suria

“Sepatutnya saya di sebelah dia” - Lafaz akad dari speaker masjid bikin berjurai air mata, tak dapat ada di sisi pada hari bahagia sahabat

Quirratul tidak dapat masuk ke masjid pada majlis akad nikah sahabatnya kerana datang bulan.

LULUH hati seorang wanita apabila impian untuk melihat momen paling bermakna dalam hidup sahabatnya tidak kesampaian.

Ketika dihubungi mStar, Nurul Quirratul, 24, menceritakan semula kisah di sebalik video menunjukkan dia menangis di dalam kereta kerana tidak dapat bersama sahabatnya ketika acara akad nikah yang berlangsung 2 September lalu.

Menurut Quirratul, dia tidak boleh masuk ke dalam Masjid Saidina Umar Al-Khatab, di Sungkai, Perak kerana sedang haid.

"Saya menangis sebab sedih sangat masa kawan baik sendiri akad nikah saya tak ada di sisi dia. Sepatutnya saya jadi pengapit yang duduk sebelah dia.

"Tapi saya tak boleh masuk ke dalam masjid sebab datang bulan sehari sebelum dia akad nikah. Nak tengok dari luar pun tak boleh sebab masjid dekat sini jenis tertutup.

"Tapi mujurlah teknologi masjid dah moden sikit berbanding dahulu. Mereka pasang speaker kuat jadi saya yang duduk dekat luar boleh dengar dengan jelas apa berlaku dekat dalam tu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan pengantin baharu menangis penat jaga suami, pikul tugas isteri! Biasa bangun 11 pagi ibu dah buat semua

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lelaki kiriman Tuhan’ pernah menangis, cair dengan wanita tanpa tangan! Mesej nak berkenalan hanya dibalas selepas 2 tahun

Mengenangkan persahabatan mereka sudah terjalin sejak 14 tahun lalu, rasa sebak di dada semakin berganda ketika dia sendirian berada dalam kereta pada hari akad nikah.

Apatah lagi saat nama sahabatnya, Aida Syahirah, 24, disebut oleh pengantin lelaki membuatkan dia mula mengimbau kenangan mereka bersama sejak saling mengenali di bangku sekolah.

Quirratul menjadi pengapit semasa majlis persandingan Aida.

Walaupun sudah mengetahui dia tidak dapat bersama ketika akad nikah, Quirratul tetap memakai busana pengapit (bridesmaid) untuk meraikan hari bersejarah sahabatnya.

"Apa yang buat saya lagi sedih masa duduk sorang-sorang dalam kereta tu apabila teringat balik selama ni kalau ada apa-apa mesti dia cari saya dan seorang lagi sahabat kami, Anati untuk bercerita atau mengadu.

"Kami dah berkawan lama jadi banyak sangat yang kami hadap sama-sama. Bila dengar nama dia masa lafaz akad tu, rasa sebak lain macam. Tambah pula lepas kahwin dia berpindah jauh tinggal dengan suami dekat Kuantan, Pahang dan tinggalkan kami di Perak.

Pengantin tak boleh tukar tempat sebab memang tak buat persiapan tempat lain.

NURUL QUIRRATUL

"Walaupun lepas ni susah nak berjumpa, saya gembira dia akhirnya berada di tangan orang yang tepat. Saya dan Anati pun dah banyak bantu dia tiga bulan sebelum majlis berlangsung. Jadi bila dah akad tu ibaratnya majlis pun dah selesai," tambahnya yang berasal dari Sungkai.

Quirratul yang mengusahakan perniagaan tudung jenama sendiri berkata, hanya Aida seorang sahaja yang sudah mendirikan rumahtangga dalam kalangan mereka bertiga.

Quirratul (kiri), Aida (tengah) dan Anati bersahabat baik sejak kecil.

Quirratul sudah memaklumkan kepada Aida bahawa tarikh pernikahannya jatuh pada hari dia datang bulan namun tiada apa yang boleh dilakukan memandangkan segala perancangan sudah dilakukan.

"Saya dah beritahu Aida mengenai saya tak boleh masuk masjid tu. Pengantin tak boleh tukar tempat sebab memang rancang akad nikah dibuat di masjid.

"Masa akad nikah tu, Aida tak menangis sebab nak jaga mekap supaya tak rosak. Tapi lepas dia tengok video saya viral dekat TikTok tu dia pun menangis juga.

"Tapi apa-apa pun saya bersyukur majlis berjalan dengan lancar. Saya dan Anati doakan yang terbaik untuk Aida dan suami. Ada rezeki kita jumpa lagi. Semoga persahabatan kami kekal sampai bila-bila," katanya lagi.

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, mereka berpendapat, pandangan yang mengharamkan wanita duduk di dalam masjid atau surau adalah lebih selamat, tepat dan rajih.

Hal ini kerana jika dibenarkan mereka memasuki masjid secara bebas, dibimbangi akan mengotorkan ruangan solat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain