suria

Tuan rumah buli penyewa, cari alasan nak halau lepas 2 bulan sewa... Rupanya taktik nak ‘burn’ duit deposit!

Kebiasaannya kadar sewaan bergantung kepada keadaan rumah. -Gambar hiasan

BERPINDAH randah bukanlah perkara yang mudah.

Selain melibatkan kos tinggi, ia juga membuatkan mereka yang terlibat terpaksa melalui proses yang meletihkan.

Mana tidaknya, selepas mengemas untuk berpindah dari rumah lama, barangan tersebut perlu dikeluarkan semula untuk disusun di tempat baharu.

Lebih meletihkan apabila urusan tersebut perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat seperti dialami wanita ini.

Rumah sewa kebiasaannya dibiarkan kosong bagi memudahkan penyewa membawa barang sendiri. -Gambar hiasan The Star

Rumah sewa kebiasaannya dibiarkan kosong bagi memudahkan penyewa membawa barang sendiri. -Gambar hiasan The Star

Berkongsi pengalaman menyewa, wanita itu berkata situasi paling memenatkan adalah ketika dia menyewa di sebuah rumah di Jitra, Kedah selama dua bulan sahaja.

Mendakwa mengalami masalah dengan tuan rumah, dia kemudian membuat hantaran berbaur nasihat supaya individu lain tidak mengalami nasib yang sama sepertinya.

"Sebagai orang yang ada pengalaman menyewa di sini selama dua bulan, saya nasihatkan sesiapa yang nak menyewa di sini fikirlah masak-masak, buat solat istikarah.

"Ramai lagi penyewa-penyewa sebelum saya masuk, semua sewa sebulan saja. Cuba fikir kenapa orang sewa dalam tempoh yang singkat?

ARTIKEL BERKAITAN: 30 tahun hidup menumpang tanah orang, tiba-tiba minta pampasan... Netizen nasihat tuntut sewa tertunggak dulu

ARTIKEL BERKAITAN: Kena halau dari rumah sewa, semua barang terpaksa dilelong... Suami isteri masih harap dapat derma untuk Palestin

"Serius, penat sewa dua bulan... baru habis angkut barang dari rumah lama, terpaksa angkut pula ke tempat lain," luahnya.

Menurutnya, situasi yang dialami itu berpunca daripada sikap tuan rumah yang didakwanya sebagai tidak berperikemanusiaan.

Malah sebelum memasuki kediaman tersebut, dia dimaklumkan bahawa penyewa terdahulu dihalau kerana terlibat dengan penagihan dadah.

"Masa saya nak masuk tu dia beritahu penyewa sebelum ni sewa sebulan... kemudian dia cakap sebab penyewa tu taik (penagih) dadah.

Syukur Allah pelihara... akak baru minta balik deposit sebab berat rasa hati nak pergi duduk situ.

WARGA MAYA

"Dia burukkan penyewa sebelum ini, sebab tu dia halau. Saya nasihatkan tak payah sewa di sini carilah rumah lain... ikhlas dari hati," tambahnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa pelayar meluahkan rasa hairan kerana rumah tersebut tersergam indah dan cantik serta bercirikan rumah kampung.

Harga sewaan dan deposit yang ditetapkan juga dikatakan murah serta mampu milik.

Pemilik mengenakan kadar sewaan RM350 sebulan selain meminta deposit bekalan air, elektrik dan rumah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM550.

Malah berdasarkan tangkap layar iklan, tuan rumah ada menyatakan mana-mana individu yang ingin menyewa tidak perlu membawa barang yang banyak demi keselesaan.

Salah satu komen balas yang dibuat anak tuan rumah terbabit.

Salah satu komen balas yang dibuat anak tuan rumah terbabit.

"Rumah kampung dua bilik tidur dan dua bilik air, lengkap pam air. Disediakan semua peralatan untuk kegunaan harian kecuali peti ais, televisyen dan gas.

"Tidak perlu bawa barang-barang terlalu banyak demi keselesaan," demikian menurut maklumat pada iklan.

Perkongsian yang menjadi tular ini mendapat perhatian ahli keluarga tuan rumah terbabit sehingga anaknya turut meninggalkan komen.

Pun begitu, komen balas dan penafian berhubung dakwaan penyewa berkenaan sudah dipadam.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

Menjelaskan lanjut tentang masalah yang timbul, wanita itu mendakwa pemilik kediaman tersebut menggunakan pelbagai alasan untuk memaksa penyewanya keluar dari rumah tanpa perlu mengembalikan deposit.

"Tuan rumah ni jenis nak makan deposit orang sebab penyewa-penyewa sebelum ini dia halau tak bagi deposit. Dengan saya dia terpaksa bagi sebab saya ajak berdepan untuk serah kunci.

"Dia selalu mai (datang) rumah ikut waktu yang dia nak dan cakap saya tak faham konsep rumah sewa. Dia marah sebab saya ubah barang-barang dia untuk letak barang saya," katanya lagi.

Penjelasan itu membuatkan beberapa warga maya yang ingin menyewa di rumah tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kerana mengetahui kisah-kisah tidak menarik itu lebih awal.

Ada juga yang mencadangkan supaya tuan rumah berkenaan menjadikan rumah tersebut sebagai inap desa atau homestay.

"Baik buat homestay, awat pulun (kenapa) nak bagi sewa kalau sekejap sangat.

"Pening kepala tuan rumah... suruh dia buat homestay, tak payah buat rumah sewa.

"Syukur Allah pelihara. Akak baru minta balik deposit sebab berat rasa hati nak pergi duduk situ... mujur dia pulang juga walaupun tak penuh," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain