suria

Berjurai air mata isteri, tak sangka suami sanggup botak bersama! Lelaki ini cukur kepala sendiri, sokong cinta hati lawan kanser ovari

Erol membotakkan kepala sendiri sebagai tanda solidariti kepada isteri tercinta.

RAKAMAN video menunjukkan seorang lelaki nekad membotakkan kepalanya sendiri sebagai tanda solidariti terhadap isterinya yang menderita kanser ovari tahap 1C mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Mengakui ia dilakukan secara spontan, Mohd Fairul Mohd Azis, 37, sebelum itu bertindak mencukur kepala isterinya, Norhaliza Yahya, 47.

Ketika dihubungi mStar, Mohd Fairul yang mesra disapa Erol berkata dia tidak sanggup melihat isteri kesayangannya menangis sepanjang proses membotakkan kepala di sebuah kedai gunting rambut di Puchong, Selangor pada Rabu.

"Saya bawa Liza pergi barber shop untuk gunting rambut. Saya memang biasa gunting rambut dekat situ.

"Sampai dekat kedai gunting tu saya request nak potong sendiri rambut dia," imbasnya kepada mStar.

Terdahulu Erol berkongsi video dia membotakkan isterinya sambil berkali-kali dilihat mencium di kelapa sebagai tanda kasih dan sayang.

Kedua-dua mereka juga gagal menahan air mata apabila terpaksa melalui momen berkenaan.

Namun Erol mengejutkan isterinya apabila dia tanpa ragu-ragu terus mencukur kepalanya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sakit kanser sedia untuk ‘pergi’, suami asyik hilang tengah malam! Luluh dapat tahu penyondol itu adik kandung sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas suami meninggal, didiagnos kanser pula! Guru 4 anak cekal buat kemoterapi sendirian, dulu ke mana saja berteman

"Masa mula-mula dia beritahu nak potong semua rambut saya dah cakap dekat dia... syaratnya jangan menangis.

"Tapi lepas habis potong rambut, saya tengok dia dah pun menangis. Jadi saya ambil keputusan sebagai tanda sokongan, saya potong rambut sendiri.

"Masa tu isteri terkejut tengok saya botakkan kepala juga. Katanya dia sendiri tak sangka saya buat macam tu," ujar Erol lagi.

Erol dan isterinya sudah berumah tangga selama lebih enam tahun.

Menurut bapa kepada tujuh cahaya mata itu lagi, isterinya mengalami sakit perut disebabkan ketumbuhan sejak 2022 sebelum disahkan menghidap kanser ovari.

Ujarnya yang mengusahakan perniagaan pakaian bundle sejak 15 tahun lalu, perkara itu cukup mengejutkan dia sekeluarga.

"Tahun lepas ketumbuhan dalam perut tu pecah. Jadi isteri saya kena jalani pembedahan. Lepas buat pembedahan barulah dapat tahu yang dia sebenarnya hidap kanser ovari.

"Sebagai suami, semestinya luluh hati saya apabila dapat tahu yang isteri ada kanser. Sedih teramat sangat.

Semestinya luluh hati saya apabila dapat tahu yang isteri ada kanser.

MOHD FAIRUL MOHD AZIS

SUAMI

"Dia adalah orang kuat saya selama kami bergelar pasangan suami isteri. Liza selalu ada dengan saya untuk jadi sumber kekuatan masa saya susah dan senang," katanya.

Dalam pada itu Erol yang berumah tangga sejak enam tahun lalu berkata dia tidak menyangka perkongsiannya di Instagram menjadi tular.

Justeru dia berharap agar orang ramai mendoakan isterinya supaya diberikan kesembuhan segera.

Erol mendoakan agar isterinya kembali sihat seperti sedia kala.

"Sampai hari ini pun kesihatannya tak begitu baik. Sekarang dia kena jalani rawatan kemoterapi. Ada enam kali cycle kemoterapi kena buat.

"Apa-apa pun saya doakan isteri saya akan kembali sihat seperti biasa. Semoga isteri saya diberikan kekuatan untuk jalani semua ni.

"Sakit ni datang tanpa mengira waktu tua atau muda. Jadi saya berharap sangat agar orang ramai supaya lebih rajin buat pemeriksaan kesihatan supaya kita tahu mengenai tubuh sendiri," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain