suria

Menggeletar dengar Janna Nick ‘bersumpah’ depan makam Rasulullah... Ustazah Asma’ kecewa sikap tak sensitif produksi ‘Surat Dari Tuhan’

Ustazah Asma' menegur dialog yang dilontarkan Janna Nick dalam drama.

"MASA tengok, tangan saya ketar," demikian reaksi pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun ketika mengulas mengenai dialog sebuah drama yang didakwa amat keterlaluan.

Menerusi sedutan TikTok live yang dimuat naik di Instagram dan Facebook, Ustazah Asma' mencuri perhatian warga maya gara-gara teguran yang disuarakan terhadap satu adegan dalam sebuah drama baharu yang kini ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta.

Difahamkan, beliau merujuk kepada adegan antara pelakon Janna Nick dan Sheila Mambo dalam drama Surat Dari Tuhan yang dilakonkan dalam sebuah bilik hotel berhampiran Masjid Nabawi.

Dialog yang dilontarkan ialah: "Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makam Rasulullah ni aku cakap depan muka kau... kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat Tanah Haram ni kau mampus!".

Tegas Ustazah Asma', pihak produksi tidak sewajarnya mengaitkan makam Rasulullah lebih-lebih lagi dialog yang dilontarkan mengandungi perkataan yang sama sekali tidak sesuai.

Lebih dikesalkan tambahnya, babak tersebut dipercayai dilakonkan di Tanah Suci berhampiran dengan Masjid Nabawi di Madinah.

pic new

Adegan sebuah drama yang mencetuskan kontroversi kerana mengaitkan makam Rasulullah.

"Beberapa kali saya tengok dan minta team untuk tuliskan balik dialog yang dilafazkan.

"Orang awam pun dah tegur... kebanyakannya hampir 98 peratus tak bersetuju dengan dialog tersebut. Saya dapat maklumat, ia bukanlah background... memang lakonan itu dibuat di sana.

"Walaupun dia tak sebut 'aku bersumpah' tapi dia menyebut tu dengan tangannya menunjukkan kepada Masjid Nabawi. Sebut dan tunjuk makam Rasulullah, 'kau akan mampus'.

"Ya Allah, macam mana boleh terfikir nak buat skrip macam ni, menggunakan makam nabi," tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustazah Asma Harun sekali lagi ‘sound’ penggiat seni, minta henti program maksiat - “Kasihanilah diri sendiri, kita semua bakal mati”

ARTIKEL BERKAITAN: Tetap subahat, Asma' Harun kesal pelakon pandang ringan isu babak panas... Filem ‘Pulau’ wajar dibatalkan

Tambah Ustazah Asma', dialog sedemikian tidak layak untuk digunakan atas apa jua alasan meskipun ia adalah berdasarkan kisah benar.

"Apa pun, tidak layak dan tidak wajar perkataan seperti ini dijadikan dialog.

"Sedangkan kita diajar untuk menjaga lidah, menjaga akhlak, jaga perkataan di Tanah Suci. Di mana etika apabila buat lakonan di Tanah Suci? Tak rasa bersalah ke apabila nak rakam babak tu?

Ya Allah, macam mana boleh terfikir nak buat skrip macam ni, menggunakan makam nabi.

USTAZAH ASMA' HARUN

"Apabila pelakon diberi skrip seperti ini, janganlah kita seolahnya dijerut. Kita ada hak untuk bersuara.

"Saya dah buat jelas sangat teguran itu... Nampaknya tak ada respons apa-apa daripada mereka (stesen televisyen)," ujarnya lagi.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen turut menyokong tindakan pendakwah bebas itu melontarkan teguran untuk dijadikan pengajaran bersama.

komen asma

Sebahagian daripada komen netizen yang turut sependapat dengan Ustazah Asma'.

"Kita betul-betul di akhir zaman... umat Islam tidak hiraukan kesucian makam Rasulullah.

"Allahuakbar... nak pasang niat pun dah perlu berhati-hati. Inikan pula nak sebut perkataan begitu.

"Teruskan menegur perkara yang batil, ustazah," demikian komen netizen.

Surat Dari Tuhan arahan Pali Yahya, dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Shukri Yahaya, Janna Nick dan Ummi Nazeera.

Siri ini memulakan tayangan di Slot Samarinda, TV3 bermula 30 Oktober.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain