NIAT asal nak buat content mengikut trend media sosial, namun tanpa disangka ia bertukar menjadi drama air mata. Begitulah kejutan yang dilakukan seorang anak terhadap ibu bapanya menerusi pemberian sebuah kereta baharu. Hanya linangan air mata membasahi pipi ibu bapa sebaik menerima kunci kereta, satu pemberian yang tidak disangka-sangka. View this post on Instagram A post shared by HIJABSTYLIST & MUA & STYLIST (@kakpaten_kp) Berkongsi cerita, Fatin Farina Nazlan berkata, kejutan untuk ibu bapanya itu dibuat dekat sebuah restoran di Ipoh, Perak pada Ahad lalu. Lebih dikenali sebagai Kak Paten, dia mula berhasrat untuk menghadiahkan kereta baharu sejak ibunya sering mengalami masalah menggunakan kereta Kancil terpakai dua tahun lalu. “Mak gunakan kereta Kancil itu untuk cari rezeki dan bergerak ke mana-mana. Kereta second hand kan, selalu ada masalah. “Mak mengadu kereta tiba-tiba ‘mati’ tengah jalan atau di persimpangan lampu isyarat. Mak teringin nak ada kereta baharu tapi tak mampu bayar bulan-bulan,” katanya kepada mStar. Kereta terpakai ibu sering mengalami masalah. Mengulas lanjut, wanita berusia 34 tahun itu meluahkan keluarganya bukan orang senang, dan dia dibesarkan dengan rezeki bapa yang sebelum ini merupakan pemandu lori. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Axia tak dikenali ‘block’ pagar rumah, rupanya ‘kerja’ anak sendiri... buat kejutan sampai mak ayah menangis ARTIKEL BERKAITAN: Bapa bersuara teringin kereta continental, 5 beradik tak duduk diam... Tiba-tiba Mercedes C200 muncul depan rumah! “Ayah kerja bawa lori. Dengan lori 12 tayar itulah, kami adik-beradik dibawa mak ayah ke mana-mana termasuk balik beraya di kampung. “Kadang-kadang kami sekeluarga balik kampung menaiki bas atau tumpang ibu saudara. Mak ayah belum pernah merasa kereta baharu kecuali lori tu dan kereta Kancil terpakai,” ujarnya yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Pelukan seorang anak ketika membuat kejutan buat ibu bapanya. Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, bapanya kini bertugas sebagai pengawal keselamatan dan menggunakan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja. “Ayah tak pernah mengadu. Tapi mak selalu bercerita kasihan tengok ayah pergi kerja berhujan berpanas naik motor. Pernah ada insiden tayar motor pecah tengah jalan. “Gaji ayah tak cukup nak beli kereta baharu. Jadi sejak mak pakai kereta Kancil lagi, saya dah berniat untuk menyenangkan mak ayah sekiranya ada rezeki lebih,” katanya mengenai ibu bapanya masing-masing berusia 58 dan 63 tahun. Kak Paten (kanan) bersama keluarga. Jurusolek profesional (MUA) itu bersyukur kerana rezekinya bertambah, sekali gus membolehkan dia untuk membeli kereta Proton Persona buat ibu bapanya. Mengimbas kembali, dia turut terharu dengan pengorbanan ibunya yang sanggup menggadaikan cincin demi membantu mengurangakan beban kewangannya bersama suami suatu ketika dulu. Tak semestinya perlu bermewah tapi jangan pernah berkira. FATIN FARINA NAZLAN “Masa tu saya dah kahwin... saya dan suami hidup susah di Kuala Lumpur. Suami belum gaji dan saya pula tak ada job. Mak sanggup gadaikan cincin untuk bantu kami. “Ada rezeki lebih, sekarang saya pula belikan barang kemas untuk mak. Saya memang suka menggembirakan keluarga terutama mak ayah,” ujarnya yang dikurniakan tiga cahaya mata. Kak Paten (tengah) mahu membahagiakan ibu bapanya. Walaupun dilanda kesusahan, Kak Paten yang juga penata gaya hijab dan fesyen itu sentiasa berpegang dengan pesanan ibunya. “Mak selalu pesan kalau ada orang dengki dan cemburu dengan kita, jangan balas. Biar orang buat kita, jangan kita buat yang tak baik pada orang lain. “Sebagai anak-anak, senangkan mak ayah selagi ada. Kalau anak-anak tak ada duit, tak semestinya perlu bermewah tapi jangan pernah berkira. “Kena percaya rezeki itu akan datang secara tiba-tiba kalau kita menyenangkan mak ayah Insya-Allah,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube