suria

Anjing leher berlubang, penuh ulat berjaya diselamatkan! Tiba masa Bonzer balas jasa - “Sertu je la, macamlah tak belajar”

Lelaki ini membantu seekor anak anjing yang cedera parah pada bahagian lehernya.

"JANGAN pelik sangat la aku pegang anjing, sebab tak susah pun nak sertu balik selepas tu," kata seorang lelaki dalam videonya yang tular di TikTok.

Dalam video tersebut, lelaki ini jelas menunjukkan dia berbuat baik kepada binatang, satu amalan yang amat dituntut dalam Islam.

Mesra disapa Pak Li, dia menceritakan bagaimana dia berusaha membantu seekor anak anjing jalanan yang sedang menanggung kesakitan.

Lelaki ini cuba merawat luka pada bahagian leher anak anjing.

Lebih menyayat hati apabila keadaan anak anjing tersebut diibaratkan sebagai nyawa-nyawa ikan kerana mengalami kecederaan pada bahagian lehernya.

"Kejadian dah tiga bulan lepas, aku terjumpa seekor anak anjing dalam keadaan lemah tak bergerak, terbaring je. Apabila aku pergi dekat dia baru nampak ada lubang dekat leher dia penuh ulat.

"Lubang sebesar penumbuk kita. Aku pun cuba ambil dia dan bantu rawat. Lepas dah bersih sikit luka dia dari ulat, aku masukkan minyak gamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari-hari makan sedap, badan pun sado... anjing jadi bodyguard gerai nasi lemak! Tauke tukar tapak, Doggo ‘sibuk’ ikut sekali

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda membebel panjang nampak anjing diikat tengah panas, risau kena strok haba... Lepas buka ikatan terus bagi minum, jirus air

"Selama minggu pertama aku jaga tu, mungkin sebab dah lama sangat dia terbiar, badannya penuh dengan ulat, aku kena setiap hari bersihkan dan mandikan badan dia.

"Lepas tu aku bagi dia makan sebab nampak badan anak anjing ni kurus betul. Kemudian aku buatkan satu cap dari bekas minyak masak untuk leher dia, nak halang dia garu luka dekat leher guna kuku kaki," kata Pak Li.

Walaupun Pak Li tidak jemu berusaha menyelamatkan anak anjing tersebut, haiwan itu pada awalnya tidak menunjukkan petanda positif untuk pulih.

Alhamdulillah selepas anak anjing ni kembali ceria, aku namakan dia Bonzer sebab dia sangat melindungi tempat aku.

PAK LI

"Ada sekali tu badan dia dah lembik sangat tak bermaya, aku hampir saja mahu menyerah kalah sebab aku dah cuba sehabis baik untuk jaga dia. Tapi ketika aku nyaris hilang harapan, anak anjing tu tiba-tiba kembali bertenaga.

"Benda ni buatkan aku bersemangat untuk terus jaga anak anjing ni. Aku teruskan mandikan, bersihkan luka dia, letak minyak dan balut. Kalau ada yang tanya soal pegang anjing, apa yang susahnya, kita sertu je la tangan.

"Kita pun dah belajar cara nak sertu dan tanah pun banyak di sekeliling kita," ujar Pak Li.

Pak Li menyertu anggota tubuhnya selepas merawat anak anjing ini.

Selepas beberapa lama menjaga, anak anjing yang diberikan nama Bonzer itu akhirnya hampir pulih sepenuhnya.

"Anak anjing tu kini dah boleh ikut aku pergi ke kebun ambil durian, dia jadi kawan dengan seekor lagi anjing yang aku memang bela untuk jaga kebun. Dia semakin sihat, bersemangat dan kuat makan. Luka dia pun dah mengering dan tertutup.

"Kini bertambah seekor lagi penjaga kebun aku. Aku percaya yang apabila Allah datangkan kepada aku anak anjing yang dalam kesusahan ni, bukan makhluk tu yang sedang diuji, tapi aku sebenarnya.

"Allah nak tengok hablum minallah (hubungan dengan Allah), hablum minan-nas (hubungan dengan manusia) dan hablum minal-alam (hubungan dengan alam termasuk haiwan).

Anak anjing ini berada di bawah jagaan Pak Li.

"Alhamdulillah selepas anak anjing ni kembali ceria, aku namakan dia Bonzer sebab dia sangat melindungi tempat aku, kalau ada orang yang tak kenal cuba datang dekat, memang dia bising gila," kata Pak Li.

Menurut Pak Li, walaupun Bonzer sangat garang sebagai 'pengawal peribadinya', tetapi anak anjing itu sebenarnya sangat manja.

"Bonzer sangat manja dengan aku dan suka diusap, aku gembira tengok dia sihat balik dan moga terus dipanjangkan umurnya.

"Satu je aku nak pesan, anjing ni makhluk Allah. Mungkin dia najis, tapi ingat, Allah dah ajar pun setiap najis boleh disucikan. Yang kita tak boleh nak bersih itu adalah hati yang hitam," ujar Pak Li menutup bicara.

Keadaan Bonzer yang semakin pulih dari hari ke hari.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji usaha murni yang ditunjukkan oleh Pak Li.

"Suka dengan prinsip brader ni, anjing yang perlu dibantu, boleh je kita nak pegang. Tak rumit pun nak sertu balik selepas tu.

"Najis boleh disertu dan perikemanusiaan pun penting juga," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain