suria

Buat berpuluh biji kek satu pun tak menjadi! Peniaga rugi, staf pulang tak dibayar gaji... Rezeki pelanggan dapat percuma

Mia terpaksa tanggung rugi gara-gara kek tapak kuda yang dibuat pekerjanya tak menadi.

SETIAP peniaga pasti sudah bersedia berdepan dugaan dan asam garam dunia perniagaan termasuklah menanggung risiko kerugian.

Situasi inilah yang dihadapi seorang pengusaha kek tapak kuda jenama Air Buah Pak Toin, Ismi Mia yang mana dirinya diuji baru-baru ini.

Dalam hantaran Facebooknya yang tular, dia menceritakan bagaimana dia berdepan situasi tak disangka apabila 30 biji kek yang dibuat tidak menjadi seperti kebiasaannya.

"Macam saya cakap selalu, bisnes F&B (food and beverages) ni bukan senang. Walaupun kita ikut sebiji dah resipi tapi ada satu tahapnya kek yang dibuat tak jadi, tu nak nangis rasa.

"Macam kejadian baru-baru ni, pekerja saya termenung. Mula-mula dia buat kek dah tak jadi sebiji. Sampai 30 biji pun tak jadi juga walaupun barang, kaedah dan resipi sama," katanya dalam posting tersebut.

30 biji kek tapak kuda yang tidak dapat dijual.

Disebabkan tiada lagi cara untuk membetulkan semula kesilapan dalam pembuatan kek, pekerja Mia terpaksa menghentikan proses pembuatan dan pulang ke rumah.

Menurut Mia, dia bagaimanapun tidak sanggup untuk membuang kek-kek yang telah disiapkan kerana ia masih boleh dimakan, cuma kualitinya tidak sempurna untuk dijual.

"Lepas tu (tak jadi) nak salahkan siapa? Mesin? Oven? Sakit kepala dah kawan (pekerja) tu. Akhir sekali, berhenti buat dan balik terus tidur.

"Esoknya elok je buat guna resipi dan cara sama, molek (elok) je jadi. 30 biji semalam tu saya nak buang tak sampai hati jadi saya bagi je percuma dekat sesiapa yang datang kedai beli kek.

"Bukannya tak sedap sampai tak boleh makan cuma rupa je bertukar. Lepas tu rasa ada sikit 'lari' daripada resipi asal saya. Kek macam ni saya tak sampai hati nak jual tapi nak buang pun tak sampai hati sebab rasa membazir. Jadi saya sedekah je dekat orang," jelasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider terduduk balik rumah, tenung sebiji kek pelanggan reject... Duit ‘terbang’ bayar refund - “Suami dah bawa motor sehabis baik”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sudah-sudah cari salah peniaga kek tepi jalan, guna kain alas pastri pun salah... Wanita tegur netizen, nak kecam tapi tiada ilmu!

Setelah apa yang berlaku, kata Mia, dia dan pekerja sama-sama menanggung kerugian apabila mereka masing-masing tidak mendapat untung dan upah bagi kek dibuat.

Menerusi foto dikongsikan, Mia meletakkan nota kecil 'Free Reject' pada 30 kek yang tidak menjadi untuk pelanggan yang sudi mengambilnya.

"Kalau jadi macam ni, pekerja saya tak dapat gaji sebab saya bayar gaji staf atas berapa biji kek mereka siapkan dalam masa sehari.

"Apabila jadi macam ni, dia rugi saya pun tanggung kerugian juga. Jadi saya dan pekerja jadi win-win situation.

"Mujur dapat pekerja yang memahami. Kedua-dua kami tanggung rugi. Tak ada awak seorang rugi, saya seorang rugi," ujarnya.

Asbab dia buat tak menjadi, bagi dekat pelanggan percuma saja.

ISMI MIA

Dalam hantaran sama, Mia menitipkan pesanan kepada pelanggan agar tidak terus berkongsi di media sosial sekiranya kek yang dimakan tidak menepati cita rasa.

"Kalau rasa tak sedap sangat sampai tahap tak boleh makan mari hantar semula saya ganti baharu. Tak ada masalah sayang-sayang.

"Saya pesan selalu dah, kalau ada yang tak kena tolong beritahu. Nanti saya ganti yang baharu.

"Jangan sibuk viralkan dulu, melainkan awak (pelanggan) dah mesej tapi saya buat tak tahu. Kalau macam tu nak sebarkan pun buatlah," katanya lagi.

Jelas Mia lagi, walaupun mengalami kerugian, dia berharap masih mendapat pahala apabila kek tapak kudanya itu disedekahkan kepada orang lain.

Mia merupakan pengusaha kek tapak kuda.

"Asbab dia buat tak menjadi, bagi dekat pelanggan percuma saja. Asbab saya keluarkan modal, pelanggan pun boleh merasa juga.

"Saya tak minta banyak daripada anda semua. Doakan kami dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan," ujarnya menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain