MALAYSIA sedang hangat memperkatakan tentang pempengaruh media sosial yang membuat kejutan dengan berkahwin dua. Topik tersebut menjadi bualan masyarakat terutama dalam kalangan kaum isteri dan golongan suami tentunya menerima tempiasnya. Pada masa sama, terdapat juga suami isteri yang berkongsi cerita mengenai rumah tangga mereka termasuklah lelaki ini yang bercerita bagaimana dirinya berjaya dan bahagia kerana seorang wanita. “Wanita pertama dalam hidup saya adalah dia (isteri). Berdepan dengannya, saya ikat tepi ego diri, dan saya cuba membuka hati dan menadah telinga buatnya. “Bila ego direndahkan, baru lah kita boleh belajar dan membaiki diri. Bila kita membuka hati, sekali pun pedih dan pahit, itu semua adalah ubat untuk menguatkan hati kembali. “Bila menadah telinga, setiap bebelan dan leteran darinya menjadi didikan dan panduan untuk saya menjadi suami yang lebih baik lagi,” tulis Muhammad Abu Hurairah Roslan menerusi satu perkongsian di Facebook. Abu Hurairah (kanan) dan isteri mendirikan rumah tangga sejak 2006. Bercakap kepada mStar, Muhammad Abu Hurairah, 38, yang juga personaliti media sosial menyifatkan isterinya, Fatimah Martin, 35, sebagai seorang wanita yang sangat penyabar dan sering menenangkan dirinya. “Isteri juga seorang yang tegas dan kuat bekerja. Dia selalu percaya dengan apa yang saya buat, dan bila saya salah, dia selalu kata bukan salah awak dan saya akan sokong apa saja yang awak lakukan,” katanya yang mesra disapa sebagai Ustaz Abu. Mendirikan rumah tangga pada 2006, Abu Hurairah yang juga dikenali sebagai Tat Abu mengakui banyak hal agama ditunjuk ajar oleh isterinya ketika di awal perkahwinan. ARTIKEL BERKAITAN: “Setia lebih mahal daripada Tesla” - Teruk diuji di awal perkahwinan, Dr Samhan tiada keraguan ‘isteri untuk dihargai dan dicintai’ ARTIKEL BERKAITAN: Staf nak bermadu dengan bos, tak malu jadi penyondol... Aisyah Hijanah ikhtiar selamatkan rumah tangga, bawa Alif Teega berubat “Bacaan al-Quran saya kurang baik. Malah setelah berkahwin dengannya, dia yang ajarkan saya hafal doa qunut dan hafal bacaan dalam solat yang betul. “Saya tak segan sebab saya merasakan yang isteri adalah seperti tongkat bagi si buta. Di rumah dia adalah isteri, di jalanan dia kawan dan di waktu buntu dia penunjuk jalan,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu. Abu Hurairah dan isteri dikurniakan lima cahaya mata perempuan. Sebagai suami, Abu Hurairah yang mengusahakan kedai komputer di Plaza Imbi, Kuala Lumpur turut mendidik isterinya dan sentiasa memberi peringatan. “Saya mengingatkan ketika dia lemah, bahawa yang menguatkannya adalah Allah. Saya juga sering mendidiknya supaya sentiasa menjaga solat dan melakukan solat berjemaah. “Saya meletakkan dia paling atas dalam hidup ini. Dia adalah wanita kesayangan Allah dan disayangi saya sampai saya hidup di hujung nyawa nanti. “Percayalah, kita akan menjadi seorang lelaki yang baik jika kita ada seorang wanita yang baik... walaupun kita tahu nak mendidik, nak menghadapi, nak melayan tidak mudah kerana dia adalah perempuan, namun berkat doa dan sabar, Tuhan mudahkan kita melaluinya,” ujarnya sambil menambah isterinya merupakan pemilik sebuah taska. Isteri dan anak-anak penyeri hidup Abu Hurairah. Mengulas lanjut, Abu Hurairah menghargai isteri umpama mensyukuri nikmat Allah yang dikurniakan kepada hambaNya. “Isteri yang sekali pun hanya kita yang tahu siapakah dia, tapi takkan ada wanita lain di luar daerah keluarga yang mampu bahagiakan kita seperti isteri kita. Di rumah dia adalah isteri, di jalanan dia kawan dan di waktu buntu dia penunjuk jalan MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN “Andai ada pahala dan pandangan Allah dalam setiap yang saya lakukan di dalam kehidupan atau perjuangan, semuanya untuknya. “Dia tak like status saya (di laman sosial) kerana dia berjuang 24 jam di syurga taskanya. Dia tak like status saya kerana dia kenal saya dan lebih faham setiap tulisan saya,” kata Abu Hurairah yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di Facebook. Abu Hurairah hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Malah katanya, isterinya juga sudah ‘like’ dirinya selama 17 tahun sejak berkahwin dan menjadi antara insan yang pertama mengikuti dirinya dari ratusan ribu pengikutnya hari ini. “Isteri itu, kurniaan dan anugerah yang Allah bagi hanya sekali. Jagalah isteri kita ini kerana satu hari andai kita hilang dia, kita akan merasa kehilangan yang amat memedihkan satu hari nanti. “Terima kasih Tuhan yang memberikan isteri untuk mendidik diri dan memberikan makna erti seorang ayah dan suami,” katanya lagi. Abu Hurairah dan isteri dikurniakan lima cahaya mata perempuan, iaitu Alifatun Nadirah, 16, Alieya Muyassarah, 10, Arwaa Nurhuwaidah, 8, Inaarah Mikhayla, 4, dan Aneera Medeena berusia enam bulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube