RINDU yang tiada kesudahan dirasai seorang anak sehingga kini apabila tidak dapat berjumpa ibunya saat menghembuskan nafas terakhir. Mohamad Hilmi Mohamad, 26, berkata ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sewaktu dia berada di Jepun ketika bekerja di luar pesisir (offshore) tahun lalu. Bercerita kepada mStar, Mohamad Hilmi berkata perkhabaran duka mengenai kemalangan ibu diketahui olehnya sewaktu berada di atas kapal untuk berlayar ke Gladstone, Australia. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) “Masa dapat tahu ibu saya kemalangan saya baru dua hari keluar dari Jepun. Ambil masa dua minggu juga untuk sampai ke Australia. Nak tak nak kena tunggu. “Setiap hari saya doa minta Allah panjangkan umur mak. Ye la dia satu-satunya ibu yang saya ada. Masa ni tak payah cakaplah memang tak fokus kerja. “Hari-hari saya ambil angin sorang-sorang dekat luar kapal. Apa dalam kepala otak saya, nak balik je. Hari-hari saya doa minta agar ada rezeki lagi jumpa dia,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meninggal atas riba adik hari terakhir Ramadan, rendang raya dah siap masak... jejaka kerja pelantar minyak masih trauma ARTIKEL BERKAITAN: Dapat nombor satu, wanita ini sayu terkenang arwah abah... Demi janji, ibu bawa naik van jenazah pusing Danga Bay Namun, ibunya, Surahat Dollah hanya bertahan 11 hari selepas koma disebabkan mengalami banyak luka dalaman selepas terbabit kemalangan di Terengganu pada 14 Mei tahun lalu. Sebaik mendapat perkhabaran itu, anak kelima daripada tujuh adik beradik ini terus berikhtiar untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan dengan membeli tiket penerbangan yang dijadualkan pada 27 Mei 2022. Bagaimanapun, ternyata hajat untuk bertemu ibu tidak kesampaian apabila insan kesayangannya itu meninggal dunia pada 25 Mei. Dalam kenangan... Hilmi bersama ibu tercinta di sebuah kedai makan. “Masa tu tiket kapal terbang dah dapat dan saya pun dah nak sampai port (pelabuhan). Memang tak sabar nak balik jumpa mak. “Tapi pada ‘hari keramat’ tu saya dapat mesej di WhatsApp beritahu mak saya dah tak ada. Saya tak sempat juga jumpa dia buat kali terakhir. Sikit lagi saya nak sampai rumah. “Malam tu hanya mampu buat tahlil dengan rakan sekerja atas kapal. Macam tak percaya mak dah tak ada. Tapi itulah realiti. Seumur hidup... bacaan surah Yassin kali ni paling buat saya terasa sedih dan sayu,” katanya lagi. Rasa macam tak percaya mak dah tak ada. Kosong je rasa rumah. MOHAMAD HILMI Luah Hilmi, sewaktu tiba di kampung, dia seolah-olah masih tidak percaya ibunya sudah tiada lagi untuk menyambut kepulangannya seperti selalu. Kepulangannya ke rumah pada malam itu cukup berbeza apabila diiringi dengan bacaan tahlil pada hari keempat selepas pemergian ibu. Imbas Hilmi, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah adalah pada 20 Januari 2022 sebelum belayar untuk meneruskan kerjanya sebagai pelaut. Jejaka ini menziarahi kubur ibunya pada hari keempat selepas kematian. “Sampai je dekat rumah di kampung saya pergi terus ke kubur. Masa ni belum rasa apa-apa sebab orang ramai dekat rumah. “Tapi bila semua orang dah balik dah rumah mula rasa kosong. Tinggallah kami anak beranak yang lain. Masing-masing pura-pura kuat je. “Rasa macam tak percaya mak dah tak ada. Kosong je rasa rumah. Sampai sekarang saya masih rindukan mak. Terkilan rasanya tak sempat kucup dahi, belai ibu sebelum dia meninggal,” ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube