suria

Pembeli sanggup beratur, netizen pula ‘panas’ hati... Peniaga kek nafi ‘jemur’ pelanggan, ada sebab tak buka pagar awal

Ramai pelanggan sedia menunggu di luar rumah untuk membeli kek.

BUKAN hanya di kedai, berniaga daripada rumah juga mampu menarik kehadiran ramai pelanggan.

Begitulah juga dengan jualan kek beraneka jenis dan perisa di depan sebuah rumah, sehingga pelanggan sanggup datang menyerbu untuk membeli.

Menerusi video yang tular, kelihatan seorang peniaga menyusun satu persatu kek di atas meja di luar rumah dengan sekumpulan pelanggan dilihat sabar menunggu di hadapan pintu pagar.

Namun, video yang meraih tiga juta tontonan di TikTok itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir netizen apabila situasi tersebut membuatkan para pelanggan terpaksa menunggu lama.

Menjelaskan mengenai insiden yang berlaku baru-baru ini, Sharifah Umar yang mengusahakan bisnes kek daripada rumah di Kuala Ketil, Kedah, sejak 2015 tampil menjelaskan situasi.

“Ada yang komen kata kami sengaja jemur pelanggan tengah panas, biar mereka tunggu lama-lama. Sebenarnya pelanggan yang datang bukan tunggu berjam-jam.

“Bisnes mula beroperasi pukul 5 petang, dan kami mula menyusun kek-kek di depan rumah dari 4.30 petang. Pelanggan hanya mula datang seawal 4.45 petang.

“Pukul 5 petang pintu pagar dibuka, jadi kebiasaannya pelanggan hanya tunggu antara 15 hingga 20 minit,” katanya kepada mStar.

Antara 30 jenis kek yang dijual.

Mengulas lanjut, peniaga yang mesra disapa Efa ini berkata, setiap kek perlu disusun terlebih dahulu di atas meja bagi memudahkan operasi dan pembelian dibuat.

“Kalau tindih-tindih dan bercampur tanpa mengikut jenis hanya akan melambatkan urusan pembelian dan membuatkan pelanggan di belakang tunggu lebih lama.

“Biasanya tiga pelanggan dibenarkan masuk ke bahagian dalam pada satu-satu masa supaya tidak berebut-rebut atau memotong giliran,” ujarnya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Tanpa mengira panas atau hujan, rumah Sharifah tetap dikunjungi pelanggan.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, hari operasi perniagaan tidak menentu dan akan dimaklumkan menerusi Facebook dan grup WhatsAppp.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah panas pun tak kisah! Beratur macam nak tengok konsert, Kieda Crepe pasang pagar besi... Dipuji belajar daripada kesilapan

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa, tak percaya? Abang polis handal buat kek siap ambil tempahan... tegas ketika pakai uniform biru, teliti semasa sarung apron

“Contoh kalau esok nak berniaga, hari ni kami dah letak pengumuman. Tapi operasi memang bermula pukul 5 petang sehingga 7 petang atau apabila terjual semuanya.

“Secara purata 100 biji kek terjual sehari, dan jualan paling tinggi sehari adalah 180 biji,” katanya yang mengusahakan bisnes kek bersama dua lagi rakan, Zalipah Ibrahim, 34, dan Nurul Farieza Nabilla Mat Fauzi, 24.

Sharifah (kiri) mengusahakan bisnes kek bersama Nurul (tengah) dan Zalipah.

Tambah Sharifah, sebelum ini pernah berlaku insiden di mana pelanggan datang terlalu awal sedangkan kek belum sedia sepenuhnya untuk dijual.

“Ada yang datang ketuk pintu seawal 2 petang. Kek belum sejuk dalam chiller, topping pun belum letak tapi pelanggan nak beli. Selepas tu dia tinggalkan kek dalam kereta dan kemudian mengadu bahagian keju bau masam.

Ada yang datang ketuk pintu seawal 2 petang... kek belum sejuk dalam chiller, topping pun belum letak tapi pelanggan nak beli.

SHARIFAH UMAR

PENGUSAHA BISNES KEK

“Kami mahu semua kek disejukkan dahulu sebelum boleh dijual. Sebab itu pukul 5 petang baru kami boleh berniaga,” katanya yang menjual 30 jenis kek.

Susulan kekecohan di media sosial, Sharifah turut memberitahu terdapat pokok mempelam di tepi rumahnya, sekali gus membolehkan pelanggan untuk berteduh ketika cuaca panas.

Sharifah mengimpikan untuk memiliki kedai kek sendiri.

“Untuk penambahbaikan, kami akan meletakkan beberapa kerusi kepada para pelanggan yang datang awal dan mengikut giliran untuk menunggu dengan lebih selesa.

“Harap tiada lagi isu yang timbul atau salah sangka daripada mereka yang tidak berada di tempat kejadian.

“Kami juga dalam pertimbangan untuk letak papan tanda waktu operasi di pintu pagar supaya mereka tak datang terlalu awal dan terpaksa menunggu lama,” jelasnya yang mengimpikan untuk memiliki kedai kek sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain