suria

2 hari ‘jaga’ tangan, makan suruh isteri suapkan! Pemuda tak boleh ‘move on’ salam Agong, melompat hadiahkan Tengku Ahmad perfume

Momen manis Arief bersalaman dengan Al-Sultan Abdullah dan memberi hadiah kepada Tengku Ahmad.

KEHADIRAN Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan adindanya, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah turut menjadi perhatian dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengetuai kembara, yang turut menyaksikan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dalam kembara berkenaan.

Ternyata rakyat di Bumi Kenyalang amat teruja menantikan kedatangan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Menerusi satu video yang tular, seorang pemuda dalam ribuan hadirin di Bintulu dilihat menyanyikan lagu ulang tahun hari keputeraan Tengku Ahmad yang jatuh pada 11 September.

Dengan penuh keterujaan, Arief Abdul Kuddus memegang kadbod dengan ucapan selamat hari ulang tahun bagi menarik perhatian Tengku Ahmad pada Ahad.

Tuah menyebelahi pemuda berusia 33 tahun itu kerana dia bukan sahaja dapat menyerahkan hadiah tersebut kepada Tengku Ahmad Ismail yang berada di dalam kereta, malah berpeluang untuk bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hassanal turut menjadi perhatian rakyat di Sarawak.

Berkongsi kegembiraan itu, pemuda berasal dari Bintulu itu berkata, dia bersama penduduk Kampung Penan Muslim Batu 10 masing-masing merancang untuk menyanyi lagu ulang tahun buat Tengku Ahmad pada sebelah petang.

"Pagi tu saya dan team membuat persiapan untuk menghadiahkan wangian buat Agong, Permaisuri Agong dan anakandanya sebagai tanda ingatan.

"Kami membuat semakan nama masing-masing di carian Google untuk menulis ucapan, tapi masa nak dapatkan nama lengkap Tengku Ahmad, barulah kami perasan hari jadi dia rupa-rupanya kebetulan pada 11 September. Jadi, saya tulis kadbod khas untuk Tengku Ahmad," katanya kepada mStar.

Arief (kanan) dan isteri.

Mengulas lanjut, dia yang mesra disapa Arief memberitahu, dirinya setia menunggu lebih empat jam untuk menyaksikan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah termasuk Tengku Hassanal serta Tengku Ahmad di hadapan mata.

Namun, content creator di sebuah syarikat pembekal wangian yang berpangkalan di Bintulu itu hanya mampu tawakal sebaik melihat sepanjang jalan dibanjiri orang ramai.

Macam kena histeria dapat jumpa mereka sebab terlalu teruja.

ARIEF ABDUL KUDDUS

"Ramai sangat orang, masa tu kami tawakal. Syukur Alhamdulillah dalam ribuan tu, saya seorang yang pegang kadbod tulis hari ulang tahun untuk Tengku Ahmad.

"Tak sangka dapat salam dengan Agong, dapat bagi hadiah terus kepada Tengku Ahmad. Satu perasaan teruja yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata," ujarnya.

Hantaran Tengku Ahmad di story Instagram miliknya yang menunjukkan sejumlah hadiah hari jadinya.

Mengakui keterujaan yang dirasai begitu luar biasa, Arief turut mendedahkan malam itu dia nekad untuk tidak mahu mengotorkan tangannya selepas bersalaman dengan Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Seram’ campur lucu YDPA pandang atas bawah diminta sign jersi Arsenal - “Tuanku sokong Liverpool sebenarnya tu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Pengawal macam nak tercabut jantung!” - Kembara YDPA di Sabah cukup manis, paling lucu panggilan ‘Pakcik Agong’ dan ‘Datin Permaisuri’

"Saya tak mahu kotorkan tangan saya dengan makan pakai tangan. Mujur saya ada isteri yang sudi menyuap saya makan malam tadi (Ahad).

"Esoknya (Isnin), saya makan menggunakan sudu. Kebiasaannya, saya memang makan guna tangan tapi kasi chance la untuk saya simpan 'aura' Tuanku," ujarnya.

Arief (kanan) bersama rakan sepasukan.

Menyifatkan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal serta Tengku Ahmad begitu merendah diri dan berjiwa rakyat, Arief berkata, pihaknya menyediakan hadiah berupa lima daripada 700 jenis wangian segar dan harum.

"Setiap wangian ni dihadiahkan berdasarkan karakter masing-masing. Saya sangat gembira rancangan kami untuk menyerahkan hadiah wangian ini menjadi.

"Saya macam kena histeria dapat jumpa mereka sebab terlalu teruja. Apabila tahu Tengku Ahmad ada kongsi gambar hadiah yang dia dapat termasuk yang kami bagi itu, menerusi story Instagram dia, memang saya melompat sebab seronok sangat," ujarnya gembira.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain