suria

“Kreativiti ibu buruk di mata cikgu” - Gaun DIY unik kalah dengan baju tradisional, wanita pertikai cara guru bagi markah

Seorang ibu menghasilkan busana untuk anak-anaknya menyertai pertandingan pakaian beragam.

SETIAP insan bergelar ibu tentunya sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan pencapaian yang terbaik buat anak-anaknya.

Namun dalam satu pertandingan pakaian beragam di sekolah, kemenangan tidak berpihak pada anak-anaknya.

Menerusi satu perkongsian, wanita itu meluahkan kekecewaannya meskipun menyedari kalah menang adalah adat pertandingan.

anak kalah pakaian beragam 3

100 kuntum bunga daripada kertas dihasilkan untuk rekaan busana.

“Ibu tahu bukan rezeki anak-anak. Tapi kalau ye pun, nilai betul-betul pengorbanan ibu ni. Bersengkang mata siapkan baju. Bukan beli, bukan tempah tapi buat sendiri (DIY).

“Ayah (suami) dah pesan kat ibu banyak kali, jangan masuk pertandingan nanti hadiah tak seberapa. Nanti ibu sedih buat penat-penat, yang baju simple akan menang,” katanya.

Walau bagaimanapun, ibu berkenaan tetap melakukannya kerana permintaan anak-anak yang supaya dibuat baju untuk pertandingan pakaian beragam.

Mengakui tidak mahir menjahit gaun moden, dia sedaya-upaya melakukan sesuatu yang unik bagi memenuhi keinginan anak-anaknya.

“Nak hantar kat tukang jahit, semua tak nak. Ibu reti buat macam ni je, DIY barang-barang terpakai. Sebab ibu minat, ibu perah otak untuk menghasilkan lain daripada lain,” ujarnya.

Antara hiasan yang terdapat pada busana.

Mengenai busana dua anak perempuannya, dia menghasilkan lebih 100 kuntum bunga menggunakan kertas warna berinspirasikan Jalur Gemilang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak cantik pakai tradisional ala Tokti kalah kepada dress kepuk-kepuk, bapa pertikai ‘ilmu’ juri – “Kita dah merdeka, minda masih dijajah”

ARTIKEL BERKAITAN: Imej juruterbang jet pejuang jadi pilihan juri! Ibu terkejut anak juara, kalah pun OK yang penting ada semangat patriotik

Selain mempunyai hiasan bulu di kepala, apa yang menariknya adalah gaun yang dipakai menggunakan barang-barang terpakai seperti penyedut minuman dan beg plastik.

“Dah tampal, jahit lagi. Ibu gigih gam penyedut minuman satu persatu dengan kemas untuk kain kakak dan adik,” ujarnya yang turut mengajar anak-anaknya cara untuk berjalan catwalk seperti berada di pentas peragaan.

Pertandingan pakaian beragam itu dipercayai dianjurkan sebuah sekolah rendah di Melaka baru-baru ini sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Aksi anak-anak memperagakan busana rekaannya.

Walaupun tidak bergelar juara, namun anak-anak tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi tempat ketiga dan keenam dengan hadiah berupa set alat tulis.

“Maafkan ibu, sayang. Mungkin kreativiti ibu buruk di mata cikgu atau juri, tapi awak memang terpaling cantik dan over di mata ibu,” katanya dengan penuh bangga.

Kalau ye pun, nilai betul-betul pengorbanan ibu ni... bersengkang mata siapkan baju.

IBU

Menerusi semakan di TikTok, wanita itu dilihat menyekat sebarang komen netizen menerusi video yang dimuat naiknya mengenai kekecewaannya terhadap kekalahan anak-anak dalam pertandingan tersebut.

Bagaimanapun selepas video luahannya menjadi tular, ibu berkenaan mengubah pendiriannya dan akur dengan keputusan guru dan juri di sekolah.

“Alhamdulillah, saya boleh terima keputusan semuanya. Hari ini tak sangka FYP (for you page), tapi tak mengapa. Saya reda dan terima kutukan dan hinaan semua pada saya,” katanya menerusi video berasingan pada Rabu.

Kedua-dua anaknya memperoleh kedudukan ketiga dan keenam dalam pertandingan.

Dia menegaskan pertikaiannya bukan mengenai hadiah yang diperoleh anak-anaknya dalam pertandingan itu, malah percaya pada rezeki.

“Saya tidak mempertikaikan apa yang anak-anak dapat sebab saya tahu apa hadiahnya. Saya bercerita sebab saya dah cuba buat yang terbaik, tapi yang menang pakaian tradisional sahaja.

“Mungkin sudah pilihan cikgu macam tu. Sebab tiap-tiap tahun anak menang, cuma tahun ni bukan rezeki dia dan beri laluan rezeki kepada orang lain pula,” katanya.

Sehubungan itu, dia memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berasa kurang senang dengan luahannya sebelum ini.

“Saya minta maaf kepada semua yang marah saya. Setiap ibu mahukan yang terbaik. Mungkin buruk di mata semua, tapi bagi anak-anak dan saya, mereka cantik walaupun saya tahu ada kekurangan di situ,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain