PELBAGAI cara dilakukan oleh guru dan ibu bapa bagi menerapkan semangat patriotik dalam diri generasi masa kini termasuk menganjurkan pertandingan pakaian beragam. Malah saban tahun, media sosial akan meriah dengan gambar-gambar aksi si cilik memperagakan baju bertemakan Hari Kebangsaan. Paling menarik, penganjuran bukan hanya mendapat penyertaan daripada anak-anak tetapi turut melibatkan ibu bapa yang bersungguh-sungguh menyediakan pakaian beragam untuk diperagakan itu. Bagaimanapun, adat pertandingan pastinya akan ada yang kalah dan menang. Luahan guru ini mendapat perhatian warga maya selepas dikongsikan di media sosial. Namun tindakan segelintir ibu bapa yang mempertikaikan keputusan juri dan menyatakan usaha mereka tidak dihargai membuatkan para guru terlibat berasa kecewa. Meluahkan perasaan yang dialami, pemilik akaun Facebook Iema Izi Abd Rahim menyatakan bahawa dia tidak akan menganjurkan pertandingan pakaian beragam pada tahun hadapan sekiranya dipilih sebagai penyelaras bulan kemerdekaan. "Tahun depan kalau masih kena jadi penyelaras bulan kemerdekaan ni, memang saya tak akan buat pertandingan pakaian beragam. "Pertandingan-pertandingan yang mendatangkan pertikaian pun saya tak nak buat juga... dah la tak mudah menguruskan, pertikai pula bab hadiah dan pemilihan," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: “Kreativiti ibu buruk di mata cikgu” - Gaun DIY unik kalah dengan baju tradisional, wanita pertikai cara guru bagi markah ARTIKEL BERKAITAN: Anak cantik pakai tradisional ala Tokti kalah kepada dress kepuk-kepuk, bapa pertikai ‘ilmu’ juri – “Kita dah merdeka, minda masih dijajah” Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan rasa sedih apabila terdapat pihak yang menyatakan tidak berbaloi menyertai pertandingan seumpama itu disebabkan hadiah serta pemilihan pemenang. Malah katanya, bajet yang diperoleh juga sedikit selain tidak memperoleh sebarang tajaan. "Bab berbaloi, tak berbaloi. Setiap pertandingan adalah percuma, bajet ciput (sedikit) dan nak minta sponsor tak dilayan," luahnya. Lebih menyedihkan apabila dia turut menggunakan duit sendiri sebagai tambahan perbelanjaan bagi memastikan pertandingan yang dianjurkan berjalan lancar. Mak-mak pun, anak nak bergembira saja. Beria nak hadiah grand, masuk miss universe lah! WARGA MAYA Ekoran itu, katanya, sebarang bentuk pertandingan tidak akan dianjurkan sempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun hadapan bagi mengelakkan masalah yang sama dihadapi. "Kita buat aktiviti-aktiviti mudah saja, tak perlu ada pertandingan... just for fun. "Fikir aktiviti yang tak membebankan cikgu dan mak ayah seperti kutip sampah, jalan itik, halau lalat," luahnya lagi. Perkongsiannya itu mendapat pelbagai maklum balas sehingga dikongsikan ribuan pelayar Facebook serta beberapa platform lain. Warga maya turut memberikan pandangan masing-masing. Rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati terhadapnya dan para guru yang bertungkus lumus menganjurkan program demi memeriahkan sambutan kemerdekaan namun akhirnya menjadi pertikaian sesetengah ibu bapa. "Kesian cikgu, kadang-kadang nak seronok saja supaya ada memori untuk anak-anak nanti. Tapi tak apalah, kita tak boleh puaskan semua orang. "Setuju sangat, niat asal nak gembira tapi sudahnya penuh dengan komplen sana sini... kesian cikgu-cikgu. Akak yang bukan cikgu pun rasa menyampah dengar suara-suara sumbang yang komplen. "Mak-mak pun, anak nak bergembira saja. Beria nak hadiah grand, masuk miss universe la! "Kenapa buat pertandingan yang pasti membebankan ibu bapa, memadai hanya memupuk anak murid bagaimana hendak sambut kemerdekaan tersebut secara santai," kata beberapa warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube