BUKAN sekadar memberi makanan kepada anjing jalanan, personaliti media sosial ini turut melakukan kerja amal membantu golongan susah. Terbaharu tular video menunjukkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama menerima sumbangan berupa barang keperluan harian daripada pemuda bernama Muhammad Faiz Basirun ini. Turut dikenali dengan gelaran ‘CEO Anjing’, Faiz menyumbang sebanyak 300 kampit beras dengan berat keseluruhan 1.5 tan kepada penduduk Pulau Pinang yang memerlukan persis seorang wakil rakyat. Faiz bersama antara penerima sumbangan. Ujar pemuda berusia 21 tahun ini, dia terdetik hati untuk memberi sumbangan berikutan kenaikan harga barangan termasuk beras. “Tular isu harga beras naik, jadi saya ikhlas nak bantu. Saya lakukan ini kerana ramai meminta bantuan rentetan kenaikan harga beras. “Ada rakyat menderita dengan kenaikan harga barang, dan ramai yang mengeluh. Sumbangan ini diberikan kepada kira-kira 300 penerima terutama golongan B40 daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan bangsa,” katanya ketika dihubungi mStar. Berasal dari Langkawi, Faiz menegaskan sumbangan dibuat hasil daripada keuntungan perniagaannya bagi produk minuman premium kopi, coklat dan teh. “Saya langsung tidak mendapat tajaan daripada mana-mana parti politik untuk sumbangan ini. Saya sedih apabila difitnah, saya bekerja keras untuk bantu orang. “Nak buat baik pun masih mencari kesalahan. Saya lahir daripada keluarga susah. Saya pegang pada satu prinsip, apabila kita rajin memberi, rezeki kita akan diperluaskan InsyaAllah,” ujarnya sambil menambah sumbangan dibuat di Lotus Seberang Jaya di Pulau Pinang, pada Rabu. Para pelanggan beratur untuk mendapatkan produk minuman di gerai Faiz. Untuk rekod Faiz yang merupakan pengasas bersama bagi produk minuman yang mencatatkan jualan menggalakkan. “Alhamdulillah, jualan mencecah lima angka sehari,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda anggap anjing jalanan macam kawan, ada duit lebih belanja Pizza Hut, KFC... hari-hari biasa diberi makan ‘dry food’ ARTIKEL BERKAITAN: ‘CEO Anjing’ pilih raya sederhana walau dah senang! Tak lupa dulu mak pinjam duit jiran beli beras, terkesan selepas bantu asnaf Pada masa sama, Faiz turut mengakui terdapat pihak yang mempertikai pek beras seberat 5 kilogram (kg) yang disumbangkan kepada setiap penerima. “Ada yang kata setakat bagi 5kg je. Kalau saya beri 10kg, berapa orang saja saya boleh bantu? Dengan 5kg tu saya boleh menggandakan dan lebih ramai akan menerima bantuan. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain sebenarnya. MUHAMMAD FAIZ BASIRUN “Sekurang-kurangnya saya dapat membeli 1.5 tan beras. Saya beli pun menggunakan duit saya sendiri hasil perniagaan. Tak pakai duit mana-mana parti politik pun,” katanya. Kebajikan yang dilakukan Faiz bukan perkara baharu, malah diamalkannya sejak dulu dan jumlah bantuan semakin meningkat kerana hasil keuntungan bagi jualan produknya. Faiz mahu membantu masyarakat yang terkesan dengan kenaikan harga barang. “Hangpa dok beli minuman kat saya, yang beli dekat beg kuning di TikTok, itu yang saya kumpul dan dapat untung, saya tolong orang. “Hangpa nak mengata kat orang beras murah ke mahal, tahu tak bukan semua orang rasa beras murah tu murah. Ada orang yang nak beli beras walaupun RM10 pun susah. “Jadi kita yang mampu ni, selagi boleh tolong... kita bantulah. Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain sebenarnya,” katanya lagi. Untuk makluman, Faiz pernah disiasat polis berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Faiz dilaporkan memuat naik video mempertikaikan cara Young Syefura atau lebih dikenali Rara berpakaian di pentas ceramah Malaysia Madani di Kedah pada 15 Julai lalu. Susulan itu Faiz turut mendakwa dia menerima sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube