suria

22 tahun pakai di leher, akak Kelantan terkejut untung berlipat kali ganda selepas jual rantai emas - “Tahu-tahu duit beranak”

Seorang pelanggan menjual rantai emas miliknya yang dibeli pada tahun 2001.

EMAS bukan sahaja dijadikan sebagai perhiasan kaum wanita, malah ia juga merupakan satu pelaburan yang mendatangkan pulangan lumayan pada masa depan.

Terbaharu, tular video memaparkan seorang wanita yang berkunjung ke sebuah kedai emas di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan untuk menjual semula seutas rantai miliknya.

Selepas ditimbang, pengusaha kedai itu berkata rantai berkenaan pada asalnya berharga RM1,800 ketika ia dibeli pada tahun 2001, namun nilainya telah meningkat berkali ganda pada hari ini.

emas2

Pelanggan untung berkali ganda apabila rantai lamanya dijual mengikut nilai emas semasa.

"Ni rantainya beli pada tahun 2001. RM1,800 saja (harga) masa tu. Sekarang ni RM7,142 hari ni. Untung banyak la. Untung RM5,342. Barang emas ni menguntungkan.

"Banyaknya untung. Daripada RM1,000 dulu, banyak ni (duit) dia dapat sekarang. Beli sekarang sebab harga emas makin hari makin mahal, betul tak.

"Emas ni nak pakai boleh, nak simpan boleh. Tahu-tahu duit beranak. Macam akak ni beli untuk pakai je. Tapi bila nak jual, tiba-tiba dapat duit free. Dia pun terkejut?" ujar pengusaha kedai itu.

Untungnya orang perempuan ni beli emas. Untung beribu.

PELANGGAN

Pelanggan wanita yang bertutur dalam dialek Kelantan itu turut kelihatan teruja apabila dia dimaklumkan mengenai harga terkini rantai emas miliknya.

Ketika video dirakam oleh pengusaha kedai, pelanggan itu memaklumkan bahawa rantai emas itu dibeli menggunakan wang hantaran ketika dia mendirikan rumah tangga suatu masa lalu.

"Ni kak beli tahun 2001, beli emas menggunakan duit hantaran. Berat 27.65 gram. RM1,000 lebih je dulu, hari ni datang tanya, RM7,000 lebih.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam ahli nujum! Wanita ini mampu ‘tengok’ barang hilang, guna WhatsApp je boleh jumpa gelang emas

ARTIKEL BERKAITAN: 5 beradik nak beli emas tapi staf layan cincai, perli sebab sangka nak window shopping! Selepas ‘borong’ 3 rantai, terus ‘pangkah’ kedai

"Untungnya orang perempuan ni beli emas. Untung beribu. Dengan emas hari ni. Allah, tapi harga dulu dah tak boleh dapat sekarang.

"Tengok ni, seketul ni (duit). Aduh Ya Allah, tak sangkalah. Dah lama (pakai) kat leher," ujar pelanggan itu sambil memegang sejumlah wang di tangannya.

Video yang dikongsi menerusi akaun TikTok Kedai Emas Okid Jaya itu meraih lebih 300,000 tontonan dan turut dihujani pelbagai komen netizen.

emas1

Antara perhiasan yang dijual di kedai berkenaan.

Malah, ramai netizen khususnya kaum Hawa berkongsi pandangan sama berhubung penyimpanan emas yang boleh dijadikan sebagai pelaburan menguntungkan.

"Macam mak saya beli gelang emas tahun 1990, harga RM800 saja waktu itu. Sekarang nilai gelang itu dah jadi RM11,000. Simpan emas memang berbaloi sangat.

"Emas ni untuk jangka masa panjang memang untung. Kalau beli bulan ni, dua tiga bulan lepas tu jual, memang rugi.

"MasyaAllah. Sebab itu kita gaji berapa pun, belilah emas. Beli sikit-sikit," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain