KHABAR duka mengenai pemergian guru yang disenangi ramai, Cikgu Ery pada Rabu mengejutkan banyak pihak. Kehilangannya turut dirasai seluruh kakitangan dan murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi di Klang, Selangor iaitu tempat Allahyarham Cikgu Ery berkhidmat. Ini termasuk puluhan ribu pengikutnya di TikTok yang selama ini sentiasa mengikuti rakaman video arwah secara langsung mengetuai senamrobik dan zumba. Selain membuat live mengenai aktiviti senaman, Cikgu Ery atau nama sebenarnya Mohd Khariri Mohamad Ramli juga sering bersiaran langsung sambil membaca al-Quran. Cikgu Ery berhijrah dari dunia mak nyah. Malah video terakhir yang dikongsikan di TikTok milik arwah juga menunjukkan dia sedang memperdengarkan bacaan daripada surah al-Baqarah ayat 203 hingga 205. "Rumah ngaji di Dewan Orang Ramai Kg Idaman. Disemak bacaan oleh tenaga pengajar. Masih belajar dan terus belajar," tulisnya dalam hantaran terakhir kira-kira seminggu lalu. Dalam perkongsian berasingan, Cikgu Ery yang berasal dari Ipoh, Perak turut memaklumkan segala urusan berjalan lancar sepanjang menghadiri kelas bacaan al-Quran di dewan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu Ery meninggal dunia, rebah ketika senamrobik ARTIKEL BERKAITAN: Suara dan wajah macam perempuan tapi berihram depan Kaabah... Ramai keliru identiti individu ini, imej Kpop nampak feminin Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji kelunakan suara Cikgu Ery membaca al-Quran. Malah mereka turut mendoakan Cikgu Ery dan berkongsi mengenai keperibadian arwah. "MasyaAllah, sedapnya cikgu baca al-Quran. Moga cikgu ditempatkan di syurga tertinggi. "Insan yang sangat saya kenali dan sangat baik. Moga cikgu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Syurga buatmu cikgu," demikian antara komen netizen. Cikgu Ery sering mengendalikan aktiviti senaman. Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Tinggi, Adlin Amir Hamzah menyifatkan Cikgu Ery sebagai seorang guru yang disenangi di sekolah. Malah katanya, guru subjek bahasa Melayu itu begitu dedikasi terhadap prestasi sekolah terutama kemajuan murid-murid. "Cikgu Ery seorang yang kreatif, dia menghias cantik kelasnya untuk kesenangan murid-muridnya belajar dengan lebih selesa. "Kali terakhir pihak kami (guru-guru) berhubung dengan arwah juga adalah berkaitan dengan pendidikan dan perkembangan murid-murid," katanya kepada mStar. Insan yang sangat baik... moga cikgu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. NETIZEN Menurut Adlin, Cikgu Ery yang berkhidmat di sekolah itu sejak 2019 pernah mengadu mengalami masalah sesak nafas. "Dia seorang yang aktif, sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti senaman di luar sekolah bersama kumpulannya. Dia merupakan guru sesi petang dan sepatutnya hadir mengajar pada petang ini. Tapi Allah lebih sayangkan Cikgu Ery," katanya lagi. Cikgu Ery ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci pada Disember 2022. Terdahulu, Adlin mengesahkan Cikgu Ery menghembuskan nafas terakhir pada pagi Rabu, dipercayai akibat serangan jantung. Menurutnya, arwah rebah ketika mengetuai aktiviti senaman bersama kumpulannya di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. mStar sebelum ini pernah melaporkan kisah Cikgu Ery mengenai penghijrahannya yang merupakan bekas mak nyah. Ketika itu Cikgu Ery turut berkongsi pengalamannya mengerjakan umrah pada Disember 2022 dan merupakan kali ketiga dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci sejak 2012. "Untuk umrah kali ini, ujiannya lagi dahsyat. Sebelum ini kes-kes yang melibatkan usahawan kosmetik dan pengkid, jadi tempias tu berlaku pada saya. "Setiap kali nak masuk (tempat), saya diperiksa. Iyalah, muka saya muka operate, body operate. Jadi ini 'tinggalan sejarah', saya bekas mak nyah. "Tapi saya bukannya pakai jubah perempuan, bukannya pakai mekap, bukannya pakai bra (cuma) wajah persis wanita dan suara seakan-akan wanita," katanya kepada mStar menerusi laporan pada 14 Disember 2022. Bacaan Yasin buat arwah Cikgu Ery di SK Bukit Tinggi. -Gambar FB SK Bukit Tinggi Tambah Cikgu Ery, sungguhpun berdepan ujian dia tetap positif kerana yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. "Saya sentiasa positif, apa yang berlaku sama ada baik atau buruk, ada hikmah di sebaliknya dan ujian itu sebagai satu nikmat. "Bagaimanapun umrah kali ketiga ini membuatkan saya lebih tenang walaupun menghadapi pelbagai kesulitan, cabaran dan ujian. Saya anggap ini sebagai satu nikmat. "Syurga Allah itu mahal. Jadi saya tidak pernah berputus asa dan saya ambil apa yang berlaku ini sebagai satu ibrah," kata Cikgu Ery yang merujuk ibrah sebagai pengajaran daripada apa yang berlaku dalam kehidupan sendiri seperti ujian dan musibah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube