SEORANG pemandu e-hailing dipertemukan dengan penumpang terakhirnya sebelum mahu berhenti berehat kerana waktu Maghrib. Tiga penumpangnya itu bukan rakyat tempatan, dan destinasi yang ingin dituju juga bukan seperti kebiasaan kerana mereka mahu ke sebuah kedai durian. “Ni penumpang terakhir sebelum aku off aplikasi untuk Maghrib. Suami isteri dan seorang anak perempuan dari Indonesia. Mereka bercuti di Malaysia sehingga Ahad ini. “Tujuan utama mereka datang ke Malaysia semata-mata nak cari durian Musang King,” tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook. Pelancong dari Indonesia datang ke Malaysia mahu merasai durian Musang King. -Gambar hiasan IZZRAFIQ ALIAS/The Star Pemandu wanita itu, Fatin Izzati Keflee berkata, dia mengambil pelancong tiga beranak itu dari Stesen Komuter Kepong di Kuala Lumpur. Mesra disapa Fatin, dia dimaklumkan antara sebab utama percutian mereka ke Malaysia kerana mahu mencuba durian Musang King. “Mereka pin (tetap lokasi) satu kedai durian di Kepong. Mereka kata di Indonesia hanya banyak durian biasa. Anak mereka berusia tujuh tahun minat siri animasi Upin & Ipin dan tahu tentang Musang King dalam cerita tu. “Saya terkejut ada pelancong sanggup datang jauh-jauh semata-mata kerana durian. Tapi nasib tak baik, kedai durian tutup... nampak sangat mereka kecewa,” katanya ketika dihubungi mStar. Fatin menerima tip tambahan daripada penumpang berkenaan. Wanita berusia 34 itu bagaimanapun tidak sampai hati hendak menurunkan penumpang berkenaan di situ memadangkan kedai durian tersebut tutup. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab cemas, penumpang di sebelah tiba-tiba lompat ke seat belakang - “Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar” ARTIKEL BERKAITAN: Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu, “Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami” “Masa tu kira-kira pukul 7.30 malam. Dengan keadaan hujan dan gelap. Mereka minta tolong saya untuk bawa mereka ke mana-mana kedai durian berhampiran. “Saya hantar mereka ke kedai durian berhampiran dengan stesen minyak, tempat saya nak berehat. Saya tak letak sebarang caj tambahan, tapi mereka menghulurkan sebanyak RM12 sebagai tanda terima kasih kerana membantu mereka,” ujar anak kelahiran Selangor itu. Selain tip, Fatin turut menerima pujian daripada penumpang. Namun sewaktu tiba di stesen minyak untuk berehat, dia yang berkhidmat dengan Grab sejak empat bulan lalu tiba-tiba menyedari bunyi notifikasi daripada telefon bimbit di dalam kereta. Menurut Fatin, dia pada mulanya kehairanan kerana bunyi notifikasi itu sama seperti telefonnya tapi ia ditetapkan dengan mod silent (senyap) ketika bekerja. Tak fikir pun pasal tip, saya lakukan atas dasar tanggungjawab. FATIN IZZATI KEFLEE “Saya terlupa yang penumpang tu pinjam charger saya untuk mengecas telefon dia. Barulah saya perasan telefon dia tertinggal di dalam kereta, mungkin dia lupa. “Saya kemudian pergi balik ke kedai durian tu untuk hantar telefon. Berkali-kali suami isteri tu cakap terima kasih,” katanya sambil menambah keluarga itu juga seronok dapat menikmati durian seperti yang dihajati. Fatin (kiri) bersama anak sulung. Menyifatkan penumpang dari Indonesia yang dikenali sebagai Pak Iwan bersama isteri dan anaknya begitu baik dan peramah, ibu tunggal kepada tiga anak itu sekali lagi dikejutkan dengan sesuatu. “Saya masuk kereta balik, buka aplikasi. Ada tip RM50 masuk cash wallet saya. Dia siap komen kat wall. Ya Allah, banyaknya tip bagi termasuk yang cash tu, Alhamdulillah. “Tak fikir pun pasal tip, saya lakukan atas dasar tanggungjawab. Hari tu sebenarnya memang job saya agak perlahan dan saya fikir nak balik lambat untuk cukupkan target harian. “Tapi Alhamdulillah, dengan tip sebanyak itu, saya boleh balik awal sikit. Saya ingat pesan ibu, tak rugi buat baik dengan orang. Terima kasih juga kepada Pak Iwan sekeluarga, semoga urusan kalian berjalan lancar,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube