suria

2 jam cuba tarik sikat ‘melekat’ di rambut anak, ibu akhirnya minta bantuan... Terbukti abang bomba paling pakar!

Pasukan bomba meleraikan rambut kanak-kanak yang tersangkut pada sikat. -Gambar ihsan Hakimah Zakir

SEORANG ibu tidak menyangka aktiviti bersama anak perempuan akhirnya bertukar menjadi insiden paling mencemaskan.

Insiden itu rupanya mempunyai kaitan dengan video tular di media sosial memaparkan sekumpulan anggota bomba yang berusaha untuk meleraikan rambut seorang kanak-kanak yang tersangkut pada sikat.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Hakimah Zakir berkata kejadian berlaku pada pukul 1 petang, 1 September lalu di rumahnya.

Keadaan rambut anak yang bergulung.

Ketika itu, dia sedang menyiapkan anak perempuannya berusia tiga tahun yang baru lepas mandi untuk dihantar ke kampung dan dijaga ibunya kerana dia dan suami mempunyai urusan pada hujung minggu.

"Saya suka melayan anak, jadi selepas mandi tu saya ajak anak 'salon-salon' dekat ruang tamu. Saya sikat rambut dia untuk keringkan guna pengering rambut.

"Rambut anak kusut dan sikat tersangkut di tengah. Saya masuk bilik sekejap nak ambil minyak rambut. Keluar dari bilik je saya nampak anak sedang berusaha nak sikat sambil gulung-gulung rambut dia.

"Saya terkejut dan bergegas tengok rambut dia, dah banyak bergulung dan sikat tu pun dia dah gulung sampai ke kulit kepala. Saya jadi cuak," katanya kepada mStar.

Dalam keadaan panik, wanita berusia 31 tahun itu masih mampu mengawal kemarahan sambil cuba meleraikan satu persatu rambut anak perempuannya.

Hakimah membawa anaknya ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan.

Namun Hakimah yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu memberitahu, proses sukar untuk dilakukan kerana rambut anaknya paras bahu itu jenis kerinting dan gulungannya sangat banyak.

"Saya cuba patahkan sikat tapi tak boleh sebab tak panjang dan sangat keras, hanya berjaya patahkan pemegangnya saja. Saya cuba gunting gigi sikat tu sedikit, dan dapat keluarkan rambut anak sikit-sikit.

"Perapi dah cuba, tapi rambutnya semakin melepek dan susah dileraikan," katanya sambil menambah tip dikongsi suami yang berada di luar kawasan juga tidak berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sikat ‘melekat’ di rambut! Abang guna syampu, ibu dah ambil gunting nak potong... kanak-kanak ini akhirnya diselamatkan kakak kembar

ARTIKEL BERKAITAN: Diminta mengasuh, mak saudara panik anak buah lumur slime pada rambut... hanya terfikir ‘botak’ - “Emaknya di wad tak terkejut”

Selepas sejam, usaha ibu kepada seorang anak itu menemui jalan buntu dan dalam masa sama dia berfikir rambut anaknya pasti akan dipotong dan tidak kemas sekiranya dibawa ke salon.

Setelah berfikir panjang, dia membawa anaknya bergegas ke balai bomba dekat Sungai Buloh, Selangor bagi mendapatkan bantuan pada pukul 3 petang.

"Itu pun hingga 15 kali saya fikir tak apa ke kalau saya minta bantuan anggota bomba? Saya tak telefon panggil bomba kerana ia bukan satu kecemasan sangat.

"Saya pergi ke balai bomba dan tanya sendiri untuk bantuan. Kalau tak boleh, saya takda pilihan melainkan pergi ke salon dan gunting," katanya yang percaya pasukan keselamatan itu mempunyai alat atau kelengkapan yang dapat membantu.

Kurang 10 minit, rambut anaknya berjaya dileraikan.

Mengulas lanjut, katanya, kira-kira tiga anggota bomba membantu untuk meleraikan rambut anak perempuannya yang tersangkut pada sikat.

"Anggota bomba tu cakap sikat ni tak boleh nak potong sebab jenis tebal. Guna minyak nanti lagi susah. Jadi mereka leraikan satu persatu simpulan tu.

"Kurang 10 minit dah selesai, Alhamdulillah. Begitu cekap anggota bomba, sudah pasti sebab mereka pakar dan belajar bermacam-macam cara simpulan," katanya lagi.

Orang kata saya nak percuma je, tak nak ke salon. Saya tak sampai ke tahap untuk ambil kesempatan.

HAKIMAH ZAKIR

Menyedari tindakannya yang mendapatkan bantuan bomba itu mendapat pelbagai kritikan, usahawan itu memberi penjelasan bahawa dia bukan mahu bersikap mengada-ngada.

"Ramai yang cakap botakkan je kepala anak? Bagi saya, membotakkan itu bukan penyelesaiannya dan masih ada cara lain untuk menyelesaikannya.

"Anak saya perempuan, kalau saya botakkan atau rambut dia tobek sebelah, macam mana perasaan dia kalau diejek apabila ke sekolah (playschool). Walaupun dia masih kecil tapi tetap ada perasaan," katanya.

Dia juga menafikan dakwaan anak kecilnya nakal sehingga berlakunya insiden itu, sebaliknya berada dalam fasa meneroka (explore) yang masih belum faham apa yang boleh dan tidak.

Hakimah berterima kasih kepada anggota bomba yang membantu.

Mengakui sikat tersebut keras untuk dipatahkan, Hakimah turut menepis dakwaan segelintir pihak kononnya dia menghubungi bomba supaya datang ke rumah untuk meleraikan rambut anaknya.

"Itu salah dan tak betul. Saya sendiri pergi ke balai bomba, tanya dulu boleh tolong atau tidak. Kalau tak boleh, tak apa. Mereka kata boleh bantu, masuk je.

"Orang kata saya nak percuma je, tak nak ke salon. Walaupun saya struggle menguruskan bisnes, tapi saya tak sampai ke tahap untuk ambil kesempatan," katanya.

Bagi Hakimah, setiap orang mempunyai pemikiran dan cara berbeza untuk menyelesaikan masalah terutama dalam keadaan panik, dan dia memilih dengan mencari penyelesaian lebih baik dan merujuk pada yang lebih pakar.

"Netizen terus menghina dan menghentam saya tanpa berfikir, termasuk menuduh saya membebankan anggota bomba sedangkan saya datang meminta izin dahulu sekiranya mereka boleh membantu.

"Alhamdulillah, anggota bomba sangat sangat baik dan sudi membantu. Mereka sangat baik, terima kasih atas bantuan mereka," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain