MUSIM konvokesyen tiba lagi. Selain menjunjung kejayaan di puncak menara gading, konvokesyen juga adalah masanya untuk meraikan pengorbanan ibu bapa dan orang yang tersayang. Bagi para graduan, sudah menjadi satu kemestian untuk bergambar kenang-kenangan di studio ataupun persekitaran luar (outdoor) dengan mengenakan jubah graduasi, mortar board sambil memegang segulung skrol. Graduan ini bergambar seorang diri sempena konvokesyennya. Namun tidak semua berpeluang untuk merasai momen berharga tersebut atas beberapa faktor antaranya kekangan kewangan atau sudah ketiadaan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Melalui satu video tular di TikTok, kelihatan seorang graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bergambar konvokesyen seorang diri di tengah padang rumput. Menerusi video tersebut, dia diperhatikan berjalan mundar-mandir untuk melaraskan posisi kamera dipercayai diletakkan dalam mod timer, sebelum berpatah balik ke belakang bagi memasuki frame gambar. ARTIKEL BERKAITAN: Terpaling konvo! Graduan USM rakam gambar pra-konvokesyen di konsert Coldplay, tak sia-sia sumbat jubah dalam beg ARTIKEL BERKAITAN: Wajahnya manis, nama pun sedap... Queen Sayang gamatkan majlis konvo UiTM, definisi sebenar ‘beauty with brain’ Graduan tersebut dilihat melakukan semuanya seorang diri tanpa bantuan daripada sesiapa sambil memegang sejambak bunga yang tidak diketahui gerangan pengirimnya. Gelagat graduan itu menyebabkan ramai bersimpati dan turut mencuri tumpuan jurufoto sebuah studio fotografi dikenali sebagai Pantas Photo Studio yang beroperasi di Changlun, Kedah. Melalui akaun TikTok mereka, Pantas Studio meminta netizen untuk membantu menjejaki graduan tersebut kerana mereka bermurah hati hendak menawarkan pakej penggambaran konvokesyen secara percuma. Berbunga hati ini apabila tengok mimpi jadi realiti untuk graduan dan keluarganya. ZAIDI DESA "Sesiapa yang kenal graduan UniMAP ni, kami nak jemput dia ke studio... kami mahu hadiahkan photoshoot percuma untuk dia," tulis pemilik Pantas Studio yang dikenali sebagai Zaidi Desa. Bercerita lanjut kepada mStar, Zaidi berkata setakat ini graduan tersebut masih belum memunculkan diri untuk menerima tawaran mereka. "Kami semak ruangan komen daripada semasa ke semasa untuk tengok kalau ada warga maya yang tag tuan empunya badan agar kami hubungi. "Tapi masih belum ada setakat masa sekarang, tak mengapa, kami akan terus tunggu dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan graduan tersebut," kata Zaidi. Zaidi Desa sedia untuk memberikan perkhidmatan fotografi yang berkualiti kepada graduan terbabit. Tambahnya lagi, dia sedar bahawa konvokesyen merupakan satu acara istimewa bagi setiap graduan dan kenangan manis itu pastinya mahu diabadikan selamanya. "Pantas Studio mula buka kedai pada tahun 2008, selama beberapa tahun tu sampai ke hari ni, kami dah berdepan dengan pelbagai client daripada bermacam latar belakang. "Pelanggan yang datang tak akan merayu cakap mereka susah, tapi kami boleh baca terutamanya pada riak wajah ibu bapa, kami tahu mereka nak bergambar sekali untuk konvokesyen anak tapi kurang berkemampuan. "Apabila nampak keadaan begini, kami akan berikan diskaun atau terus hadiahkan pakej penggambaran percuma kepada mereka. Berbunga hati ini apabila tengok mimpi jadi realiti untuk graduan dan keluarganya. Antara sampel penggambaran konvokesyen yang dihasilkan oleh Pantas Photo Studio. "Sudah beberapa kali terjadi dalam tahun-tahun yang lalu dan kami gembira dapat membantu," ujar Zaidi berbesar hati. Menjengah ke ruangan komen, warga maya memberikan pendapat yang pelbagai tentang situasi itu. Selain bersimpati, tak kurang juga yang mengandaikan graduan berkenaan adalah seorang introvert dan lebih gemar melakukan banyak hal bersendirian. "Ini yang rasa malas nak buat benda seorang diri sebab nanti mesti ada yang kasihan, padahal kita okay je. "Saya dulu konvokesyen pun pergi sendiri, apabila ambil gambar saya pinjam bunga kawan. Nak bawa keluarga tak mampu. Lepas selesai semua, terus start enjin kereta balik rumah. "Mungkin itu graduan warga asing, ibu bapa dia duduk jauh nak datang," kata warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube