suria

Suami angkat kaki lepas hidup senang, tinggal isteri besarkan 3 anak sendirian... Ibu tunggal syukur bisnes nasi lemak terus bertahan

Ema berpisah dengan bekas suami pada 2020.

SETIAP ikatan yang terjalin pasti ada pengakhiran.

Sama ada berakhir dengan cara baik atau sebaliknya, mereka yang terlibat perlu kembali bangkit dan meneruskan kehidupan.

Begitulah prinsip yang dipegang seorang wanita ini apabila hubungan yang mula terjalin pada 2010 hanya bertahan selama 10 tahun.

Berkongsi kisah di TikTok, wanita yang ingin dikenali sebagai Ema berkata, dia mula mengenali bekas suami pada 2010.

Gambar kenangan semasa pernikahan tang dikongsikan. -YikTok Ema Nasi Lwmak.

Gambar kenangan semasa pernikahan yang dikongsikan. -TikTok Ema Nasi Lemak.

Sejak daripada itu bermulalah perniagaan nasi lemak yang diusahakan bersama lelaki pilihannya.

Malah hasil jualan nasi lemak itulah yang digunakan untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

“Berniaga nasi lemak tepi jalan untuk kahwin.

“Kami berniaga daripada tahun 2011 hingga 2012... kumpul duit untuk bertunang tahun depannya ya,” ujarnya yang kemudian berjaya mengadakan majlis pertunangan pada 2013.

ARTIKEL BERKAITAN: Payahnya hidup ibu tunggal, terpaksa ulang-alik Melaka dan Putrajaya demi cari nafkah... Hanya mampu jadi ‘emak hujung minggu’

ARTIKEL BERKAITAN: Dikhianati cinta ‘Omi’, ibu tunggal betul-betul kena ‘sidai’ tengah panas... “Rasanya lelaki tu nampak dari jauh, mungkin dia tak minat”

Bahkan hasil daripada perniagaan tersebut jugalah yang digunakannya untuk melangsungkan pernikahan pada 2014.

Imbas wanita itu lagi, gambarnya ketika sedang hamil anak pertama pernah tular di beberapa platform media sosial sehingga dikongsikan oleh portal berita.

“Gambar saya tengah sarat ketika di JPO (Johor Premium Outlet) tular dan masuk Facebook Page.

“Bekas suami juga pernah tular sehingga ditemubual akhbar tempatan termasuk radio dan Majalah 3. Media sosial lain turut kongsikan juga,” tambahnya.

Saya membesarkan anak-anak dengan berniaga nasi lemak dari dulu sehingga sekarang.

EMA

Menerusi hantaran yang dibuat juga, wanita ini berkongsi gambar kenangan bersama bekas suami ketika mereka baru menimang seorang cahaya mata.

Pernah hamil kali kedua, dia menyatakan kandungan yang disahkan sebagai bayi lelaki, gugur pada usia 26 minggu.

Pun begitu, tidak lama kemudian, dia kembali hamil.

“Tak lama kemudian, saya hamil lagi dan dapatlah Muhammad Ali. Pada masa sama dapat beli kereta pacuan empat roda jenis Nissan,” ujarnya.

Ema tabah bersama tiga anaknya.

Ema tabah bersama tiga anaknya.

Bukan itu sahaja, dia juga berjaya membeli sebuah rumah di bawah skim Selangorku dan menyifatkannya sebagai rezeki anak-anak.

Namun ia telah dijual selepas berpisah kerana merupakan harta sepencarian.

Meskipun bermula dari bawah bersama-sama dengan bekas suami sehingga memiliki sedikit kemewahan, jodoh mereka tidak berkekalan.

Dia akhirnya bercerai pada tahun 2020 dan kini membesarkan tiga cahaya mata sebagai ibu tunggal yang berniaga nasi lemak.

“Saya membesarkan anak-anak dengan berniaga nasi lemak dari dulu sehingga sekarang,” katanya.

Menerusi ruangan kapsyen, Ema menyifatkan perjalanan hidupnya penuh liku dan onak duri sejak dahulu sehingga hari ini.

348814855_728408168970850_9211874190908931271_n

Nasi lemak jualan Ema.

Pada masa sama dia turut menitipkan nasihat supaya setiap yang berkahwin untuk menghargai pengorbanan pasangan yang ada semasa susah dan senang.

Malah ketika dihubungi mStar, dia menyatakan perkongsian tersebut bertujuan memberi semangat kepada ibu-ibu tunggal yang senasib dengannya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memberi sokongan kepada Ema dan memuji ketabahannya menyusuri dugaan hidup.

“Inilah perempuan, kalau dah berpisah dia tetap besarkan anak sendiri. Semoga awak dilimpahkan rezeki dan diberikan kesihatan selalu.

“Bertapa redanya akak, semoga kehidupan akak lebih baik selepas segala dugaan.

“Semoga mendapat rezeki seluas langit di atas dan melimpah sebanyak air di lautan. Semoga kekal sihat untuk sis dan anak-anak,” ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain