WALAUPUN usia menghampiri satu abad, namun ingatan seorang nenek begitu kuat dan masih mampu menghafal surah-surah al-Quran. Menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, wajahnya cukup tenang ketika menghafal surah Al-Masad. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Seorang cucu yang membuat rakaman itu berkata, neneknya, Zainab Abu Bakar, 93, bukan sahaja masih mampu mengaji, malah boleh mengajar anak-anak kecil membaca al-Quran. Menurut Abdul Mutalib Abdul Mubin, 32, neneknya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu merupakan seorang guru dan berpengalaman sebagai tukang jahit untuk menyara keluarga. “Tahun ni umur nenek saya berusia 93 tahun, Alhamdulillah dia masih boleh mengaji dengan baik. Syukur nenek tiada masalah penglihatan seperti rabun yang teruk. “Pada usia begitu, nenek tak nyanyuk. Ingatannya masih kuat. Ramai yang khatam mengaji al-Quran dengan nenek., mereka panggil Tok Mengaji,” katanya kepada mStar. Nenek Zainab masih bertenaga dan kuat ingatannya. Mesra disapa Mutalib, dia turut berkongsi tentang dirinya yang turut dididik mengaji sehingga khatam pada usianya enam tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya nenek usia 107 tahun ini srikandi zaman Mat Kilau, pernah jadi guru silat... Syukur masih sihat, boleh baca al-Quran ARTIKEL BERKAITAN: Kawan-kawan cucu ‘masuk air’, riuh-rendah datang beraya rumah nenek... Tapi si baju biru paling suka buat perangai! “Masa kecil, nenek kasi saya upah 50 sen hari-hari untuk tarik minat saya belajar mengaji dengan dia. Masa tu kanak-kanak kan, memang teruja dapat upah. Tapi lama-kelamaan saya sendiri yang seronok nak mengaji. “Disebabkan nenek mengajar, saya jadi pandai mengaji. Saya faham tajwid, mahir cara bacaan al-Quran, Alhamdulillah,” ujarnya sambil menambah neneknya dikenali dalam kalangan penduduk di sekitar Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Selangor kerana kebolehannya membaca dan mengaji al-Quran. Mutalib (kiri) bersama ibu (kanan) dan nenek pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. Tidak dinafikan wajah nampak garang, tapi kata Mutalib, neneknya yang mempunyai tiga anak, 10 cucu dan 10 cicit itu sebenarnya mudah mesra dan penyayang. “Nenek sangat penyayang, malah saya banyak belajar daripada nenek tentang kasih sayang, ihsan dan bersimpati serta membantu orang lain. “Nenek punya sweet tu sampai ke bini saya pun dia sangat mengambil berat macam mana dia menjaga saya selama ni,” katanya mengenai isterinya yang mengusahakan bisnes khat digital. Nenek Mutalib (belakang, tengah) bersama keluarga. Menurut pengusaha bisnes bekalan makanan laut itu, neneknya juga sangat mengambil berat dan menitikberatkan tentang kebersihan. “Sedangkan apabila saya nak solat pun nenek tolong bentangkan sejadah. Selalunya orang muda buatkan untuk orang tua, tapi nenek buat macam tu sebab dia tahu saya nak solat. “Mengemas tak usah cakaplah, orang kata jangan kemas, tapi dia buat juga. Paling penting nenek amat menjaga waktu solat. Sebelum masuk waktu solat, dia dah standby,” ujarnya yang juga merupakan seorang model di pentas peragaan. Dia berharap dengan perkongsian video yang dimuat naiknya di laman sosial dapat memberi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat terutama anak-anak muda. Menurut Mutalib, neneknya banyak mengajarnya erti kasih sayang selain mengaji al-Quran. “Kita patut ambil perkara yang positif berbanding negatif. Memang ada anak muda yang boleh mengaji, tapi belum tentu membaca dengan baik mengikut tajwid dan sebagainya. “Kita yang muda-muda patut rasa segan dan buka minda kita untuk turut sama belajar mengaji seperti nenek. Maka belajar mengaji daripada sekarang,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube