suria

Tragis... 3 anggota Dewan Muslimat Pas Sungai Petani maut dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

Anggota bomba membantu mangsa kemalangan membabitkan anggota Dewan Muslimat Pas, pada petang Jumaat.

TIGA anggota Dewan Muslimat Pas dari Sungai Petani, Kedah maut secara tragis ketika cuba membantu mangsa kemalangan lain di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tanjung Malim, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23; Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61; dan Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor.

Mohd Hasni berkata polis menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas tiga kenderaan: Dua wanita, seorang lelaki maut di lokasi kejadian

Ujarnya, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbalik di longkang sebelah kiri lebuh raya itu.

"Dua penunggang motosikal, seorang lagi pemandu kereta dan SUV jenis Toyota Fortuner yang dipandu Fatihah berhenti di lorong kecemasan untuk membantu.

"Kira-kira lima minit kemudian, sebuah lagi kereta dari arah yang sama dipandu di sebelah kanan lebuh raya hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki tadi hingga kesemua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan," katanya dalam kenyataan.

Fatihah dan Taibah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia di Hospital Slim River ketika menerima rawatan.

Mohd Hasni berkata pemandu kenderaan 4WD itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang lain mengalami cedera ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain