LAIN yang dirancang, lain pula yang terjadi. Begitulah nasib dua sekawan yang mahu bercuti ke tiga negara di Asia Tengah tetapi ‘terkandas’ di lapangan terbang di China ketika transit di negara Republik itu. Salah seorang daripada mereka membuat pendedahan itu di TikTok dan mendapat perhatian netizen sehingga tular di media sosial. “Aku kena ‘tendang’ dari China, ‘terbuang’ ke Jerman,” tulis pemuda itu dalam perkongsiannya di TikTok sehingga meraih perhatian netizen. Amir (kiri) dan rakan berkenalan dengan Uncle Lim (kanan). Pemuda berkenaan, Amir Asyraf berkongsi cerita mengenai pengalamannya bersama seorang rakan yang mahu bercuti ke Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan selama sembilan hari, pada bulan lalu. Demi mendapatkan tiket penerbangan lebih murah, katanya, mereka merancang menaiki penerbangan dengan transit di Beijing dan Xi An di China sebelum tiba ke destinasi akhir, Astana, ibu negara Kazakhstan. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia mendapat maklumat bahawa visa diperlukan untuk ke China memandangkan Xi An merupakan lapangan terbang domestik. "Kalau sekadar transit tanpa melalui imigresen tidak perlu visa seperti di lapangan antarabangsa di Beijing. Masa booking tu pun dimaklumkan ‘technical stop, no transfer’. "Tapi kena ada visa untuk ke Xi An. Masa tu, kami degil juga untuk menaiki penerbangan dari KLIA, dan kami diminta mengisi borang 'declaration' sebelum menaiki penerbangan. “Malangnya sampai di Beijing, kami ‘sangkut’ dan China pula tiada visa semasa ketibaan (VoA) untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada mStar. Bersiar-siar di Frankfurt sebelum menyambung penerbangan ke Kazakhstan. Rupa-rupanya kata pemuda berusia 35 tahun itu, selain mereka berdua, turut terkandas ketika itu adalah seorang lagi lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Kazakhstan. ARTIKEL BERKAITAN: Impian ke Korea musnah! Gadis terkandas di airport gara-gara tak bawa pasport lama... Akur duit belanja buat majlis kahwin ARTIKEL BERKAITAN: Waspada sebelum terkena! Percutian ke Seoul bertukar ‘tragedi’, 4 sekawan jadi ‘homeless’ 3 hari gagal jawab soalan pelik imigresen Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube Amir bagaimanapun bersyukur apabila syarikat penerbangan tersebut membantu menyelesaikan masalah yang timbul dengan menerbangkan mereka ke Frankfurt, Jerman terlebih dahulu sebelum menyambung perjalanan ke Kazakhstan. “Disebabkan bagasi kami dah check in dari KLIA untuk ke Xi An, dan kami tak sampai ke Xi An, jadi ia terkandas di Beijing. Kami pergi ke Frankfurt dengan sehelai sepinggang. “Dalam beg cuma ada sehelai baju, kamera dan dron. Kami tiba di Frankfurt selepas penerbangan selama 12 jam,” ujarnya yang berasal dari Puchong, Selangor. Sempat membeli pakaian di Frankfurt kerana bagasi 'terkandas' di Beijing. Pernah ke Munich, Jerman atas urusan kerja tahun lalu, namun kata Amir ia merupakan pertama kali dia menjejakkan kaki ke Frankfurt dan berkenalan dengan seorang lagi rakyat Malaysia yang mengalami nasib sama. “Kami bersama Uncle Lim dari Pulau Pinang berusia 50-an, bertiga sewa di bilik hotel di Frankfurt untuk satu malam. Sempat juga kami berjalan-jalan, makan dan beli pakaian. “Lebih manis, kami dan Uncle Lim sebelum ini tak pernah kenal tapi jadi ‘sekepala’ dan boleh ‘ngam’ (rapat). Uncle Lim beritahu dia sudah mengembara ke 100 negara,” tambahnya. Kami pergi ke Frankfurt dengan sehelai sepinggang. AMIR ASYRAF Walaupun berpengalaman sebagai pemandu pelancong sejak setahun lalu, pengalaman seperti ini pertama kali dialaminya ketika mengembara ke luar negara. “Saya cuba kawal situasi, tak panik. Bagi saya, follow the flow. Kalau ada apa-apa, kami akan dihantar pulang ke Malaysia,” katanya. Amir (kiri) dan rakan ketika berada di Frankfurt. Mengenai bagasi, Amir menjelaskan ia hanya diperoleh pada hari terakhir percutian mereka sebelum bertolak pulang ke tanah air. “Masa tiba di Kazakhstan pada hari ketiga, kami pergi ke bahagian ‘Lost & Found’. Tapi tunggu tiga jam tak ada orang nak minta hantar ke bagasi dari Beijing. “Bila dah ada orang, tak faham bahasa Inggeris. Kami pula nak bergegas menaiki penerbangan seterusnya ke Almaty, destinasi lain di Kazakhstan. “Sebelum nak balik ke Malaysia kebetulan kami ada dua hari bermalam di Astana, dan jumpa petugas yang boleh berbahasa Inggeris, jadi kami dapat semula bagasi kami,” katanya. Amir teruja berada di Charyn Canyon, Kazakhstan (kiri) dan Barskun Gorge, Kyrgyzstan. Mengimbas kembali, Amir mengakui banyak rancangan mereka terjejas disebabkan perjalanan ‘dilencongkan’ ke Frankfurt selain bagasi ‘terkandas’ di lapangan terbang Beijing. “Semua baju OOTD tak ada, termasuk baju Melayu kononnya nak pakai di Kazakhstan, Kyrgyzstan atau Uzbekistan. Stok makanan pun dalam bagasi termasuk mi segera dan sambal KhairulAming tu... sudahnya makan yang manis-manis je di sini. “Disebabkan kami tak ada visa nak masuk ke China, jadi kami terpaksa beli tiket penerbangan baharu untuk pulang ke Malaysia, berharga lebih RM1,200 seorang. “Tapi ada kenangan manis sebab dapat pergi ke Frankfurt di Jerman secara percuma dan kenal dengan Uncle Lim yang peramah,” katanya. Amir menimba banyak pengalaman ketika mengembara. Pada masa sama, Amir mempelajari dan lebih faham tentang peraturan-peraturan di sesebuah negara untuk mengembara termasuk kekuatan pasport Malaysia dan kepentingan visa. “Sebenarnya kita juga boleh je travel light, tak perlu bawa barang banyak. Dan kita kena sentiasa standby duit ekstra untuk kecemasan. “Paling penting, kena ada insurans travel apabila mengembara. Duit elaun bagasi terkandas tu saya dapat cover balik belanja shopping dan makan di Frankfurt,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube