suria

Makcik tak sanggup tinggal anak buah baru kematian bapa, buat kejutan bercuti ke Korea! Suruh cuba baju sejuk cuma helah

Momen Hayati membuat kejutan untuk Amsyar.

BERPURA-pura memberikan baju sejuk yang sudah tidak muat untuk dicuba, namun rupa-rupanya ia adalah helah yang direka oleh tiga wanita sebagai kejutan untuk anak saudara mereka.

Video yang dirakam saat kejutan tersebut dibuat ternyata mengundang rasa sebak warga maya apatah lagi apabila mengetahui kanak-kanak lelaki berkenaan merupakan anak yatim yang baru kehilangan bapa tersayang.

Berkongsi cerita dengan mStar, Hayati Ahmed berkata, dia bersama dua adik perempuannya sebelum ini sememangnya merancang untuk bercuti ke Korea Selatan sempena cuti persekolahan bersama keluarga masing-masing.

"Kami dah plan sejak beberapa bulan lalu untuk bercuti ke Korea Selatan, semuanya seramai lapan orang dan akan terbang pada 7 Disember.

"Ibu, ayah, abang sulung kami dan anak tunggalnya tak ikut serta. Sebab abang sulung sedang dalam proses recovery selepas kena potong kaki. Anak tunggalnya, Muhammad Afif Amsyar, 12, tak ikut sebab nak jaga papanya.

"Namun manusia hanya mampu merancang... abang sulung kami, Mohd Azuan Ariff meninggal dunia pada 29 November lalu kerana komplikasi diabetes.

korea 2

Hayati sudah menjaga Amsyar (dua,kiri) seperti anak sendiri sejak kecil.

"Kami tak dapat bayangkan kesunyian dan perasaan Amsyar... sudahlah baru kehilangan papa, kami pula tak ada di rumah nanti untuk tempoh seminggu kerana bercuti.

"Jadi saya dan adik-adik perempuan berpakat untuk bawa Amsyar sekali... bukan saja untuk gembirakan dia, tapi sebab kami dah jaga dia seperti anak sendiri," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buat 2 set bekal, bagi duit belanja lebih... Rupanya kirim satu untuk kawan sekolah anak - “Ibu dia dah meninggal dunia”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buat 2 set bekal, bagi duit belanja lebih... Rupanya kirim satu untuk kawan sekolah anak - “Ibu dia dah meninggal dunia”

Tambah Hayati, arwah abang sulungnya merupakan seorang bapa tunggal dan menetap bersama ibu dan ayahnya.

"Amsyar memang rapat dengan semua pakcik dan makcik-makcik dia sebab dia tinggal di rumah nenek dan datuknya sejak berusia enam tahun.

"Malah rumah tu memang meriah dan ibarat transit kami adik beradik. Amsyar pun rapat dengan sepupu-sepupunya terutama anak saya, Kimi. Beza umur mereka hanya setahun dan mereka belajar di sekolah yang sama.

"Anak saya pun gembira bila kami buat kejutan untuk bawa Amsyar sekali ke Korea," ujar wanita berusia 39 tahun ini lagi.

Amsyar akan kami sekeluarga pelihara selagi nafas dikandung badan. Jaga anak yatim ni pahalanya sangat besar.

HAYATI AHMED

Tidak menyangka video yang dikongsi di TikTok meraih lebih satu juta jumlah tontonan kurang dari 10 jam selepas dimuat naik, Hayati berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan tersebut di media sosial.

"Amsyar akan kami sekeluarga pelihara selagi nafas dikandung badan. Jaga anak yatim ni pahalanya sangat besar. Jadi selagi mana bergelar darah daging, jagalah darah daging kita sebaik-baiknya.

"Saya tak sangka video tersebut menyentuh hati ramai netizen. Sebak bila baca komen-komen mereka yang mendoakan keluarga kami dan juga Amsyar.

korea 1

Amsyar (kiri), anak sulung Hayati bersama datuk dan nenek mereka.

"Malah ada yang hantar mesej menerusi Direct Message (DM) mahu sampaikan sumbangan untuk Amsyar. Saya beritahu mereka, tujuan kongsi video tersebut langsung bukan untuk meminta-minta.

"Tapi mereka tetap nak beri sumbangan. Saya pegang amanah tersebut untuk beri kepada Amsyar. Moga semua kebaikan dan doa yang dikirim akan berbalik kepada mereka semua," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain