BAGI seorang lelaki, tiga tahun menduda merupakan tempoh yang cukup panjang dan memeritkan. Namun tempoh perit itu berakhir saat wanita yang pernah menjadi suri di dalam hidupnya menyatakan kesudian untuk kembali bersamanya sebagai pasangan suami isteri. Sukar untuk menggambarkan perasaan Nyak Zurimin Nyak Ibrahim, 49, namun air mata jantannya yang gugur dapat menterjemahkan kegembiraan dirinya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Selepas tiga tahun berpisah, Nyak Zurimin atau Zurimin disatukan semula dengan Melanie Taylor, 50, menerusi pernikahan di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, Selangor, pada 1 September. Pasangan ini kemudian melangsungkan majlis persandingan dan majlis resepsi di sebuah dewan di Subang Jaya, masing-masing pada Sabtu dan Ahad. Pasangan ini bernikah pada 1 September 2023. Berkongsi cerita, pengantin lelaki meluahkan rasa syukur kerana doanya untuk kembali bersama isteri dan anak-anak, dimakbulkan Allah. Zurimin mengakui kesilapannya ketika bergelar suami sebelum ini dan mengharapkan peluang kedua sejak mereka berpisah tiga tahun lalu, pada Ogos 2020. “Keputusan ini dibuat demi kebaikan saya, isteri, anak-anak serta cucu-cucu. Perkara terbaik yang harus saya lakukan adalah kembali kepada keluarga daripada mencari jodoh lain. “Di pihak saya... saya husnuzon (bersangka baik) dan bermuhasabah diri. Alhamdulillah, nasib baik dia (kini isteri) pun tak kahwin lagi,” katanya ketika dihubungi mStar. Zurimin (dua, kiri) dan isteri (tengah) bersama anak-anak. Sepanjang tempoh menduda itu juga, Zurimin berkata, dia berusaha untuk menawan kembali hati dan mengembalikan kepercayaan bekas isteri serta anak-anak. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - “Saya langsung tak ada perasaan pada dia” ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali berpisah dengan isteri, lelaki ini menangis hantar anak ke tadika... mahu bina semula keluarga buat kali ketiga! - “Ini jalan terbaik” Pasangan itu sebelum ini mendirikan rumah tangga selama 26 tahun sebelum berpisah dan membawa haluan masing-masing. Zurimin bersyukur dapat menawan semula hati wanita ini. Bapa kepada tiga anak itu mengakui bukan mudah untuk dirinya memujuk tetapi dia berusaha sehabis baik dengan mengetepikan egonya. “Semua orang pernah melakukan kesalahan dan setiap lelaki ada ego. Saya sendiri mengakui ego saya tinggi. Tapi saya cuba ketepikan ego untuk dapatkan semula keluarga. Semua orang pernah melakukan kesalahan dan setiap lelaki ada ego. Saya cuba ketepikan ego untuk dapatkan semula keluarga. NYAK ZURIMIN NYAK IBRAHIM “Dari tahun pertama selepas bercerai, saya pujuk tetapi gagal. Saya ada pujuk lagi selama setahun, tapi saya faham hati perempuan memang keras, bila dah kata itu, itulah kata dia. “Apa yang berlaku, saya anggap sebagai ‘hukuman’ dan cuba melakukan perubahan diri. Saya tak putus asa untuk memujuk,” ujarnya yang berasal dari Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Majlis persandingan turut diraikan keluarga dan saudara-mara serta kenalan. Tatkala diberi peluang kedua, pramugara itu meluahkan kesyukuran di Tanah Suci ketika terlibat dalam penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi. “Saya sujud syukur dan berdoa di Masjid Nabawi di Madinah. Saya tak berhenti menangis kerana Allah telah tunaikan permintaan saya untuk kembali bersama isteri dan keluarga. “Sebenarnya dari dulu, sebelum, semasa dan selepas memujuk memang saya menangis,” katanya yang berpengalaman bertugas di awan biru selama 30 tahun. Kegembiraan tergambar di wajah pasangan pengantin ini. Zurimin yang kini dikurniakan dua cucu juga berharap kisahnya menjadi teladan kepada kaum lelaki di luar sana terutama bekas-bekas suami yang mahu menyelamatkan rumah tangga. “Bagi saya dalam penceraian, lelaki perlu mengetepikan egonya. Macam buang terus dalam ‘tong sampah’. Selain itu, kena ada usaha yang berterusan. “Sudah tentu untuk kembali bersama, kita perlu berubah menjadi yang lebih baik. Tapi ego dan usaha juga penting, lakukannya sebaik mungkin, InsyaAllah,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube