suria

Berat dugaan ibu, anak sulung harapan keluarga dipenjara 5 tahun! Wanita ini takkan berhenti menghitung hari pembebasan

Wanita ini tanpa lelah berkunjung ke penjara di Melaka untuk melawat anaknya.

KASIH seorang ibu tiada penghujung dan sudah tentunya tidak mampu dibalas.

Ketika dunia seorang anak itu bertukar gelap, susuk tubuh si ibu pasti akan setia di sisi untuk menerangi jalan.

Demikianlah yang dilakukan wanita bernama Siti Suriana, 42, atau mesra disapa Anna apabila anak sulungnya yang berumur 21 tahun disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dihukum penjara.

Menerusi satu video tular di TikTok, Anna berkongsi keterujaan ketika dia tiba di perkarangan Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka untuk melawat anaknya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Anna berkata anaknya yang hanya mahu dikenali sebagai Along dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun berjaya dirayu untuk dikurangkan kepada lima tahun.

"Hati ibu mana yang tak luluh apabila masa depan anak yang dikandungkan hancur. Along terlibat dengan jenayah rogol dan saya rasa adalah lebih baik untuk tidak didedahkan secara terperinci.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak meraung insaf lawat muzium penjara, rupanya mak ayah komplot dengan warden misai... ‘Taubat’ tak main handphone dah!

ARTIKEL BERKAITAN: “Penjara bukan tempat berehat” - Bekas banduan aktif buat ‘content’ realiti tirai besi, tak tenteram nampak anak muda hisap dadah sambil ‘live’

"Along direman kerana pertuduhan jenayah pada bulan April lalu, waktu tu bulan puasa. Dia jatuh hukum dan mula menjalani hukuman penjara pada bulan Julai.

"Susah sangat saya nak hadam hakikat ni, waktu awal tu saya sebak dan menangis apabila terima perkhabaran tentang apa yang Along dah buat. Bukan orang lain tapi anak saya sendiri.

"Namun walau apa pun yang jadi dekat Along sekarang, dia tetap anak saya dan saya akan memberikan sokongan kepadanya. Saya percaya masih belum terlambat untuk Along menebus kesalahannya," kata Anna yang mempunyai tiga cahaya mata.

Along tetap anak saya dan saya tidak berhenti daripada menyayangi dia.

SITI SURIANA

Selain Along, Anna mempunyai dua lagi anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang kini berada di bawah jagaan bekas suaminya.

Berkongsi rutin lawatan ke penjara, Anna berkata dia akan melawat Along sekali dalam sebulan.

"Dulu waktu Along kena reman saya datang setiap minggu untuk tengok dia. Sekarang apabila dah di penjara, saya akan datang sebulan sekali.

"Saya menetap di Johor Bahru, saya akan naik bas untuk ke Melaka dan di sana adik atau kakak saya akan jemput untuk bawa jumpa Along. Setiap sesi pertemuan hanya dibenarkan selama 30 minit.

Anna bersama anak sulungnya yang senang dengan nama panggilan Along.

"Saya tak boleh berpelukan dengan Along sebab ada penghadang kaca antara kami, kami duduk dalam satu bilik dan bercakap melalui telefon.

"Saya juga tak boleh bawa bekal makanan dari luar untuk Along. Saya hanya dibenarkan beli keperluan daripada koperasi penjara dan berikan kepada Along," kata Anna yang merupakan anak jati Muar, Johor.

Mengimbas topik perbualan antara dia dan Along, Anna berkata anaknya itu sering meminta maaf kerana tidak dapat menunjukkan contoh yang baik kepada adik-beradiknya.

"Walaupun besar kesilapan yang Along dah buat, tapi saya bersyukur apabila nampak dia benar-benar menyesal. Dia tak putus-putus minta maaf sebab jadi begini akhirnya.

Keadaan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka.

"Dia pun minta maaf kepada adik-beradiknya sebab memberikan contoh yang buruk dan tidak dapat ada dengan mereka. Saya sempat bersembang dengan warden di situ dan tanya anggaran bila Along boleh keluar.

"Berdasarkan pengiraan kalendar penjara, Along akan keluar pada Ogos tahun 2026. Saya tidak akan berhenti mengira hari hingga tiba ke saat itu. Mungkin boleh keluar lebih awal kalau Along berkelakuan baik dan dapat parol.

"Fikiran saya tak boleh beralih daripada terus bayangkan keadaan Along di dalam sana. Penghuni rahim saya di sebalik tirai besi, semoga Along baik-baik saja," ujar Anna cuba menahan air mata.

Walaupun diibaratkan sudah menconteng arang di muka, Anna berkata dia akan menerima kepulangan Along dengan tangan terbuka.

Anna berkahwin dengan suami baharu pada tahun 2021.

"Nanti saya akan cuba berbincang dengan bekas suami untuk minta kebenaran jaga Along selepas dia keluar, biarlah dia duduk dengan saya.

"Saya tahu kehidupan Along selepas hukuman penjara ini tak mudah, tanggapan serong masyarakat ke atas seorang bekas banduan boleh membinasakan. Saya kena sentiasa ada dengan Along untuk beri dia sokongan moral.

"Perjalanan hidup Along masih panjang, satu titik hitam tidak akan meleburkan segalanya. Walau apa pun yang terjadi selepas ini, Along tetap anak saya dan saya tidak berhenti daripada menyayangi dia," kata Anna menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain