAK usia 21 tahun, anak muda pastinya mampu aktif, bersemangat dan menjalani kehidupan penuh bertenaga.

Namun bagi seorang pemuda, kehidupannya berubah sepenuhnya apabila terpaksa merelakan sebelah kakinya dipotong.

Walaupun membuat satu keputusan berat, namun dia masih mampu mengukir senyuman tatkala berkongsi kisah mengenai kaki kirinya dipotong pada usia semuda itu.

Menurut Mahathir, sebelah kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis kira-kira seminggu sebelum ketibaan Ramadan tahun ini.

Dia turut mendedahkan mengenai ketagihannya yang suka minum air berkarbonat.

“Sebab kencing manis... saya minum lebih air (manis) daripada makanan. Balik sekolah je beli, balik sekolah je beli,” katanya mengenai air botol berkarbonat yang begitu popular dalam kalangan pelajar sekolah.

Mahathir mendapat bantuan kaki palsu.

Selepas ‘kehilangan’ kaki kiri, Mahathir mengakui mengalami kesukaran untuk berjalan sehingga membataskan pergerakan dan aktiviti.

ARTIKEL BERKAITAN: Diabetes tak tunggu usia tua! Remaja suka makan jajan tak lepas check-up, gagal sertai PLKN... Umur 27 tahun kena potong kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Siang malam asyik sedut teh ais ‘bersulam’ air berkarbonat! Lelaki ini menyesal amal gaya hidup tak sihat di usia muda

“Rasa susah nak berjalan. Fikir juga kita nak berjalan susah, kerja pun susah,” ujarnya yang pernah bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur selama lebih setahun.

Bagaimanapun, dia masih berharap agar diberi peluang untuk terus mencari rezeki.

“InsyaAllah kalau ada rezeki masuk (kerja). Kalau tak ada, cari rezeki lain,” katanya lagi menerusi video yang tular di TikTok.

Jangan putus asa, teruskan jaga kesihatan selepas ini.

NETIZEN

Menerusi video itu juga, Mahathir bersyukur dan meluahkan kegembiraannya apabila menerima tajaan kaki palsu daripada badan amal, PruBSN Prihatin.

“Saya amat gembira dapat berjalan. Terima kasih kerana membantu keluarga kami,” kata Mahathir menerusi video berdurasi satu minit dan 23 saat yang menunjukkan dirinya berlatih berjalan menggunakan kaki palsu.

Di ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa Mahathir dan perkongsian kisahnya memberi keinsafan kepada banyak pihak.

Mereka mulai sedar untuk menitikberatkan soal kesihatan terutama mengawal pengambilan gula dalam pemakanan seharian.

Mahathir berlatih berjalan menggunakan kaki palsu.

Pada masa sama, segelintirnya turut memberi kata-kata pembakar semangat supaya anak muda itu tabah menjalani kehidupan.

“Mahalnya sebuah kesihatan.

“Kasihan juga sebab muda lagi.

“Terima kasih sebab FYP (for you page). Memang auto insaf.

“Tak apa dik, perkara dah berlaku. Jangan putus asa, teruskan jaga kesihatan selepas ini. Moga dimurahkan rezeki.

Menurut akaun TikTok Kedidi_Kakipalsu yang membuat perkongsian video itu, orang ramai dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan pentingnya kesedaran tentang pemakanan.

Setakat ini, video tersebut meraih lebih 300,000 tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain