suria

“Tolong keluarkan anak saya!” – Ibu merayu di tanah perkuburan, tak sanggup tengok ‘jenazah’ masuk liang lahad

Seorang pemuda menawarkan diri menjadi mayat pada kursus pengurusan jenazah. -Gambar SPJM

SUASANA sepi di tanah perkuburan dikejutkan dengan jeritan sayu seorang ibu tatkala melihatkan anaknya diselubungi dengan kain kafan.

Mana tidaknya, si anak yang ‘terbujur kaku’ itu akan dibawa masuk ke dalam liang lahad.

“Tolong keluarkan anak saya!” kedengaran suara si ibu dengan penuh kesayuan.

Begitulah insiden yang dikongsi oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) ketika mengadakan kursus pengurusan jenazah.

Kursus pengurusan jenazah di Masjid Damansara Perdana.

Mengimbas kembali, Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid bersama pasukannya menyampaikan kursus tersebut di Masjid Damansara Perdana di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, dia memberitahu seramai 99 peserta yang terdiri daripada pelbagai umur dengan kebanyakannya adalah golongan muda menyertai kursus berkenaan.

“Kursus tersebut diakhiri dengan sesi praktikal pengebumian sebenar di Tanah Perkuburan Seksyen 9 di Kota Damansara.

“Peserta yang praktikal dikafankan seramai lapan orang. Untuk model dikebumikan hanya seorang iaitu pemuda berusia lingkungan 20-an dan masih bujang,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ustaz Rafie (dua, kiri) memberi penerangan kepada para peserta. -Gambar SPJM

Mengulas lanjut, Ustaz Rafie berkata, pemuda berkenaan tampil menawarkan diri menjadi model jenazah untuk dikebumikan dalam liang lahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki anak dapat cium mak kali terakhir dari atas stretcher, saat akhir ada pihak sanggup usung sampai kubur

ARTIKEL BERKAITAN: Treler terbabas jam 4 pagi, skuad pengurusan jenazah kongsi kisah lelaki India cuak dibawa ke tepi keranda - “Van ni ada mayat ke?”

“Dia sendiri yang tawarkan diri jadi ‘jenazah’ kerana nak mencari pengalaman. Selepas peserta tersebut dimasukkan ke dalam liang lahat dan kami menutup papan lahat, saya bertanya ada warisnya tak di sini sekadar untuk menggambarkan situasi sebenar ketika pengebumian jenazah.

“Seorang wanita kemudian mengaku bahawa dia adalah ibunya. Kemudian dia berkata, ‘Tolong keluarkan anak saya!’ dengan nada yang sayu dan sebak,” ujarnya.

Model jenazah dibawa masuk ke liang lahad. -Gambar SPJM

Menurut Pengerusi Eksekutif SPJM, beliau berpendapat kemungkinan ketika itu wanita berkenaan tidak dapat membayangkan situasi sekiranya dia benar-benar kehilangan anaknya.

“Begitulah kasih seorang ibu yang tak sanggup melihat pemergian anaknya walaupun itu hanyalah sekadar praktikal sahaja.

Dia sendiri yang tawarkan diri jadi ‘jenazah’ kerana nak mencari pengalaman.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASHID

“Anaknya berada dalam liang lahad selama 10 minit dan selepas itu kami keluarkan anaknya. Tiada model ganti, hanya dia seorang sahaja memandangkan cuaca ketika itu agak panas.

“Si ibu kemudian meminta semua untuk mendoakan anaknya supaya menjadi anak yang soleh dan lebih baik selepas ini,” katanya sambil menambah peserta paling muda dalam kursus tersebut adalah berusia 10 tahun.

Menurut Ustaz Rafie, kursus tersebut bertujuan untuk mendidik masyarakat agar memahami keperluan mendalami pengurusan jenazah. -Gambar SPJM

Mengenai kursus, Ustaz Rafie menjelaskan bahawa ia bertujuan untuk mendidik masyarakat agar memahami keperluan mendalami ilmu pengurusan jenazah dan dapat berbakti kepada masyarakat khususnya ahli keluarga sendiri apabila berlaku kematian.

Menurutnya, kebiasaannya kursus pengurusan jenazah dilakukan selama empat jam, namun istimewanya pada Ahad lalu diadakan selama enam jam, termasuk praktikal di tanah perkuburan atas permintaan pihak masjid.

“Kursus ini merangkumi teori daripada awal iaitu kaedah berhadapan dengan orang yang sedang nazak, sehinggalah pengebumian termasuk persoalan hukum Fiqh jenazah dan adat serta pantang larang dalam pengurusan jenazah,” katanya.

SPJM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) bebas yang menguruskan jenazah muslim dan bukan muslim di dalam mahupun di luar negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain