suria

Balu kematian suami meraung bincang hal faraid... Sikap mentua, ipar duai makin terserlah - “Semoga Allah gandakan rezeki kalian”

Mana-mana wanita pasti akan berasa sedih apabila ‘kehilangan’ pasangan. -Gambar hiasan

SUDAH banyak kisah yang dipaparkan di media sosial mengenai isu perebutan harta selepas berlaku kematian ahli keluarga sehingga mencetuskan 'perang saudara'.

Malah ada kes pembahagian harta yang masih tidak selesai biarpun sudah bertahun-tahun lamanya kerana tiada kesepakatan.

Namun kisah yang dikongsikan seorang wanita mengenai sikap keluarga mentuanya, benar-benar membuatkan warga maya terkesan.

Menurut wanita yang tidak mendedahkan namanya itu, dia dan suaminya bukanlah berasal daripada keluarga senang.

Urusan faraid perlu dilakukan oleh waris selepas si mati meninggal dunia. -Gambar hiasan

Bagi menyara keluarga kecil mereka, dia dan suami membuka gerai nasi campur di tepi jalan.

"Kami mempunyai sebuah kereta Waja second-hand yang dibeli dengan harga RM5,000 daripada kawannya. Rumah pula suami beli semasa bekerja kilang... rumah flat kos rendah.

"Alhamdulillah suami jenis merancang juga. Kami ada sedikit saving di Tabung Haji, insurans nyawa aku dan dia, rumah (masih berhutang) dan kereta tanpa hutang.

"Suami ada lima adik beradik, dia anak ketiga. Ada dua kakak dan dua adik lelaki. Ibu dan ayah mentua hanya bekerja kampung mengusahakan sawah padi.

"Kedua-dua kakaknya sudah berkahwin. Seorang berniaga online dan suaminya adalah seorang guard. Kakak kedua tukang jahit dan suaminya bekerja kilang. Dua adiknya masih belajar," kongsi wanita itu membuka cerita.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘pergi’ tak tinggal harta, 6 beradik tak serabut fikir faraid! Kereta jual masa sakit, yang ada cuma baju-baju bundle RM5

ARTIKEL BERKAITAN: Songlap duit pencen, tak bahagi harta ikut faraid! Anak saudara dedah makcik kini sakit misteri, saran kembalikan hak waris teraniaya

Hendak dijadikan cerita, suaminya ditakdirkan meninggal dunia di dalam kemalangan jalan raya.

Pemergian suami secara mengejut itu membuatkan dia tidak bersedia kehilangan tonggak keluarga tambahan pula dua anak perempuan mereka masih kecil.

"Selepas arwah meninggal dunia, atas nasihat kawan, aku pun ke sana sini menyelesaikan antaranya KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), hutang rumah dengan bank, ejen insurans, Tabung Haji.

"Selepas dikumpulkan, anggaran kasar ada dalam RM70,000 juga jumlah yang bakal difaraidkan kerana aku tiada anak lelaki.

"Aku jumpa keluarga mentua. Aku yang minta semua ahli keluarga termasuk adik beradik suami datang ke rumah mentua. Aku ceritakan semuanya dengan detail sebelum proses permohonan sijil faraid," kongsinya.

Pada ketika itulah, tanpa disangka-sangka, reaksi setiap ahli keluarga mentuanya membuatkan wanita ini mengalirkan air mata.

"Ayah mentua kata 'kamu tak perlu faraid duit tu. Ambil semua untuk kegunaan kamu dan anak-anak. Walaupun kami ada hak, tapi ayah nak halalkan pada kamu'.

"Kemudian mak mentua pun angguk. Masa tu terus berlinang air mata. Bukan gembira dapat 'makan seorang' tapi aku sedih, terharu. Kenapa mereka begitu?

Sebahagian daripada komen netizen terhadap perkongsian kisah wanita berkenaan.

"Sedangkan ada sesetengah orang, duit faraid ni ibarat durian runtuh kan? Kakak ipar kata 'kalau bahagi-bahagi, nanti berapa je tinggal untuk kau'.

"Adik ipar kata 'kami tahu akak susah sama-sama dengan abang. Dengan anak kecil meniaga tepi jalan. Kitorang tak tolong apa-apa. Takkan sekarang bila abang dah tak ada, kita nak ambil duit hasil usaha abang dan kakak'.

"Terus meraung aku masa tu... Allah sedihnya. Di saat orang lain yang lebih alim daripada mereka boleh berubah hanya sebab duit, tapi mentuaku yang biasa-biasa ni sangat faham pada menantu mereka yang tiba-tiba jadi balu," kongsinya.

Tambah wanita berkenaan, bagi menghargai kebaikan keluarga mentuanya, dia tetap menghulurkan wang dan hadiah buat mereka.

Malah dia juga tidak lokek menghulur duit belanja kepada adik-adik iparnya dan anak saudaranya yang masih belajar.

"Tiap minggu aku bawa anak-anak jenguk datuk dan nenek. Kebaikan mereka membuatkan aku mahu hubungan ini kekal sampai bila-bila.

"Aku dah tak meniaga tepi jalan tapi aku ambil tempahan makanan online. Buat masa ini aku belum terfikir nak cari pengganti.

"Doakan aku terus kuat dengan ujian hidup ini. Terima kasih untuk keluarga mentua. Semoga Allah gandakan rezeki untuk kalian," akhirinya.

Perkongsian kisah wanita itu mengundang perasaan hiba warga maya dengan rata-ratanya menyifatkan dia sangat bertuah dikurniakan mentua yang baik.

"Perikemanusiaan ni lahir daripada hati yang bersih. Orang yang banyak duit pun belum tentu ada kemanusiaan.

"Bertakung air mata... baik sungguh mentua awak. Satu dalam seribu. Kasih sayang sampai syurga.

"Moga ramai lagi yang lebih mengutamakan keluarga yang ditinggalkan daripada berebut harta yang tak sudah," demikian komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain