suria

Dulu asyik minta nugget, bosan masakan ibu... Pemuda ini terkenang kisah lama, kini rindu air tangan arwah mama!

Lelaki ini berkongsi kisah lalu tentang bekal makanan ke sekolah.

HILANGNYA sosok seorang ibu pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap anak.

Insan inilah yang membawa kita ke dunia dan tanpa kehadiran mereka di sisi, hidup pasti akan terasa kosong.

Begitulah perasaan yang dikongsikan seorang jejaka dikenali sebagai Abang Sejuk apabila dia merindui masakan air tangan ibunya.

Perkongsian di TikTok oleh Abang Sejuk.

Dalam video luahan perasaan di TikTok, lelaki itu mengakui menyesal dengan sikapnya sendiri sewaktu kecil yang kurang menggemari juadah disediakan ibu untuk dibawa bekal ke sekolah.

"Waktu aku kecil-kecil dulu pergi ke sekolah rendah, setiap hari mama akan sediakan bekal makanan untuk bawa pergi sekolah. Makanan mama masak biasanya macam nasi goreng, cekodok dan cucur pisang macam tu.

"Cuma setiap kali tibanya waktu rehat, aku akan tengok kawan-kawan aku, mereka makan benda macam nugget, ayam goreng dan fries (kentang goreng).

ARTIKEL BERKAITAN: Hiba di sebalik masakan enak! Anak kongsi momen makan lauk terakhir tinggalan ibu, ‘part’ hisap daun paling tragis

ARTIKEL BERKAITAN: Suami menangis dapat lepas rindu makan gulai ayam ala masakan ibu, hakikatnya isteri hanya masak guna rempah frozen tahun lepas

"Bila balik rumah, aku cakap dekat mama... dekat sekolah semua makan makanan orang kaya-kaya. Bagi aku waktu tu, nugget semua tu makanan orang kaya. Aku teringin juga nak makan macam tu.

"Aku ada minta dekat mak nak makan juga makanan orang-orang kaya ni," kata Abang Sejuk yang berkerjaya sebagai seorang pemborong penghawa dingin.

Ibu Abang Sejuk bagaimanapun memberikan satu jawapan yang membuatkannya tersengih seketika apabila mengenang kembali.

Walaupun sekadar nasi goreng dengan telur mata, tapi apabila dimasak oleh ibu, nikmat sungguh rasanya.

WARGA MAYA

"Mama cakap waktu tu, ish nugget tu adik tahu tak bukan makanan orang kaya, nugget tu diperbuat daripada punggung ayam (tonggeng).

"Tapi aku tetap rasa macam ketinggalan apabila tengok kawan-kawan makan sosej dan ayam goreng, bagi aku waktu tu, itulah definsi makanan orang kaya," ujar Abang Sejuk.

Namun begitu, apabila meningkat dewasa, Abang Sejuk mula menyedari realiti antara makanan 'orang kaya' tersebut dan masakan ibunya.

"Sekarang aku dapat lihat nilai sebenar jika dibandingkan makanan orang kaya dengan makanan air tangan mama, mana yang lebih sedap?

Makanan Barat pastinya kelihatan menyelerakan. -Gambar hiasan

"Ternyata apabila aku dah besar ni, makanan air tangan mama yang jauh lebih sedap daripada makanan orang kaya tadi. Akan sampai satu masa apabila kita dah dewasa, kita akan merindui masakan air tangan ibu kita.

"Bawa la makanan yang food review kata paling sedap pun, diberi rating 100 peratus pun, tak akan boleh lawan air tangan ibu. Kini aku nampak, tak kaya mana pun makanan orang kaya tadi.

"Itulah manusia yang tak akan pernah bersyukur dengan apa yang dia ada. Dan sekarang aku kehilangan, tidak lagi boleh merasa air tangan seorang ibu. Tak hebatnya diri ini tanpa doa seorang ibu," kata Abang Sejuk menutup bicara.

Di ruangan kapsyen, Abang Sejuk berkata dia akan sentiasa mendoakan ibunya yang sudah tidak lagi ada bersamanya.

Sebahagian komen warga maya.

"Insya-Allah doa anak-anak kamu sentiasa mendampingi kuburmu ibu. Ajib (Abang Sejuk) akan sentiasa mendoakan buat mama. Semoga kita berjumpa lagi di alam sana dan dapat merasa lagi hasil masakan tanganmu," tulis Abang Sejuk.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memahami keperitan untuk kehilangan seorang ibu.

"Walaupun air tangan ibu kita hanyalah masakan biasa, itulah yang kita akan teringat dan teringin.

"Betul, walaupun sekadar nasi goreng dengan telur mata, tapi apabila dimasak oleh ibu, nikmat sungguh rasanya.

"Kadang waktu balik kampung rumah mak, saya tak ada la lapar mana pun, tapi apabila nampak mak masak, saya terus jadi berselera nak makan," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain