suria

Solat di airport Los Angeles, wanita nikmati hikmah bermusafir... Kanak-kanak mat salih tunjuk sesuatu tanpa disangka

Insiden yang dilalui Hana ketika menunaikan solat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

KETIKA merantau ke tempat orang, nama baik negara dan tuntutan agama tidak harus dilupakan.

Tidak kira siapa kita, penting untuk sentiasa menjaga adab dan menunjukkan teladan yang baik agar tidak meninggalkan imej negatif di negara orang.

Melalui satu video tular di TikTok, seorang wanita yang senang disapa Hana atau nama sebenarnya Norazahana Abdullah berkongsi kisah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, Amerika Syarikat yang mempunyai hikmah dan pengajaran.

Hana berada di Los Angeles untuk menghadiri persidangan.

Menurut Hana, dia dan rakan-rakannya ke sana atas urusan kerja pada Ogos lalu dan kejadian berlaku ketika sedang mencari tempat di dalam lapangan terbang untuk menunaikan solat fardu.

"Masa ni kami dah nak balik Malaysia, flight waktu malam. Jadi sempatlah Hana dan yang lain solat jamak dan qasar untuk Maghrib dan Isyak. Lapangan terbang ni tak ada ruang khas atau surau untuk kami solat.

"Jadi kami solat di tepi-tepi kawasan airport sahaja. Waktu kami nak solat dan tengah bentangkan sejadah, tanpa disangka ada seorang kanak-kanak yang bukan Islam cuba tiru cara kami hamparkan sejadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka boleh solat Jumaat di KLIA! ‘Rooftop’ diubah suai jadi ruang solat... Lelaki ini tunjuk laluan supaya tak sesat

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Tinggi ilmu kau dik” - Budak dikesan solat dalam laut bergelora, risau juga hajat nak ‘healing jadi hilang’

"Tapi dia gantikan sejadah dengan tuala yang dipinjam daripada ibunya. Masa tu saya agak risau kalau ibu anak kecil ini marah kerana anaknya mengikut perbuatan kami," kata Hana menceritakan detik kejadian.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku apabila ibu kanak-kanak itu berterima kasih kepada Hana dan rakan-rakannya.

"Ibu anak kecil itu datang kepada Hana dan kawan, kemudian dia cakap, terima kasih sebab tunjukkan contoh teladan yang baik iaitu sebagai seorang Muslim yang patuh pada suruhan agama.

Sesungguhnya mereka yang bukan Islam akan menilai melalui perbuatan kita.

NORAZAHANA ABDULLAH

"Anak kecil perlu tahu perkara sebegini, betapa penting hidup berlandaskan agama. Lebih kurang begitu la ayat si ibu tu, orangnya cantik, masih muda dan berambut perang.

"Masa dengar tu dah meremang bulu roma, sebak rasa, sesungguhnya mereka yang bukan Islam akan menilai melalui perbuatan kita.

"Ayuh kita jadi Muslim atau Muslimah yang sejati dengan menunjukkan contoh yang baik," ujar Hana yang merupakan seorang pensyarah.

Bercerita lanjut kepada mStar, Hana mengakui adalah sangat penting untuk dirinya menjaga kehormatan diri sebagai seorang wanita terutamanya ketika di negara orang.

Hana bersama rakan-rakannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

"Alhamdulillah setakat ni saya dah mengembara ke beberapa negara Barat. Sepanjang saya travel ini, kebanyakan mereka yang bukan Islam selalu tertarik dengan pakaian sopan seperti hijab yang digayakan wanita Muslim.

"Saya rasa, bila mana kita berpakaian sopan serta menutup aurat dengan baik, kita akan lebih dihormati sebagai seorang wanita. Sebab itu, ke mana saja kita pergi, kena jaga jati diri kita sebagai seorang yang beragama Islam.

"Caranya dengan tunjukkan gaya hidup dan sisi baik orang Islam itu sendiri. Tetaplah berusaha untuk menutup aurat dan menjaga solat walau di mana sahaja kita berada.

"Dan yang paling penting, jaga akhlak kita, kebersihan diri dan tutur kata," kata Hana memberikan pesanan.

Sebahagian komen warga maya.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya berkongsikan pengalaman sama tentang gerak-geri mereka diperhatikan ketika sedang menunaikan solat di luar negara.

"Saya pernah solat di kawasan terbuka di Jepun, ramai orang sana yang duduk tengok saya, saya tak kisah pun. Apa yang saya lagi takut adalah meninggalkan solat walau satu waktu.

"Pengalaman sama juga solat di airport Paris, Perancis, ramai yang tengok dengan pelik, tapi Alhamdulillah dipermudahkan urusan.

"Antara hikmah bermusafir, sebab tu dalam diri kita ni kena bawa Islam ke mana-mana," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain