suria

Pakcik menggigil sejuk tepi jalan pukul 5 pagi! Keluar sendirian nak cari anak, kemalangan sebab brek motor rosak

Tangkap layar video menunjukkan seorang pakcik terbabit kemalangan jalan raya.

RAKAMAN memaparkan seorang lelaki lanjut usia terbabit kemalangan jalan raya mengundang sebak netizen.

Video itu dikongsikan TikToker, Syakir Belon yang menceritakan semula bagaimana dia dan rakan-rakan membantu pakcik tersebut.

Lebih menyayat hati apabila Syakir memaklumkan pakcik itu dijumpai dalam keadaan menggigil kesejukan dan mengalami kecederaan, dalam kejadian lebih kurang pukul 5 pagi Jumaat

"Awal pagi lebih kurang pukul 5 pagi. Kami ternampak pakcik ni terduduk dan dalam keadaan menggigil kesejukan.

"Pakcik ni kemalangan jalan raya sorang-sorang. Siku pakcik ni berdarah sebab kemalangan. Baju pakcik tu lencun basah.

Syakir dan rakan-rakan membantu seorang pakcik yang terbabit kemalangan.

"Bayangkan jalan kosong macam ni licin selepas hujan. Sorang-sorang pula tu dengan terlibat kemalangan lagi," tulisnya dalan hantaran tersebut.

Menurut Syakir, pakcik itu juga dipercayai nyanyuk kerana tidak dapat membezakan cuaca siang dan malam.

Namun, apa yang menyentuh hati warga maya apabila dia masih memikirkan tentang anaknya walaupun mengalami kecederaan.

"Bila kami tanya, pakcik ni rupanya dalam keadaan nyanyuk (Alzheimer). Pukul 5 pagi dia kata petang. Padahal langit gelap sangat-sangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori tak sangka ada mata perhati gerak gerinya bersama pakcik bertongkat... tau-tau dah viral - “Rakan beritahu, berderau juga darah...”

ARTIKEL BERKAITAN: Si cantik hati mulia... Sanggup pandu perlahan jam 2 pagi, tak sampai hati ‘potong’ pakcik naik motor tiada lampu

"Katanya nak jumpa anak dia dekat kawasan jalan menuju ke Istana Negara. Bateri telefon bimbit pakcik pun habis.

"Bila kami check motosikal ni rupanya tak ada brake berkemungkinan sebab putus (rosak)," ujarnya lagi.

Dalam video berdurasi 1 minit 13 saat itu, kelihatan bahagian siku pakcik itu dipenuhi dengan darah akibat kemalangan.

Syakir kemudian memberikan sehelai kain kepadanya disebabkan baju dipakai basah lencun terkena hujan.

Mula-mula kami cuba pujuk nak bawa pakcik ni ke balai polis tapi dia tolak sebab tak nak menyusahkan orang.

SYAKIR BELON

Bimbang akan keselamatannya, Syakir dan rakan-rakan cuba memujuknya untuk dibawa ke balai polis.

"Mula-mula kami cuba pujuk nak bawa pakcik ni ke balai polis tapi dia tolak sebab tak nak menyusahkan orang. Akhirnya kami bawa juga menaiki kereta kami sendiri.

"Salah seorang daripada kami pula bawa motosikal tu sebab terlalu bahaya untuk pakcik ni tunggang sendiri.

"Alhamdulillah kami serahkan pakcik tu dekat pihak berkuasa untuk dibantu. Kami doakan pakcik dipermudahkan urusan," ujar Syakir pada penghujung video.

Komen netizen di TikTok.

Hantarannya meraih lebih 1.6 juta jumlah tontonan setelah disiarkan di TikTok.

Rata-rata netizen berterima kasih kepada Syakir dan rakan-rakannya yang prihatin terhadap warga emas tersebut.

"Sedihnya, terima kasih orang baik sebab tolong pakcik. Tiba-tiba mengalir air mata teringat arwah ayah.

"Harap sangat anak-anak dia hargai ayah dan sayang pakcik ni betul-betul. Aku tak bolehlah, sumpah nak menangis.

"Aku harap kalau aku dah kahwin nanti, ayah aku tak jadi (terabai) macam ni," ujar warganet di ruangan komen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain