suria

Tunku Azizah hulur tangan sambut surat rakyat... Ramai kagum sumandak Sabah berani luah isi hati - “Kami ketinggalan arus kemodenan”

Ningsi bersyukur dapat menyerahkan supucuk surat kepada Raja Permaisuri Agong.

KUNJUNGAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Sabah menerusi Kembara Kenali Borneo menerima sambutan luar biasa daripada rakyat negeri itu.

Menerusi video tular, orang ramai berkumpul di sepanjang jalan bagi menyaksikan baginda dengan lebih dekat yang menaiki sebuah kereta bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Paling mencuri tumpuan tentunya aksi seorang wanita dikenali sebagai Sri Wahyu Ningsi, 26, yang teruja selepas berjaya menyerahkan sekeping surat kepada Tunku Azizah semasa sesi lawatan itu.

Nin

Ningsi juga sempat berswafoto bersama anakanda Yang di-Pertuan Agong.

Ningsi yang menggayakan tudung rona ungu dilihat menghulurkan surat itu kepada seorang pegawai pengiring sebelum ia diserahkan kepada Tunku Azizah yang berada di dalam kereta.

Bercerita tentang pengalaman mengujakan itu, Ningsi berkata dia gembira dapat melihat pasangan diraja kesayangan rakyat jelata secara dekat, malah bersyukur suratnya juga berjaya disampaikan.

"MasyaAllah Alhamdulillah Tabarakallah. Terima kasih Permaisuri tercinta kerana sudi terima surat daripada rakyat jelatamu dihujung dunia ni.

Tidak semua orang berpeluang menyampaikan luahan isi hati mereka dengan Raja dan Permaisuri, tapi aku bersyukur kerana segalanya dipermudahkan.

SRI WAHYU NINGSI

"Bersyukur sangat berpeluang dapat melihat Raja dan Permaisuri sekeluarga depan mata Alhamdulillah. Tidak semua orang berpeluang menyampaikan luahan isi hati mereka dengan Raja dan Permaisuri, tapi aku bersyukur kerana segalanya dipermudahkan.

"Alhamdulillah, semoga surat terbuka ku diterima baik oleh Raja dan Permaisuri. Daulat Tuanku," tulisnya menerusi Facebook.

Ningsi turut berkongsi isi kandungan surat tulisan tangannya yang berjaya diserahkan kepada Tunku Azizah menerusi satu hantaran berasingan di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong, Tunku Azizah sweet pimpin, hayun tangan turun pentas... ‘relationship goals’ kata Puteri Afzan, siap ada yang bagi idea buat majlis kahwin!

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki pagi raya! Comel Permaisuri Agong berlari-lari anak nampak rakyat Malaysia di Makkah, bertuah dapat ‘selfie’ bersama

"MasyaAllah tabarakallah. Assalamualaikum Tuanku. Semoga Tuanku sekeluarga sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah. Kenalkan saya Sri Wahyu Ningsi, 26, berasal dari Sandakan, Sabah.

"Tujuan saya menulis surat ini adalah ingin menyatakan luahan hati yang lama terbuku. Saya sebagai peniaga kecil-kecilan amat terkesan dengan kenaikan harga barang yang begitu mendesak. Hari demi hari ada sahaja kenaikan harga," tulisnya.

Dalam surat sama, Ningsi turut mengadu tentang masalah keperluan asas dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Agong dan Raja Permaisuri Agong atas kunjungan ke negeri itu.

"Selain itu, negeri tercinta ini masih tidak lepas daripada isu air, elektrik dan jalan raya. Kami masih ketinggalan arus kemodenan. Kehidupan daif terutama di kawasan pedalaman Sabah sangat menghiris hati.

375317168_1802537953580561_6741259158453780142_n

Surat Ningsi yang berjaya disampaikan kepada Raja Permaisuri Agong.

"Saya berharap Sabah akan terus dipandang, dekat dan selari dengan arus kemajuan negeri-negeri lain di Malaysia. Akhir kalam, sekian itu sahaja luahan saya sebagai rakyat marhaen di bumi Sabah ini.

"Terima kasih Tuanku sudi berkunjung ke bumi Sabah yang tercinta. Ikhlas daripada saya, seorang perintis, bukan pewaris," tulisnya lagi.

Selain menyerahkan surat kepada Tunku Azizah, Ningsi juga sempat berswafoto dengan anakanda Yang di-Pertuan Agong ketika kereta dinaiki mereka melintas secara dekat.

Posting Ningsi di Facebook meraih lebih 2,200 perkongsian dan turut dihujani lebih 200 komen positif netizen.

Untuk rekod, program Kembara Kenali Borneo berlangsung pada 3 hingga 13 September.

Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu bermula di Tawau dan beberapa lokasi lain sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam.

Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain