suria

Lelaki mengaku pukul bakal isteri, kaki perempuan sudah bertaubat... Jadi OKU selepas jangkitan kuman - “Saya dah terima kifarah”

Seorang lelaki mendakwa dia memukul wanita sebagaimana dalam video yang tular.

RAMAI terkesan dan tidak sanggup mendengar rintihan seorang wanita di media sosial yang menangis kerana dipukul lelaki.

Ia mengundang kemarahan netizen kerana perlakuan ganas itu didakwa berlaku sebelum pasangan tersebut berumah tangga.

Susulan kecaman hebat daripada orang ramai, seorang lelaki yang mendakwa sebagai individu terlibat tampil membuat penjelasan bagi pihaknya.

"Video tu sebelum saya mendirikan rumah tangga dengan si dia, masa tu kami dah bertunang.

"Saya tak ingat apa punca bergaduh... mungkin sebab perempuan lain. Dia tuduh saya curang," katanya menerusi video di Instagram.

Tangkap layar video yang tular.

Menerusi video pengakuan berdurasi lebih 9 minit itu, dia turut mengakui mengasari wanita itu kerana sikapnya yang panas baran.

Malah dia turut mengakui tidak setia dan berlaku curang ketika menjadi tunangan orang.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sekali aku pukul, sampai kahwin aku pukul kau" - Wanita ketakutan diugut bakal suami dipercayai anggota keselamatan

ARTIKEL BERKAITAN: Naik angin GF mahu putuskan hubungan... Lelaki pecahkan cermin kereta, tikam kekasih

"Saya mengaku waktu tu saya kaki perempuan, ada je perempuan saya kenal masa bertunang dengan dia.

"Saya jumpa perempuan tu senyap-senyap belakang dia, saya dating dengan perempuan lain. Sedangkan saya nak kahwin dengan dia, bakal suami dia.

"Dia membebel kat saya, dan saya pula jenis baran dan cepat mengamuk. Saya mengasari sampai dia menangis dan meronta-ronta," katanya.

Menurut pemuda itu lagi, selepas bernikah mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Kini dia mula sedar akan kesilapannya kerana bersikap dayus terhadap wanita.

"Memang tak patut berperangai macam apa yang saya buat tu. Saya minta maaf," katanya kesal.

Memang tak patut berperangai macam apa yang saya buat tu. Saya minta maaf.

LELAKI

Di akhir video, lelaki itu turut mendakwa dia sudah menerima balasan atas dosa lampaunya apabila dijangkiti kuman di kepala pada tahun lalu.

Akibat penyakit itu, dia mengakui mengalami lumpuh separuh badan selepas menjalani pembedahan.

"Saya dah terima kifarahnya. Saya dah bergelar OKU (orang kelainan upaya), cacat separuh badan," katanya.

Tangkap layar video luahannya menerusi 'story' di Instagram miliknya.

Jelasnya lagi, susulan pembongkaran mengenai kecurangannya, isterinya kini menuntut fasakh dan kini mereka dalam proses penceraian.

"Saya ingin berubah, beri peluang kepada saya. Kalau kamu semua nak benci aku, benci la.

"Saya dah dapat kifarah, saya nak berubah. Saya berjanji akan berubah. Dekatkan diri dengan Allah, solat dan mendalami ilmu agama supaya saya tak lagi panas baran," katanya lagi.

Terdahulu, mStar melaporkan mengenai video yang jelas kedengaran suara perbualan antara pasangan ini, dengan jeritan wanita meraung menahan kesakitan serta dalam ketakutan, dipercayai dipukul oleh lelaki terbabit.

"Aku tanya kau jangan buat hal lagi dengan aku. Penat ni. Aku nak kau janji dengan aku kau jangan buat hal lagi. Kau balik kejap lagi, pipi kau berbekas (ugut pukul)," kata lelaki berkenaan.

Lelaki itu kemudian didengar berulang kali memberi 'amaran' sebelum suara wanita itu menahan sakit dipukul bertubi-tubi,

"Kau nak kahwin dengan aku ke tak nak? Sekali aku pukul kau, sampai kahwin aku pukul sebab kau tak nak jaga perangai elok-elok," kata lelaki tersebut dengan nada bengis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain