suria

Si bongsu mengadu tak boleh rakam video cantik, kakak terus belikan iPhone! Enam bulan kumpul duit penuhi permintaan adik darjah 6

Diana menghadiahkan sebuah telefon pintar baharu kepada adiknya, Ben.

DEMI kasih kepada adik, seorang kakak membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah telefon jenama mewah bagi menghargai usahanya dalam bidang pelajaran dan sukan di sekolah.

Ujar Nur Ismadiana Mohamad Ismadi, 18, kejutan sebuah telefon pintar model iPhone 11 berkenaan juga sebagai memenuhi permintaan si bongsu itu untuk memiliki sebuah peranti berkualiti seperti rakan-rakannya di sekolah.

Katanya yang senang disapa Diana, dia mengambil masa sekitar enam bulan untuk mengumpul sebanyak RM1,600 bagi menggembirakan adiknya, Mohd Isma Benjamin yang berusia 12 tahun.

"Budak-budak zaman sekarang kebanyakan dah pakai iPhone jadi adik saya pun teringin. Lama juga dia bagi hint nak saya belikan, tapi adik tahu saya tak mampu walaupun dah kerja.

"Sebelum ni adik pakai telefon jenama lain. Sebagai kakak, mestilah saya kasihankan dia. Jadi saya pun kumpul duit dan belikan dia telefon baharu secara tunai.

"Saya buat kejutan selepas dia pulang daripada latihan bola sepak. Nampak dia gembira sangat-sangat masa tengok iPhone tu," ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis terima hadiah iPhone, isteri kongsi 3 petua bahagia dengan suami lebih muda

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan anak manja, pelajar anggap kejutan iPhone 11 Pro Max tanda sayang ibu bapa - “Mereka tak akan senang-senang berikan hadiah”

Video momen istimewa itu dikongsikan Diana di TikTok dan hingga kini meraih lebih 1.3 juta tontonan.

Bercerita lanjut, Diana berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak berkira dengan adiknya yang mesra dipanggil Ben itu.

Katanya yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik, dia berasa terharu dengan sikap Ben yang suka berkongsi kejayaan dengannya selama ini.

Diana bersama adik bongsunya, Ben.

Maka tidak hairanlah sekiranya dia memberi hadiah dengan hasil titik peluh berniaga sendiri sebagai memberi semangat supaya Ben teruskan minatnya untuk bersekolah dan aktif bersukan.

"Saya nampak usaha dia yang minat dalam pelajaran dan sukan. Selalunya kalau Ben menang apa-apa pertandingan di sekolah, dia akan share dengan saya. Baru-baru ini dia berjaya mewakili negeri dalam sukan olahraga.

"Tapi Ben mengadu dekat saya, dia tak boleh rakam gambar dan video cantik-cantik sewaktu sertai acara sukan sebab tak pakai iPhone. Jadi saya pun belikan setakat mana yang mampu.

Saya nampak usaha dia yang minat dalam pelajaran dan sukan.

NUR ISMADIANA

"Yang penting adik saya terus bersemangat nak belajar sampai habis sekolah. Jangan jadi seperti saya, dulu belajar sampai tingkatan empat saja," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Menurut Diana selain menjual kanta lekap jenama sendiri, dia juga membantu bapanya menjual bihun sup di gerai berdekatan rumah mereka di Simpang Ampat, Pulau Pinang

Dalam pada itu, Diana turut meluahkan harapannya yang begitu tinggi terhadap Ben supaya menjadi kebanggaan keluarga mereka kelak.

Ahli keluarga Diana.

"Sejak kecil mak dan ayah ajar latih kami supaya usahakan sendiri kalau nak sesuatu. Selalunya saya dan abang memang kumpul duit raya kalau nak beli apa-apa.

"Tapi saya kasihan tengok adik... ye la siapa lagi nak belikan untuk dia. Saya harap apabila adik berjaya nanti dia tak lupakan saya dan keluarga.

"Semoga Ben menjadi anak dan adik yang terbaik dan banggakan ibu bapa dalam bidang sukan dan pelajaran. Tak jadi macam saya yang belajar separuh jalan je," katanya mengakhiri kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain