suria

Individu rakam video ‘makcik tapau’ cerita kejadian depan mata... Pelan-pelan halakan kamera rakam bukti!

Wan tampil menjelaskan mengenai kekecohan berkaitan video 'makcik tapau'.

INSIDEN kekecohan membabitkan 'makcik tapau' yang mengambil makanan di sebuah majlis kenduri sebelum tetamu menjamu selera masih hangat diperkatakan sehingga kini.

Terbaharu, pemilik video, dikenali sebagai Wan Takaful menerusi TikTok tampil menjelaskan mengenai situasi sebenar tentang kejadian berkenaan.

Jelasnya, dia dijemput pemilik ruang acara di Seremban 2, Negeri Sembilan itu untuk menghasilkan kandungan video tentang majlis berkenaan.

"Saya ada dekat majlis tu selepas dipanggil oleh pemilik ruang acara untuk buat video majlis akad nikah yang berlangsung dekat dewan pada hari kejadian.

"Majlis akad nikah tu bermula pukul 9.30 pagi. Selepas majlis akad nikah selesai pada pukul 10.15 saya perasan video saya terlalu pendek.

Wan menjelaskan mengenai apa yang berlaku ketika majlis.

"Jadi saya perlukan video-video lain. Salah satu video yang saya perlukan adalah makanan tapi waktu tu baru pukul 10.30 pagi jadi makanan untuk tetamu belum dihidangkan lagi," ujarnya.

Tambah Wan, dia kemudiannya meminta izin pemilik ruang acara untuk pergi ke belakang dewan yang menempatkan pihak katering untuk mengambil video berkaitan.

Namun secara tidak sengaja, Wan terakaman video sesi bertikam lidah yang berlaku antara seorang tetamu wanita dan dua pekerja katering.

ARTIKEL BERKAITAN: Siap dah bawa bekas, makcik bertekak dengan pekerja katering nak tapau lauk kenduri - “Setakat satu dua bungkus takkan tak boleh?”

ARTIKEL BERKAITAN: Lauk licin waktu tengah hari, tetamu rancak datang kenduri... tuan rumah lega kedai mamak jadi penyelamat!

"Waktu saya tengah rakam makanan pengantin itulah makcik tapau ini muncul. Pada awalnya saya biarkan saja sebab kejadian tu tak ada kaitan dengan saya.

"Tapi apa yang menarik perhatian saya adalah makcik tu siap bawa bekas sendiri dari rumah.

'Kamera telefon saya tengah on sebab masih merakam sebab tu saya terus naikkan saja (halakan) untuk rakam kejadian yang viral tu," jelas Wan lagi.

Bagaimanapun menurut Wan, dia tidak dapat mengesahkan sama ada makcik tersebut berjaya membungkus makanan ataupun tidak.

Saya tertanya-tanya pada tahun 2023, budaya tapau menapau ini masih wujud lagi ke?

WAN TAKAFUL

Dalam pada itu Wan menegaskan bahawa video tersebut bukanlah bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi sebagai pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada orang lain.

"Tujuan saya upload video tu bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak. Tapi saya tertanya-tanya pada tahun 2023, budaya tapau menapau ini masih wujud lagi ke?

"Jadi itulah kejadian yang berlaku pada hari tersebut. Saya memohon maaf kepada makcik tapau dan pemilik ruang acara tersebut. Ada banyak ilmu dan maklumat yang sangat baik boleh anda tengok dekat ruangan komen.

"Sebab banyak sangat komen yang menceritakan tentang adab-adab untuk menghadiri majlis. Dekat situ secara tak langsung saya sendiri dapat belajar banyak perkara," jelasnya.

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

Sebelum ini 'makcik tapau' itu menjadi bualan hangat netizen selepas Wan berkongsi video mengenainya di TikTok yang hingga kini meraih lebih 2.2 juta tontonan.

Menerusi video berkenaan, wanita itu antara lain mendesak untuk membawa pulang beberapa jenis lauk dengan alasan tuan kenduri sudah membayar kos perkhidmatan katering untuk tetamu.

Sebagai peringatan bersama, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.

“Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.

“Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain