suria

Dah 4 tahun ‘pergi’, suami isteri setia ziarah pusara anak berbeza agama... Siap bersihkan kubur, batu nisan

Menziarahi kubur merupakan amalan yang mulia. Gambar hiasan (kanan)

WALAUPUN berbeza agama, bangsa dan kepercayaan, semuanya disatukan sebagai masyarakat bersatu-padu.

Realiti kehidupan harmoni tanpa mengira kaum, tentunya terselit kisah yang menyentuh hati.

Banyak pengajaran hidup boleh diambil dengan memikirkan tentang kematian. -Gambar hiasan

Begitulah luahan seorang wanita di Facebook, yang menyaksikan satu pasangan suami isteri berbangsa Cina menziarahi pusara di tanah perkuburan Islam, dipercayai di Sarawak.

Menurut wanita berkenaan, ketika itu dia menziarahi pusara ibu bapanya.

"Pagi tadi sewaktu kami menziarah kubur bapa dan mak. Terjumpa pasangan suami isteri berbangsa Cina menziarah salah satu kubur di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Tamat tempoh idah, isteri semangat pilih baju sehari sebelum ‘jumpa’ suami... Rupanya ada kisah pilu di sebalik pemergian

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah, Omok datang ni!” - Budak balik tadika ceria ziarah kubur bapa... Ibu buka cerita, rupanya hati tisu selalu ‘mengadu’ dekat gambar arwah

"Kubur yang mereka lawat tu berjarak beberapa meter je dari kubur bapa dan mak. Saya nampak jelas apa yang mereka lakukan pada ketika itu," tulisnya.

Kata wanita itu, pasangan suami isteri tersebut dilihat sedang membersihkan kawasan kubur, termasuk batu nisannya.

"Dicuci segala kotoran yang ada pada batu nisan menggunakan air mineral yang dibawa mereka.

"Selesai membersihkan kubur, mereka pun seolah berhenti bertafakur sekejap," ujarnya mengenai pasangan yang dipercayai berusia 70-an.

Tengok kubur arwah anak pun sudah tahu pasangan tu selalu datang, sangat bersih.

WARGA MAYA

Tidak hanya memerhati, wanita tersebut menegur pasangan berkenaan dan terungkai sebab keberadaan mereka di tanah perkuburan.

"Apabila selesai, mereka memandang ke arah kami dengan senyuman. Dengan ringan hati kami bertanya, kubur anak ke? Mereka mengiyakan.

"Pasangan itu memaklumkan anak lelaki mereka masuk Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu. Dia meninggal kerana sakit akibat kanser otak, empat tahun lalu," katanya lagi.

Mendengar cerita pasangan itu mengenai anak mereka menyentuh emosinya sehingga berjurai air mata.

"Demi kasih ayah dan ibu pada anak. Walaupun anaknya sudah berpindah agama, namun kasih mereka tiada penghujung. Satu pengajaran untuk kami pada hari itu.

Sebahagian komen warga maya.

"Kasih pada anak itu tiada syarat. Al-Fatihah buat arwah, anak kepada pasangan Cina tu," kata wanita itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut tersentuh dengan kisah yang dikongsikan itu.

"Sedihnya, mak ayah yang berdepan dengan pemergian anak. Tapi itulah kehidupan, ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan.

"Kasih ibu ayah sampai ke syurga, tengok kubur arwah anak pun sudah tahu pasangan tu selalu datang, sangat bersih," kata sebahagian warga maya.

Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada larangan bagi orang bukan Islam daripada memasuki perkuburan orang Islam, lebih-lebih lagi jika mereka berniat baik dan tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan atau menghina maruah orang Islam.

Mereka juga dialu-alukan untuk datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara mereka, namun sebarang amalan ritual keagamaan bukan Islam adalah dilarang sama sekali.

Namun, petugas tanah perkuburan dan orang Islam perlu mengingatkan orang bukan Islam mengenai adab-adab yang perlu dijaga sewaktu berada di tanah perkuburan orang Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain