suria

Rakan pernah perlekeh kerjaya kini diburu Ah Long... Polis bantuan buang dendam, tetap tolong walau dulu terguris hati

Lelaki ini menceritakan penerimaan rakannya ketika dia mula menjadi anggota polis bantuan.

JANGAN mudah menghakimi seseorang apatah lagi jika kita tidak berada di tempat atau situasinya.

Begitulah prinsip yang dipegang anggota polis bantuan ini, selama sembilan tahun dia berkecimpung dalam bidang penguatkuasaan.

Bercerita kepada mStar, Ikhmal Afiq Imran yang berumur awal 30-an menzahirkan rasa kecewa kerana masyarakat sering memandang rendah kepada anggota polis bantuan.

Ikhmal (kiri) bersama rakan setugasnya sebagai anggota polis bantuan.

Menurut Ikhmal, dia sah bergelar anggota polis bantuan pada tahun 2015 dan semenjak itu melalui beberapa kisah pahit termasuk melibatkan sahabatnya sendiri.

"Dulu sebelum saya masuk polis bantuan, saya adalah kerani awam. Tapi sebab waktu tu saya masih muda, umur 23 tahun tak fikir panjang, saya berhenti kerja sebab kononnya nak cuba benda baharu.

"Tak lama selepas tu saya pun menganggur, tiga bulan tak ada kerja. Saya dah mula pening, kemudian kawan sekolah offer kerja sebagai polis bantuan. Mulanya saya pun tak tahu tentang kerja ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda lega terlepas cengkaman hutang Ah Long, punca pinjam sebab nak move on putus cinta... kini bina hidup baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita mangsa pukul buat ‘help gesture’ di tapak karnival, mujur ada yang faham - “Dia seperti ketakutan, tahan sakit”

"Tapi sebab saya nak kerja, saya terima. Saya pergi temu duga, Alhamdulillah daripada 30 lebih orang yang mencuba, saya antara yang terpilih. Rasanya dalam 20 orang je yang 'lepas'.

"Sebelum boleh dilantik jadi polis bantuan, kena jalani latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) selama dua bulan dan dua minggu," kata Ikhmal yang menetap di Johor Bahru.

Tambah Ikmal lagi, dalam KAPB, mereka akan diajar tentang Undang-undang Am Malaysia, berkawad, pengurusan senjata api dan seni mempertahankan diri (karate).

Mungkin ada antara kami yang 'kekwat' dan lebih kuah dari sudu, tapi bukan semua, niat kami ikhlas untuk berkhidmat kepada awam.

IKHMAL AFIQ IMRAN

Ikhmal berjaya menamatkan KAPB dengan jayanya dan ditugaskan sebagai anggota polis bantuan bersama syarikat swasta di sekitar Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Segalanya berjalan lancar pada mulanya untuk Ikhmal, namun hatinya remuk apabila ada seorang rakan memandang rendah dan melontarkan kata-kata jelik mengenai pilihan kerjayanya.

"Ada satu hari tu, kami lepak ramai-ramai dengan kawan sekolah. Kami bertukar cerita tentang hidup masing-masing. Kawan ada tanya tentang kerja saya sebagai polis bantuan.

"Saya kata okay je, cuma kena berpanas sikit la. Tak macam waktu kerja kerani dulu dalam pejabat. Tiba-tiba ada kawan saya seorang ni menyampuk, dia cakap ala kerja polis bantuan je pun.

Ikhmal (tengah) yakin dengan kerjayanya sebagai anggota polis bantuan walaupun ada yang meragui.

"Dia siap sebut entah-entah saya setahun dua je boleh tahan kerja polis bantuan ni. Saya bila dengar macam tu tak tahu nak cakap apa, saya anggap gurauan kawa je, jadi saya cuma senyum.

"Kawan lagi seorang dekat sebelah siap tepuk-tepuk bahu saya macam nak minta saya bersabar," kata Ikhmal yang kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

Ikhmal berkata rakan yang 'menyerangnya' itu adalah antara kawannya yang berjaya dan mempunyai pendapatan stabil.

"Kawan saya tu tak dapat dinafikan kalau banding antara kami semua, dia antara yang loaded (kaya). Dia kerja Singapura, jadi boleh bayangkan la.

Ikhmal dan rakan sejawatnya mengawal selia acara awam.

"Kalau dapat gaji basic 1,500 dalam nilai mata wang Singapura, bila tukar ke duit kita memang berganda-ganda jadinya. Dia datang lepak pun pakai kereta Honda Accord baharu waktu tu

"Mungkin ada betulnya apa yang dia cakap tu. Setiap kali kalau terserempak dengan dia waktu lepak, mesti dia akan ungkit kerja saya sebagai polis bantuan. Dia biasa tanya masih kerja uniform eh?

"Saya tak malu dengan kerja saya sebagai polis bantuan. Dengan karier dan pendapatan saya ni, saya mampu menyara keluarga, bayar komitmen, beli kereta. Bahasa mudahnya dapat hidup selesa," kata Ikhmal.

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu, Ikhmal dikejutkan dengan berita rakannya itu hilang kerja dan sedang menjadi buruan sindiket pinjaman wang haram (Ah Long).

Pengalaman sebagai anggota polis bantuan mendewasakan Ikhmal.

"Tujuh tahun selepas insiden, tiba-tiba kawan tu datang jumpa saya. Dia kata nak minta pinjam RM1,000, nampak terdesak keadaan dia. Saya mula-mula macam terkejut la, dah kenapa dia boleh jadi bermasalah macam ni.

"Lepas tu dia pun cerita apa yang tengah jadi dengan hidup dia. Dia hilang kerja dekat Singapura sebab pandemik Covid-19. Komitmen dia tinggi dan dia terpaksa pinjam Ah Long untuk teruskan hidup.

"Tapi dia tak dapat bayar balik, sampai Ah Long kacau rumah mak ayah dia. Kawan saya waktu tu tumpang rumah mak ayah dia.

"Memang dia kena ugut habis, siap ada flyers (risalah) lagi Ah Long edarkan letak muka kawan saya cakap 'wanted'," kata Ikhmal berasa simpati.

Ikhmal berharap rakannya dapat mengambil pengajaran dari apa yang berlaku.

Ikhmal walaupun suatu masa dahulu hatinya bagai dihiris-hiris mendengar cercaan rakannya, dia memilih untuk tidak berdendam dan meringankan tangan menghulurkan bantuan.

"Saya cakap dengan dia bagi nombor Ah Long, biar saya deal dengan mereka. Saya juga ada tolong kawan saya dari segi kewangan mengikut kemampuan saya sendiri.

"Kesian tengok dia sebab anak kecil dan baby seorang. Melibatkan keselamatan apabila kena kacau dengan Ah Long, jadi sebab tu saya campur tangan.

"Saya kongsikan kisah ni bukan bertujuan mengaibkan rakan saya tu, saya cuma nak dia dan masyarakat yang lain untuk sedar daripada terus menghina kerja polis bantuan.

"Mungkin ada beberapa dari kami yang 'kekwat' dan lebih kuah daripada sudu, tapi bukan semua, niat kami ikhlas untuk berkhidmat kepada awam," kata Ikhmal menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain