suria

Sayu burung hantu terkulai layu di tengah jalan, pencinta haiwan cuba dapat bantuan sana sini tapi akhirnya hanya linangan air mata

Burung hantu yang cedera ini cuba diselamatkan tetapi akhirnya gagal.

BURUNG hantu mungkin nampak digeruni kerana merupakan pemangsa waktu malam.

Walaupun sangat cekap dalam kegelapan dan dianggap tahan lasak, namun haiwan ini juga tidak terkecuali jatuh sakit dan mengalami kecederaan.

Seorang wanita tidak menyangka dirinya dipertemukan dengan seekor burung hantu di tengah jalan, namun ia terkulai layu kesakitan dipercayai patah sayap.

Menerusi video yang tular di TikTok, Siti Nursyazwani atau mesra disapa Wani dilihat membawa pulang burung hantu yang sedang sakit tenat dan cuba merawatnya.

"Saya dan kawan jumpa burung hantu ni ketika itu waktu maghrib, kami nak balik ke tempat kerja. Kami dalam perjalanan nak pergi ambil barang di Semenyih, Selangor.

"Setibanya di Jalan Bangi Lama, dari dalam kereta kami tiba-tiba nampak macam ada sesuatu di tengah jalan. Ingatkan kucing pada awalya, kami pun berhenti di tepi jalan, nak pergi tengok.

ARTIKEL BERKAITAN: Burung hantu sesat di laut hampir lemas, mujur ada abang kelasi... tak kasar pun, siap jaga macam anak sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: 22 tahun bela burung dalam sangkar, akhirnya terbuka hati bebaskan lepas pulang umrah... “Hidayah itu milik Allah”

"Ada juga beberapa kereta yang lalu selepas kami tapi mereka tak berani nak periksa benda tu. Apabila kami dekati, rupa-rupanya seekor burung hantu. Dia (burung hantu) agak agresif waktu tu, mungkin sebab takut.

"Kebetulan saya dan kawan pakai jaket, kami telangkupkan burung hantu tu dengan jaket. Apabila burung tu tak nampak keadaan sekeliling, ia jadi lebih tenang," kata Wani ketika dihubungi mStar.

Kami tak sempat berikan burung hantu tu nama sebab sekejap sangat masa yang kami ada dengan dia.

SITI NURSYAZWANI

Mengenai kejadian pada malam 26 September lalu, Wani yang merupakan jururawat di sebuah klinik di Putrajaya kemudian cuba memeriksa kecederaan yang dialami burung hantu tersebut.

Wani dan rakan cuba menyelamatkan seekor burung hantu yang mengalami kecederaan.

"Waktu kami bawa masuk burung hantu ke dalam kereta, saya nampak ada luka dan darah pada badannya. Sampai di rumah, baru kami nampak sayap burung hantu tu cedera parah hingga nampak tulang.

"Rasanya sayap dia dah patah. Malam tu kami bagi dia makan dan minum air. Ada buat research sikit di Google, kami bagi dia makan telur mentah dan isi ikan.

"Esok pagi kami hubungi Perhilitan, sebab kami tahu burung hantu ni kategori haiwan dilindungi, tak boleh rawat sembarangan. Tapi tak berhasil untuk dihubungi. Kami tunggu lagi, juga tak berjawab.

Burung hantu dalam keadaan tenat.

"Khamis pula cuti umum. Kami bawa burung ni ke veterinar haiwan eksotik di universiti berdekatan pada Jumaat, tapi kat sana pun mereka tak boleh buat apa sangat, sebab mereka tak ada permit dan kepakaran," kata Wani.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mendakwa, veterinar di universiti berkenaan hanya mampu memberikan ubat tahan sakit untuk membantu melegakan sedikit kecederaan burung hantu tersebut.

"Veterinar tu cakap jangkitan pada luka burung hantu tu sebenarnya dah melarat. Waktu kami jumpa di jalan tu, anggaran seminggu lebih dah dia cedera. Mungkin dia kelaparan sangat, itu terpaksa keluar juga cari makan.

Wani memberi makan isi ikan mentah kepada burung hantu ini.

"Kalau nak rawat, mungkin kena potong kepak burung hantu tu. Tapi mereka tak boleh buat sebab tak ada permit semua. Jadi, kami boleh tunggu je. Keadaan burung hantu tu semakin melemah.

"Kami bagi makanan pun dia dah tak berdaya nak makan sendiri, kami kena suapkan. Nafas dia kami perasan dah hujung-hujung.

"Akhirnya pada malam Jumaat, burung hantu tu mati, dah terlambat untuk dia dapatkan bantuan. Kami tanam dia di laman depan rumah, sedih pula fikir nasib dia," kata Wani dengan nada sebak.

Wani dan rakan telah sehabis baik untuk menyelamatkan seekor burung hantu.

Mengimbas waktu bersama burung hantu itu selama beberapa hari, Wani mengatakan antara momen paling diingatinya ketika tangannya luka dipatuk haiwan berkenaan.

"Kami letak burung hantu tu dalam sangkar. Biasanya dia tenang je dan bagi kami usap. Tapi ada sekali tu saya nak cuba periksa luka dia, saya dah tutup mata dia dengan kain nak bagi dia tenang.

"Tiba-tiba burung hantu tu patuk tangan saya, tangan saya pun luka sebab paruh dia agak tajam. Tapi tak dalam sangat luka tu, macam lebih kurang kena gigit kucing.

"Kami tak sempat berikan burung hantu tu nama sebab sekejap sangat masa kami bersama," kata Wani lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain