BERKAT sebuah kesabaran disertai doa dan ikhtiar, pasangan ini dianugerahkan dengan kehadiran seorang puteri selepas hampir 16 tahun menunggu. Ternyata ia bukanlah satu tempoh yang singkat, namun tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah. Berkongsi cerita dengan mStar, Farihah Baihaki berkata, dia dan suami, Mohd Noor Razwan tidak henti-henti memanjatkan doa meskipun pernah merasakan harapan untuk menimang cahaya agak tipis memandangkan faktor usia yang semakin meningkat. "Sedangkan pasangan yang tiga atau empat tahun berkahwin pun orang dah bertanya tentang anak, inikan kami yang 16 tahun menunggu. Tipulah jika nak kata saya okay apabila sentuh soal zuriat. "Apabila nampak pasangan yang ada baby walaupun baru berkahwin, sayu saja rasa. Tapi suami kata, jangan risau... kalau ada rezeki Allah pasti akan bagi," kata wanita berusia 40 tahun ini. Menyingkap kembali perjalanan sebagai pejuang dua garis, Farihah berkata dia dan suami banyak berikhtiar secara tradisional dan mengamalkan petua terutama daripada segi pemakanan. "Antaranya berurut dan cuba petua-petua. Apa saja petua yang orang kongsi, kami cuba. Ada yang cadangkan untuk pergi check kesuburan apabila dah lima tahun tunggu. Farihah dan suami dianugerahkan dengan cahaya mata sulung selepas menanti selama 16 tahun. "Bukan tak nak buat, tapi suami kata, takut nanti kami makin down apabila dapat tahu. Katanya, kalau ada rezeki, insya-Allah ada. "Selain suami yang sangat sabar dan memahami, kami bersyukur kerana keluarga tak pernah bangkitkan... hanya orang luar yang bertanya," ujarnya yang menetap di Sungai Kandis, Selangor ini. ARTIKEL BERKAITAN: Suami fikir panjang, tak terima bulat-bulat restu isteri suruh poligami - “Perempuan lain pun belum tentu boleh dapat anak” ARTIKEL BERKAITAN: Tengah leka tatap wajah baby kawan, tiba-tiba isteri hulur kit ujian kehamilan... Suami tak percaya nampak 2 garis! Masih mengingati dengan jelas detik 'ajaib' ketika mendapat tahu sudah hamil, Farihah berkata semuanya bermula apabila seorang tukang urut dapat mengesan 'sesuatu' pada rahimnya. "Saya tak sedap badan jadi suami cadangkan untuk berurut. Mungkin masuk angin. Apabila tukang urut nak mengurut, dia kata rahim bengkak dan tak berani nak teruskan. Suami tengok keputusan scan tu, tergamam. Hanya air mata saja boleh gambarkan perasaan itu. FARIHAH BAIHAKI "Dia beritahu sama ada ia disebabkan mengandung ataupun rahim ada masalah... jadi dia suruh check. Petang itu juga suami beli alat ujian kehamilan. Dua kali test, hasilnya positif. "Rasa tak percaya dan kami ke klinik. Apabila doktor scan, rupanya saya dah mengandung dua bulan. Suami tengok keputusan scan tu, tergamam. Hanya air mata saja boleh gambarkan perasaan itu," ujarnya lagi. Bersyukur kerana proses kehamilannya berjalan dengan lancar, akhirnya zuriat yang dinanti-nantikan pasangan ini selamat dilahirkan pada tanggal 7 Jun lalu. Kini puteri mereka yang diberi nama Syifaa Bahirah sudahpun berusia empat bulan setengah. Syifaa Bahirah kini mengajak usia empat bulan setengah. "Paling menggembirakan, Syifaa dilahirkan pada bulan yang sama dengan saya dan suami. Insya-Allah tahun depan apabila ulang tahun kelahirannya yang pertama, bolehlah sambut bertiga," katanya lagi. Tidak menyangka video yang dikongsikan di TikTok meraih melebihi 77,000 jumlah tontonan, Farihah mengakui berasa terharu dan sebak apabila membaca komen warga maya yang rata-ratanya tumpang gembira di atas kelahiran cahaya mata sulungnya. "Selain itu banyak juga komen daripada pasangan yang masih lagi TTC (trying to conceive) berkongsi kisah masing-masing. Memang sebab sebab kita pernah melaluinya. "Kepada pasangan TTC, semoga sentiasa kuat, sabar dan reda. Percayalah kepada rezeki. Kepada para suami, hargailah isteri masing-masing, sentiasa bersabar saling menyokong antara satu sama lain," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube