SETIAP wanita yang bergelar ibu pasti mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sama ada sewaktu mengandung mahupun ketika bersalin. Begitu juga dengan wanita ini yang ditimpa kecelakaan sewaktu sarat hamil cahaya mata sulungnya. Lebih senang dikenali sebagai Wan Natasha, wanita berusia 24 tahun ini berkongsi insiden yang menimpa dirinya pada Ogos lalu, di mana dia terjatuh ke dalam perigi sehingga patah kaki kiri. "Kejadian berlaku pada 22 Ogos lepas, ketika itu saya hamil 38 minggu. Waktu tu saya seorang dekat rumah, suami kerja. Saya nak angkat baju di ampaian dekat belakang rumah. Kawasan ampaian memang kena lalu telaga... nak tak nak kena pijak penutup. "Malang tak berbau, penutup salah satu telaga tu roboh maka saya terjerlus ke dalam telaga kosong berkedalaman 16 kaki. Saya pengsan dan sedar-sedar kaki rasa sakit dan berdarah. Jari terkoyak dan kakin kiriya perlu disimen kerana patah. "Waktu tu jantung berdegup laju, kepala blank... saya hanya fikir baby dalam perut. Saya jerit minta tolong... sejam juga terkandas. Alhamdulillah disedari jiran, dan dia hubungi suami," ceritanya kepada mStar mengimbas semula insiden berkenaan. Menurut Wan Natasha, suaminya cuba membantu mengeluarkannya menggunakan tangga namun gagal kerana kakinya cedera.. Dia kemudian diselamatkan oleh pasukan bomba yang kemudian bergegas menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hamil 7 bulan melecur disambar api, hos tong gas bocor - “Dia nak rebus ayam, bagi anak-anak bulus makan” ARTIKEL BERKAITAN: Insiden ibu maut bersama bayi terkeluar dari kandungan... kakak ipar sebak anak arwah Nor Hasliza asyik tanya “mana abu?” "Apabila doktor datang untuk buat pemeriksaan, saya minta check kandungan dulu sebab fikir nyawa baby. Bila doktor cakap baby okay, memang lega sangat-sangat. "Kemudian doktor rawat kecederaan pada kaki, rupanya jari terkoyak dan kaki patah serta terpaksa disimen. "Ingatkan selepas dirawat, boleh dibenarkan pulang tapi doktor beritahu kedudukan baby terpusing, mungkin sebab jatuh. Jadi saya terus ditahan di wad serta diberitahu perlu bersalin enam hari berikutnya," ceritanya yang menetap di Cempaka, Kelantan. Bayi perempuan yang dilahirkannya pada 28 Ogos lalu kini hampir berusia dua bulan. Tambah Wan Natasha, berita tersebut sedikit sebanyak membuatkan dia tertekan kerana memikirkan perlu bersalin dalam keadaan kaki yang masih sakit. "Saya down sebab fikir macam-macam... dengan tak boleh berjalan, lepas tu perlu bersalin awal. Bagaimanapun syukur Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. "Saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan menerusi kaedah pembedahan caeserean pada 28 Ogos lalu," tambahnya. Wanita ini mengakui, tidak mudah untuknya melalui cabaran sebaik sahaja bergelar seorang ibu. Saya down sebab fikir macam-macam... dengan tak boleh berjalan, lepas tu perlu bersalin awal. WAN NATASHA Mana tidaknya, dalam keadaan kecederaan kaki yang masih belum pulih, dia juga melalui kesakitan akibat pembedahan ketika bersalin. "Saya sangat bersyukur kerana ibu dan suamilah yang banyak bantu menguruskan saya dan baby dalam keadaan saya masih sukar berjalan waktu itu. "Lebih saya bersyukur, bayi saya tak ada jaundis dan tak banyak meragam. Macam memahami sangat keadaan ibunya yang sedang sakit. Dah berusia hampir dua bulan pun," katanya lagi. Berkongsi keadaannya ketika ini, Wan Natasha berkata dia kini beransur-ansur sembuh dan sudah mampu berjalan perlahan-lahan. Wanita ini bersyukur kerana suaminya banyak membantu menguruskan dirinya dan bayi. Tidak menyangka perkongsian video mengenai pengalamannya meraih sehingga dua juta jumlah tontonan di TikTok, wanita ini berkata dia sekadar mahu mengabadikan kisah tersebut di media sosial dan dalam masa yang sama mengingatkan para bakal ibu agar sentiasa berhati-hati sewaktu hamil. "Selain itu, mesej saya adalah untuk para suami juga agar ringan tulang membantu isteri. Kena bijak main peranan, ringankan beban isteri yang dah bertarung nyawa melahirkan zuriat anda," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube